SEREMBAN, 4 Jun 2022 - Program Active Aging and Wellness Peringkat Negeri Sembilan telah berlangsung hari ini bertempat di Kompleks Sukan Tan Sri Dato' Hj Mohd Said, Seremban 2. Program anjuran Jabatan bersama Kelab Boling Padang Warga Emas Seremban telah mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, LPPKN Negeri Sembilan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.
Program kali ini dilaksanakan bagi menghebahkan kepentingan mengamalkan aktiviti sukan mahupun senaman yang secukupnya dalam kehidupan seharian selaras dengan salah satu dimensi dalam Dasar Warga Emas Negara iaitu dimensi penuaan aktif serta mengeratkan ikatan silaturrahim dan membentuk hubungan bekerjasama yang berterusan di antara semua lapisan masyarakat walau dalam apa jua keadaan dan cabaran.
Seramai 65 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum telah menyertai program ini dimana aktiviti yang pertama adalah segmen aktif dengan pengisian slot senamrobik oleh instruktor kecergasan daripada Persatuan Kecergasan Negeri Sembilan. Slot yang kedua telah diisi oleh Doktor Noor Zaljanah binti Mohamad, MOship dari Hospital Jempol mengenai pemakanan dan penjagaan kesihatan untuk warga emas dan slot terakhir yang ditunggu-tunggu adalah segmen kreatif lifestyle dimana telah diadakan pertandingan boling padang bagi kategori amatur dan profesional.
Sepanjang program berlangsung, pihak LPPKN juga telah membuka booth pameran kesihatan dan pemeriksaan kesihatan kepada peserta dan ianya telah mendapat sambutan hangat daripada para peserta.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Zuraidah binti Mat Ratin, Pegawai Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan bagi mewakili Pengarah. Terima kasih dan sekalung tahniah diucapkan kepada barisan urusetia dan para peserta yang sangat bersemangat dan memberi sepenuh komitmen terhadap program yang dianjurkan ini.
Disediakan oleh : Team Media SEREMBAN
Disunting oleh : Team Media JBSNS
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 212
