MAJLIS PERUNDINGAN BELIA NEGARA (MPBN) DAERAH PORT DICKSON 2024
PORT DICKSON, 21 Jun 2024 - Telah berlangsung Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Daerah Port Dickson Tahun 2024 bertempat di Port Dickson Golf & Country Club (PDGCC) pada hari ini. Persidangan ini adalah anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Port Dickson dengan kerjasama Majlis Belia Daerah (MBD) Port Dickson.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, lafaz ikrar Rukunegara oleh Encik Amar Azuanmursyiq bin Abd Aziz dari Gerakan Belia 4B (Malaysia) Kawasan Teluk Kemang dan bacaan doa yang dipimpin oleh Encik Mohd Faisul bin Ayob dari MBD Port Dickson.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian Watikah Perlantikan Ahli Majlis MPBN Daerah Port Dickson bagi Penggal 2024-2026 yang telah disampaikan oleh Puan Nurhazelin binti Makli, Pegawai Daerah Port Dickson merangkap Pengerusi Persidangan. Seramai 45 orang telah dilantik sebagai Ahli Majlis bagi penggal ini terdiri daripada 10 buah agensi kerajaan, 10 orang ahli lantikan pengerusi dan semua Ahli Jawatan Kuasa Kerja Majlis Belia Daerah (MBD) Port Dickson yang dipimpin oleh Puan Nurul Ain binti Zaini selaku Pengerusi MBD Port Dickson.
Persidangan diteruskan dengan Pembentangan Kertas Kerja 1 bertajuk Pelancongan Negeri Sembilan 2024 - 2026 oleh Encik Anuwar bin Yaakob dari Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, manakala Pembentangan Kertas Kerja 2 yang bertajuk Program Pemerkasaan Ekonomi Belia Daerah Port Dickson telah disampaikan oleh Encik Muhammad Syazwan bin Mahadi dari MBD Port Dickson.
Sebanyak tujuh buah usul telah dikemukakan untuk dibahaskan dalam persidangan kali ini. Usul-usul tersebut meliputi kluster pendidikan, kesihatan, ekonomi, pembangunan belia dan pelancongan. Agensi kerajaan yang berkaitan juga turut memberikan maklumbalas terhadap usul yang diajukan.
Di dalam sesi penggulungan dan penangguhan, Pengerusi Persidangan berharap agar perbahasan usul dan maklumbalas agensi dapat diperhalusi dan direalisasikan bagi usul peringkat daerah manakala usul yang berstatus peringkat negeri akan diangkat dan dibahaskan dalam MPBN Peringkat Negeri Sembilan nanti. Beliau juga memaklumkan bahawa pentadbiran daerah Port Dickson sentiasa terbuka untuk menerima, menimbang dan menyokong semua idea atau cadangan yang baik demi pembangunan belia dalam daerah ini.
Turut hadir dalam persidangan ini ialah Encik Zul Fadhli bin Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dan Encik Noorulhuda bin Haji Abdul Rahman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Port Dickson.
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 156
