Tampin , 8 Januari 2023 -Telah berlangsung Program Kayuhan Silaturrahim ACC 2023 anjuran Kelab Berbasikal Adrenaline (ACC) dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tampin.
Seramai 85 peserta memulakan kayuhan dari Taman Rekreasi Tampin melalui Pekan Air Mawang menuju Batu Maloi sebelum kembali ke tempat pelepasan melalui Taman Desa Permai.
Kayuhan sejauh 33KM ini diadakan sebagai salah satu aktiviti tahunan kelab bagi mengeratkan lagi hubungan antara pengiat sukan berbasikal di daerah ini.
Turut hadir dan menyertai kayuhan ialah En. Zahari bin Md Afandi Yang DiPertua Majlis Daerah Tampin, En. Kajurin @ Kaddly bin Ujin Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tampin, En. Saiful Adly bin Hj. Abd Wahab Presiden Persatuan Berbasikal Daerah Tampin (TCA) dan En. Jelavadin bin Mohd Shariff Pengerusi Kelab Berbasikal Adrenaline (ACC).
Seremban- 7 Januari 2023 -Mesyuarat Agung Kali Pertama Persatuan Renang PARA Negeri Sembilan telah diadakan di Bilik Serbaguna Kombes Paroi.
Seramai 20 orang yang ahli gabungan hadir terdiri daripada Ahli Jawatankuasa penaja yang diterajui oleh Ybhg Profesor Dato' Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor.
Mesyuarat kali pertama ini diadakan adalah untuk memilih jawatankuasa yang baharu dan memilih perwakilan yang akan mewakili persatuan ke Mesyuarat Agung Renang PARA Kebangsaan yang akan diadakan di Kompleks Paralimpik Kampung Pandan.
Mesyuarat telah dirasmikan oleh Encik Rosdi bin Pilus Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan mewakili Pengarah En Zulfadhli bin Abd Aziz yang tidak dapat hadir.
Semoga Persatuan Renang PARA Negeri Sembilan dapat melahirkan lebih ramai lagi atlet para renang dan meneruskan kecemerlangan mereka.
Paroi, 7 Januari 2023- Telah berlangsungnya Program Tayangan Big Screen Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 peringkat separuh akhir pertama di antara Pasukan Harimau Malaya menentang Pasukan Gajah Perang Thailand.
Bermula jam 7.00 petang, orang ramai telah mula mengambil tempat bagi sama-sama menyaksikan perlawanan yang dibawakan secara ekslusif melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara. Dianggarkan hampir seramai 2000 orang hadir memberi sokongan kepada Pasukan Ekor Harimau Malaya di sini.
Bukan itu sahaja, aktiviti selingan juga diadakan seperti Permainan PS5 secara percuma kepada yang berminat di samping menantikan bermulanya detik-detik perlawanan.Selain itu, pengunjung disajikan dengan Cabutan bertuah kepada yang hadir dan berdaftar melalui Scan QR Code dengan membawa pulang hadiah utama berupa sebuah basikal.
Hasil jaringan Faisal Halim, Malaysia berjaya menewaskan Thailand 1-0 dan membawa bekalan ke Perlawanan Separuh Akhir ke Bangkok pada Selasa ini.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir pada program malam semalam adalah YB Nicole Tan Lee Koon (Exco Kerajaan Negeri Sembilan), Puan Salasiah Binti Hashim (Pengarah Perpaduan Negeri), YBhg Dato' Hj Sabuddin Bin Hj Sani (Pengarah Majlis Sukan Negeri Negeri Sembilan), Encik Mohd Hazan Bin Dahari (Pengarah APBM) dan Encik Zul Fadhli Bin Abd Aziz (Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sembilan).
Semoga program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa-masa akan datang .
TAMPIN , 7 Januari 2023 - Telah berlangsung Program Pembangunan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Daerah Tampin 2023 anjuran Kelab Bola Sepak Gajah Hitam dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tampin.
Program ini bakal berterusan pada setiap sabtu dan ahad jam 10.00 pagi bertempat di Padang Serbaguna Majlis Daerah Tampin sehingga bulan Disember 2023.
Objektif utama penganjuran adalah untuk mengasah bakat baru diperingkat usia kanak-kanak dalam meningkatkan lagi kemahiran para pemain. Seramai 19 orang peserta telah menyertai program ini yang dikendalikan oleh jurulatih En. Md Azli bin Johar dari Kelab Bolasepak Gajah Hitam. Turut hadir pada hari pertama ini adalah En. Jasnie bin Abd Rahman yang mewakili Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tampin.
Port Dickson , 5 Januari 2023 -Satu lawatan tinjauan ke Pesta Lampu Antarabangsa Port Dickson telah diadakan pada malam ini bertempat di FB Eco Farm, Kampung Baru SiRusa.
Lawatan ini dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson dengan menjemput rakan - rakan strategik MPPD untuk turut serta. Lawatan ini bertujuan untuk mengenal pasti suasana, kemudahan dan infrastruktur serta pengisian pesta tersebut disamping membantu mempromosikan produk pelancongan didaerah Port Dickson.
Pesta ini berlangsung dari 9 Disember 2022 sehingga 15 Mac 2023. Pesta ini mempamerkan 6 Negara iaitu Malaysia, Thailand, Mesir, Itali, Jerman dan Belanda serta 4 musim iaitu Musim Panas, Musim Bunga, Musim Luruh dan Musim Sejuk dengan jarak pameran lampu sejauh 1.6 km.
Turut hadir dalam lawatan ini adalah En. Zaki Setiausaha MPPD, En Anuar dari Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, En Noorulhuda bin Hj. Abdul Rahman Pegawai Belia dan Sukan Daerah Port Dickson, Pn Norhaida Pegawai Penerangan Daerah Port Dickson, wakil Ketua Polis Daerah Port Dickson, wakil UPEN Negeri Sembilan, RTM Negeri Sembilan, pengamal - pengamal media dan kakitangan Unit Pelancongan MPPD.
Seremban, 30 September 2022 - Telah berlangsung Kejohanan Liga Tunas Malaysia (Malaysia Little League) 2022 Peringkat Negeri Sembilan bagi separuh akhir kumpulan A dan B di Kompleks Belia dan Sukan Paroi dan SMK Seri Ampangan yang menyaksikan SM Sains Tuanku Jaafar dan SMK Palong Dua (2) melangkah ke peringkat akhir dengan penuh bergaya. Masing-masing berentap untuk merebut tempat ke Peringkat Kebangsaan.
Kejohanan diserikan lagi dengan kehadiran Encik Abdul Razak bin Hj Idris, Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan yang turut menyaksikan perlawanan peringkat akhir bersama Puan Junaine binti Mohamad, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan mewakili Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi seterusnya merasmikan Majlis Perasmian Penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Pada aksi kali ini, Johan telah dinobatkan kepada SM Sains Tuanku Jaafar yang telah membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM 2,000.00, medal, sijil pemenang serta piala iringan serta akan mewakili Negeri Sembilan ke Peringkat Kebangsaan pada Oktober nanti. Naib Johan pula, SMK Palong Dua (2) membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM 1,500.00, medal dan sijil pemenang. Manakala tempat ketiga bersama dimenangi oleh SMK Seri Pagi dan SM Sains Tuanku Munawir dengan membawa pulang wang kemenangan RM 500.00, medal dan sijil pemenang.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan semua sekolah yang telah mewakili daerah masing-masing. Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan selaku penganjur utama merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat sepanjang kejohanan berlangsung dan sekali lagi tahniah kepada para pemenang.
PULAU BESAR MELAKA, 30 September 2022 Sedang berlangsung Program Inisiatif Belia Sejahtera Kem Anak Muda (KAMU) 2022 Peringkat Negeri Sembilan bermula hari ini 30 September 2022 hingga 2 Oktober 2022 (Jumaat -Ahad) bertempat di Redtma Adventure Park Pulau Besar, Melaka.
Seramai 71 orang peserta telah mendaftar dimana peserta lelaki seramai 46 orang dan peserta perempuan seramai 25 orang. Peserta bangsa Melayu 66 orang, bangsa Cina 3, bangsa India 7, dan lain-lain bangsa seorang. Semua peserta berumur 15 - 30 tahun mengikut sasaran penyertaan program KAMU.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan anjuran bersama Majlis Belia Negeri Sembilan dalam membendung gejala sosial dikalangan anak muda khususnya belia berisiko.
Semoga para peserta mencapai objektif yang ditetapkan dan semoga program KAMU dilaksanakan dgn jayanya dan dipermudahkan segala urusan.
SEREMBAN, 28 September 2022- Telah berlangsung Kejohanan Liga Tunas Malaysia (Malaysia Little League) Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 Kategori Bawah 12 Tahun di SK Taman Dusun Nyior. Lapan pasukan terbaik yang telah memenangi Kejohanan ini di Peringkat Daerah telah mewakili daerah masing-masing bagi merebut tempat ke Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan akan dilaksanakan pada Oktober 2022.
Objektif program kali ini adalah untuk mencungkil bakat dalam sukan bola sepak dan menggalakkan Keluarga Malaysia untuk bergiat aktif dan cergas dalam membudayakan sukan. Selain itu, ia juga bagi mempergiatkan lagi agenda transformasi sukan sebagai industri penjana pendapatan negara serta meningkatkan daya saing dan sifat kompetitif dikalangan pasukan bertanding.
Kejohanan diserikan lagi dengan kehadiran Encik Abdul Razak bin Hj Idris, Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan yang turut menyaksikan perlawanan peringkat akhir bersama Encik Zul Fadhli bin Abd Aziz, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan seterusnya merasmikan Majlis Perasmian Penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Turut hadir Encik Rosdi bin Pilus, Penolong Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Encik Mohd Razali bin Ahmad, Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Puan Norasikin binti Abd Hadi, Guru Besar SK Taman Dusun Nyior selaku tuan rumah, Encik Airu Nizam bin Rani, Pengerusi Teknikal Bola Sepak dan Encik Shahidan bin Mohd Adnan, Ketua Pengadil Bola Sepak.
Kejohanan julung-julung kali ini menawarkan hadiah wang kemenangan bernilai RM 4,500.00 keseluruhannya, medal serta sijil penyertaan. Johan juga akan mewakili Negeri Sembilan Ke Peringkat Kebangsaan dimana SK Taman Dusun Nyior telah dinobatkan selaku juara dan menerima RM 2,000.00 setelah menewaskan SK Sikamat di perlawanan akhir yang membawa pulang RM 1,500.00. Sementara tempat ketiga bersama disandang oleh SK Tuanku Laksamana Nasir dan SK Kem Syed Sirajuddin yang masing-masing menerima RM 500.00.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan semua sekolah yang telah mewakili daerah masing-masing. Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan selaku penganjur utama merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat sepanjang kejohanan berlangsung dan sekali lagi tahniah kepada para pemenang.
PORT DICKSON, 28 September 2022 - Telah berlangsung Program Taklimat Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda bertempat di Politeknik Port Dickson.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Sukan, Kokurikulum Dan Kebudayaan Politeknik Port Dickson.
Objektif utama program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar di Politeknik tentang pelaksanaan Program ARPRM di peringkat IPT khususnya di Negeri Sembilan.
Program ini telah melibatkan peserta seramai hampir 500 orang pelajar dari Jab.kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik Dan Jabatan Perdagangan .
Saudara Veloo Thevar Subramaniam yang merupakan pemegang ARPRM Emas 2019 dan juga Ahli Parlimen Belia telah dijemput selaku penceramah.
Program in juga turut dihadiri oleh En.Alex Yong Soon Hang, Ketua Unit Sukan JSKK Politeknik Port Dickson.