JEMPOL - Seramai 40 orang peserta Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang Daerah Jempol (Siri 1/2024) telah selesai menamatkan enam (6) sesi latihan bermula pada 15 Mei 2024 yang lalu.
Majlis Penyerahan Sijil Penyertaan telah dihadiri oleh Encik Mahadir bin Darahi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jempol bersama pegawai dan kakitangan PBSD Jempol. Seramai tiga (3) orang jurulatih renang daripada RNJ Swimming Academy Bahau telah terlibat dalam latihan renang ini.
Sambutan yang cukup baik daripada para ibu bapa sekitar Daerah Jempol untuk menghantar anak-anak mereka yang berumur 6 hingga 12 tahun untuk menyertai KLAS Renang KBS ini. Rata-rata ibu bapa memberikan pandangan positif dan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan YB Menteri Belia dan Sukan atas inisiatif mengadakan program yang sangat baik dan bermanfaat ini.
Program KLAS Renang akan diteruskan pada bulan Julai 2024 akan datang. Ada ibu bapa yang sudah mendaftar awal untuk anak mereka terlibat nanti.
Untuk KLAS Renang Negeri Sembilan, Daerah Seremban dan Jempol telah dipilih untuk menjalankan program ini. Terima kasih kepada penganjur Malaysia Swimmers and Swimming Coaches Association - Maswim dan semua pihak termasuk penaja yang terlibat dalam program ini di setiap negeri.
SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA TAHUN 2024 PERINGKAT NEGERI SEMBILAN
Paroi - Telah berlangsung Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan bermula pada 18 - 19 Mei 2024 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan.
Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan mengikut 10 Rakan Gaya Hidup yang telah menarik ramai belia untuk sertai antaranya Pertandingan E-Sport, Job Fair, Futsal, Bola Sepak, Rakan Muda Mudi, Bengkel Terbangkan Dron, Bengkel kesukarelawanan dan kecemasan, dan Pameran Agensi anataranya Bomba, KWSP, JPJ, KESIHATAN, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia dan IKTBN Chembong.
Majlis Perasmian Penutup Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan tahun ini telah berlangsung dengan meriah pada 21 Mei 2024 (selasa) jam 8.00 malam yang telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun Menteri Besar Negeri Sembilan, turut hadir YB Datuk Seri Haji Jalaluddin bin Haji Alias, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Parlimen Jelebu, YB Tuan Haji Mustapha bin Nagoor, Exco Pembangunan Belia dan Sukan N. Sembilan, Tuan Zul Fadhli bin Abd Aziz, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan N. Sembilan dan Saudara Mohd Fairos bin Rusli, Presiden Majlis Belia N. Sembilan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak Majlis Belia Negeri Sembilan bersama Persatuan Badan Gabungan yang telah bersama menjayakan Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan.
Mari kita meriahkan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan tahun ini yang akan berlangsung pada 24 - 26 Mei 2024 bertempat di Dataran Pahlawan Melaka..
Majlis Penganugerahan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan
Seremban, 21 Mei 2024 - Telah berlangsung Majlis Penganugerahan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2024 Peringkat Negeri Sembilan bagi kategori Pertubuhan Belia Negeri dan kategori Individu Belia Negeri Lelaki dan Wanita bertempat di Ballroom Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan.
Majlis penganugerahan ini diadakan adalah untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan belia di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan.
Antara Tetamu Kehormat yang hadir adalah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Dato’ Seri Haji Jalaluddin bin Haji Alias, Exco Kanan Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Mustapha bin Nagoor, Pengerusi Jawtaankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, YB Dato’ Haji M.K Ibrahim bin Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, Ahli – Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan. Turut hadir adalah Encik Zul Fadhli bin Abd Aziz dan Encik Mohd Fairos bin Rosli Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan.
Johan bagi kategori Individu Belia Lelaki telah dianugerahkan kepada saudara Abdul Akif bin Rahim dan Johan bagi kategori Individu Belia Wanita pula adalah saudari Esther Ezhilnanggai. Manakala Naib Johan bagi kedua-dua kategori masing-masing dianugerahkan kepada saudara Mohd Khairul Annuar bin Asharuddin dan saudari Sharmila Devi A/P Ramesh. Tempat ketiga bagi kategori Individu Lelaki dianugerahkan kepada saudara Wu Tuan Yuan manakala bagi kategori Individu Wanita pula adalah saudari Lai Hui Xuan.
Bagi Kategori Pertubuhan pula telah dianugerahkan kepada Persatuan (MBFM) Felda Jelai 3, Naib Johan pula dianugerahkan kepada MIYC Cawangan Kuala Pilah dan tempat ketiga dianugerahkan kepada Angkatan Belia Islam (ABIM) Tampin. Pemenang bagi setiap kategori telah membawa pulang wang tunai, sijil penganugerahan dan piala iringan. Kesemua Anugerah telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang APBN Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan. Semoga kejayaan ini akan menjadi inspirasi dan pembakar semangat buat golongan belia di seluruh Negeri Sembilan.
BENGKEL CAKLEMPONG SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2024 PERINGKAT NEGERI SEMBILAN
SEREMBAN, 19 Mei 2024 - Hujung minggu yang padat dengan pelbagai aktiviti, turut diadakan Bengkel Caklempong terbuka kepada orang awam. Seramai 30 orang peserta telah mendaftar dan berpeluang untuk mengenali alat muzik caklempong , cara bermain dan mencipta irama bersama alat muzik caklempong yang lain . Bengkel ini telah dibimbing oleh kelab caklempong berpengalaman luas iaitu Kelab Caklempong Gemersik Inang yang berpengkalan di Negeri Sembilan .
Semoga program bermanfaat ini akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa supaya lebih ramai anak muda diberikan peluang untuk mengasah kebolehan ,mengekspres bakar dan memperoleh ilmu kesenian . Pesta ini pasti akan menjadi tumpuan kepada penggiat dan pengamal seni tempatan sekaligus mengeratkan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Seremban, 18 Mei 2024 -Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan belia dan Sukan Negeri Sembilan telah menganjurkan program Pesta Muda Mudi bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan pada tarikh 18 hingga 19 Mei 2024.
Program ini diadakan bersempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024.
Penganjuran Pesta Muda Mudi ini diadakan untuk memberi ruang kepada golongan belia bagi mengekspresikan bakat dan potensi diri mereka dalam bidang seni secara lebih mendalam dan juga mengetengahkan kebolehan belia kepada platform yang betul .
Antara Tetamu Jemputan yang hadir ialah Encik Mohd Izwandy bin Ismail, Pengarah Cawangan Pembangunan Kepimpinan, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Encik Zul Fadhli bin Abd Aziz, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan serta Encik Mohd Fairos bin Rosli, Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan. Turut hadir bersama ialah Encik Mohd Zul Fadli bin Ahmad, Pegawai Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.
Pada hari pertama pelaksanaan program tersebut telah dianjurkan Pertandingan Karaoke bagi mereka yang berbakat untuk menyerlahkan bakat. Selain itu, pertandingan ini juga salah satu daripada 10 Gaya Hidup Rakan Muda iaitu Rakan Ekspresi.
Seramai 22 orang peserta telah menyertai pertandingan ini. Pesta Rakan Muda Mudi turut menganjurkan pertandingan Rentap Busker dimana pertandingan ini membuka peluang bagi kumpulan kugiran golongan belia untuk mempersembahkan karya seni mereka di dalam segmen Gaya Hidup Rakan Muzik.
Pada masa yang sama terdapat juga tayangan Skrin Besar bagi filem Laskar Pelangi di mana filem ini di pilih bersempena meraikan Sambutan Hari Guru pada 16 Mei 2024 yang lepas di mana golongan muda sangat dekat dengan insan yang bernama ‘guru’ semasa di bangku persekolahan .
SEMARAK HARI BELIA NEGARA PERINGKAT DAERAH SEREMBAN TAHUN 2024
AMPANGAN, 15 Mei 2024 (Rabu) – Tarikh 15 Mei setiap tahun telah diwartakan sebagai sambutan Hari Belia Negara yang sudah pastinya dinantikan oleh seluruh golongan belia Malaysia. Sambutan Hari Belia Negara ini merupakan satu porgram utama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) yang dilaksanakan menerusi penyelarasan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Belia Negeri (MBN) dan pertubuhan belia peringkat Daerah.
Tahun ini, Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Ampangan telah menjadi lokasi pilihan hasil daripada perbincangan bersama antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Seremban bersama Majlis Belia Daerah (MBD) Seremban. Seramai hampir 300 orang pelajar terlibat dalam sambutan ini dan melibatkan diri dalam pelbagai pengisian yang telah dirancang oleh MBD Seremban.
Acara Senamrobik bersama Kelab Kecergasan Energetic Gemilang (KEG) menjadi pembuka tirai program ini disusuli oleh Ceramah daripada Jabatan Penjara Negeri Sembilan. Kemudiannya, En. Abdul Akif Rahim, Tokoh Anugerah Perdana Belia Negara 2023 berkongsikan pengalaman beliau kepada para peserta tentang kebaikan belia berpersatuan.
Usai sesi perkongsian ini, fasilitator yang terdiri daripada barisan AJK MBD Seremban membahagikan peserta kepada 17 kumpulan untuk menjalankan aktiviti seterusnya. Dua buah kumpulan menjalankan aktiviti luar seperti Lukisan Mural dan Penanaman Pokok manakala 15 kumpulan lagi melakukan aktiviti dalaman seperti permainan rumah panjang, ayam serama, charlie chaplin, radio dan fashion show.
Apa yang menariknya sambutan HBN 2024 kali ini, Bacaan Ikrar Belia telah dilangsung serentak diseluruh negara (melibatkan 187 buah daerah) tepat pada jam 10.00 pagi diikuti dengan majlis perasmian sambutan Semarak HBN 2024. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Mohd Asna bin Amin , Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng. Turut hadir memeriahkan majlis ini, Ts. Sudiman bin Musa, Pengetua SM Teknik Tuanku Jaafar, Pn. Aziana binti Hizazi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Seremban dan En. Mustaza bin Mustafa Kamal, Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Belia Daerah Seremban.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengetua SM Teknik Tuanku Jaafar yang telah sudi menerima kunjungan HBN 2024 kali ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan AJK MBD Seremban yang berhempas pulas siang dan malam dalam merancang dan menjayakan program ini. Tidak dilupakan kepada guru-guru dan kakitangan SM Teknik Tuanku Jaafar yang menjadi krew di belakang tabir. Semoga kerjasama yang erat ini dapat diteruskan lagi demi pembangunan belia di daerah Seremban khasnya dan Negeri Sembilan amnya.
SEMARAK HARI BELIA NEGARA 2024 PERINGKAT DAERAH PORT DICKSON
LINGGI, 15 Mei - Hari Belia Negara yang disambut pada setiap 15 Mei merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kepada seluruh anak muda di Malaysia. Sambutan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengangkat martabat belia tetapi turut memberikan ruang kepada para belia menyerlahkan potensi di samping menaikkan semangat kecintaan dan patriotisme golongan belia supaya terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Negara.
Pada hari ini, Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Port Dickson (PBSD Port Dickson) dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Port Dickson (MBD Port Dickson) telah menganjurkan Program Semarak Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Daerah Port Dickson yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Muhammad Yusof (SMKDMY), Linggi, Port Dickson. Seramai 250 orang belia dan beliawanis telah berhimpun bersama demi meraikan hari yang penuh bersejarah untuk golongan pemimpin masa hadapan ini.
Perhimpunan Semarak HBN 2024 Daerah Port Dickson dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, lafaz ikrar Rukunegara oleh Ketua Pengawas SMKDMY, Saudara Airo Mizi bin Jahri Jamidi dan iringan bacaan doa memohon kesejahteraan dan kelancaran program.
Seterusnya, para hadirin yang berhimpun ditayangkan dengan Video Ucapan HBN 2024 oleh Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Tuan Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Encik Mohd Izzat Afizi bin Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia sebelum lafaz Ikrar Belia Malaysia yang dipimpin oleh Encik Amar Azuanmursyiq bin Abdul Aziz dari Majlis Belia Daerah Port Dickson.
Majlis perasmian Semarak HBN 2024 Daerah Port Dickson telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Faizal bin Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi dan Digital Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi. Beliau dalam ucapannya turut menyokong gerakan pembangunan belia masa kini khususnya di daerah Port Dickson dan berharap kemajuan dunia teknologi dan digital dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelaksanaan kerja-kerja belia.
Beliau turut berkesempatan menyampaikan Sijil Penghargaan kepada calon Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2024 yang telah mewakili daerah Port Dickson pada bulan Mac yang lalu sebagai satu pengiktirafan yang boleh dijadikan contoh kepada golongan belia di peringkat akar umbi untuk memulakan langkah sebagai belia yang berwawasan.
Semarak HBN 2024 Daerah Port Dickson diteruskan lagi dengan aktiviti Gaya Hidup Rakan Muda seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Antara aktiviti yang dijalankan ialah Sesi Perkongsian Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) oleh PBSD Port Dickson dan pemegang tahap Emas, Encik Dinesh Kumar al Narayanasamy dr HYO Teluk Kemang, Rakan Demokrasi : Taklimat Undi 18 dan Program JIWA Madani oleh Pejabat Penerangan Daerah Port Dickson, Rakan Bumi : Plogging @ Community, aktiviti mengecat dinding sekolah dan Rakan Aktif : Eksplorasi Sinergi Unggul yang dikendalikan oleh MBD Port Dickson di bawah pimpinan Encik Mohd Khairi bin Kamaruddin.
Program berjalan lancar dan semua peserta mengambil bahagian mengikut aktiviti yang dijalankan. Pihak pengurusan SMKDMY Linggi juga turut memberikan komitmen yang tinggi dalam penyediaan tempat dan logistik bagi memudahcara pelaksanaan program.
Rakan kerjasama strategik yang turut hadir dalam program ini ialah Encik Ishak bin Mohd Nor, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson, Encik Mustapa bin Basiron, Pengetua SMKDMY dan seisi warganya, pegawai dan kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Port Dickson, pegawai dan kakitangan GiatMARA Linggi di samping peneraju utama Yang Berusaha Tuan Haji Noorulhuda bin Haji Abdul Rahman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Port Dickson dan Yang Berusaha Puan Nurul Ain binti Zaini, Pengerusi MBD Port Dickson dan barisan jawatankuasa.
PROGRAM SEMARAK HARI BELIA NEGARA TAHUN 2024 PERINGKAT DAERAH REMBAU
Rembau| 15 Mei 2023 (Rabu) – Hari ini, Program Semarak Hari Belia Negara (HBN) Tahun 2024 Peringkat Daerah Rembau bertemakan “Yakin Boleh” telah dilaksanakan sebagai simbolik pembukaan Sambutan Hari Belia Negara. Pengisian program anjuran bersama Majlis Belia Daerah Rembau ini memfokuskan kepada pelaksanaan lkrar Belia Malaysia dan beberapa aktiviti yang menjurus kepada pembangunan potensi belia menerusi elemen gaya Hidup Rakan Muda.
Penglibatan seramai 250 orang yang terdiri daripada pelajar SMK DUHA, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, Pertubuhan belia dan Kelab, penceramah, urusetia dan tetamu jemputan telah hadir memeriahkan program ini.
Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh YB Tuan Suhaimi bin Aini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kota. Majlis turut dihadiri oleh tuan Aliyas bin Ahmad, Pengetua SMK Dato’Undang Haji Adnan, puan Lela Natrah Binti Anuar, Penolong Pegawai Daerah Rembau, Yang Mulia Dato’Kamarul Halim Bin Yang Teramat Mulia Dato’Hj Muhamad Sharip, Yang Di Pertua PIBG, tuan Azharizal bin Santib, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKTBN Chembong, tuan Fadhil bin Mazlan, Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan , Puan Fairuz binti Mohamad Nor, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rembau, encik Muhammad Faries Faizal bin Shamsul, Pengerusi, Majlis Belia Daerah Rembau, wakil Pejabat Kesihatan Daerah Rembau, Kelab Sukan Elektronik Darul Khusus-ESDK serta kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rembau. Turut hadir bersama ahli jawatankuasa Pertubuhan Belia Dinamik Barat sebagai tanda sokongan kepada Program Semarak HBN Daerah Rembau.
Pelbagai acara dan aktiviti yang menarik antaranya ialah senam robik Wellness On Wheel (kenderaan pameran bergerak) dari Jabatan Kesihatan Negeri, persembahan tarian skyrunner, permainan Virtual Reality, Smart Trainer Bicycle, mini tournament (E-sport) dan pameran daripada IKTBN Chembong dan Unit Rakan Muda. Sesi taklimat dan perkongsian Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) oleh saudari Esther Ezhil Nanggai. Turut hadir bersama jemputan influencer, Xviour Johny (E-sport Profesional JP NiNers) bersama cik Feera Fendi untuk sesi perkongsian E-sport serta motivasi kepada peserta. Seterusnya hebahan dan maklumat berkaitan Y-Hub turut dikongsikan oleh saudara Muhammad Faries Faizal.
Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang program ini berlangsung. Semoga dengan pelaksanaan program Semarak HBN di peringkat daerah dapat menarik lebih ramai penyertaan belia bagi menyemarakkan suasana dan bahang Sambutan Hari Belia di peringkat negeri dan kebangsaan.
SEMARAK HARI BELIA NEGARA (HBN) PERINGKAT DAERAH JELEBU 2024
15 Mei 2023 (Rabu) Jelebu – Telah berlangsung Program Semarak Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Daerah Jelebu 2024 bertempat di Kolej Komuniti Jelebu.
Program yang bermula seawal 8.30 pagi ini telah dianjurkan oleh Majlis Gabungan Belia Daerah Jelebu bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jelebu dan Kolej Komuniti Jelebu.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah bacaan Ikrar Belia Malaysia, ceramah kerohanian, tarian kebudayaan, sembang santai belia, pameran dan pertandingan petanque.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Mohd Razi Bin Mohd Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui. Turut hadir Pengarah Kolej Komuniti, En. Ishamuddin Bin Ishak, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jelebu, Pn. Nurulhaizan Binti Abd Karim dan Timbalan Pengerusi MGBD Jelebu, En.Mohd Syafie Bin Abdul Latif.
Semoga pelaksaan program ini dapat menyemarakkan lagi bahang sambutan Hari Belia Negara. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jelebu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.