ACARA SEPAKTAKRAW PENUTUP LIGA SUKAN KOMUNITI KAWASAN BUKIT BINTANG 2023
26 Ogos 2023, Dewan Seri Alam - Pegawai Belia & Sukan Kawasan Bukit Bintang hari ini telah menyampaikan hadiah kepada pemenang Liga Sukan Komuniti Kawasan Bukit Bintang 2023 bagi acara Sepak Takraw.
Semangat, komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh setiap pasukan yang bertanding menjadikan suasana pertandingan ini semakin menarik.
Pemenang menerima medal, sijil dan wang tunai mengikut tempat. Johan dan Naib johan akan mewakili Kawasan Bukit Bintang di peringkat negeri kelak.
Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya Kelab Bina Badan Aero-Bell dan Persatuan Sepak Takraw WP Kuala Lumpur.
PASUKAN FUDIN CLUB B JOHAN SEPAK TAKRAW LIGA SUKAN KOMUNITI LEMBAH PANTAI
26 Ogos 2023 (Sabtu) - Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Lembah Pantai telah menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Liga Sukan Komuniti (LSK) peringkat kawasan Lembah Pantai bertempat di Gelanggang Sepak Takraw, Blok A, PPR Kerinchi pada 26 Ogos 2023. Antara rakan strategik yang terlibat dalam melaksanakan (LSK) ini adalah Pejabat Kecil DBKL PPR Kerinchi, Majlis Belia Kawasan Lembah Pantai, Persatuan Senamrobik Kuala Lumpur, Kelab Sepak Takraw dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. En. Asmori bin Hj Sa’ahari, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan En. Jack Janda Anak Pioh, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Lembah Pantai turut hadir bagi memeriahkan lagi kejohanan tersebut.
Sebanyak 16 pasukan yang menyertai kejohanan tersebut dan kesemua pasukan menunjukkan semangat juang dan komitmen yang tinggi. Pasukan Fudin Club B telah memenangi kejohanan tersebut manakala naib johan disandang oleh Fudin Club A. Pasukan Kerinchi Club A dan Kerinchi Club berkongsi untuk tempat ketiga.
Kejohanan tersebut berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakan di kalangan belia Lembah Pantai.
PASUKAN CAPSLOCK JUARA BOLA JARING LIGA SUKAN KOMUNITI LEMBAH PANTAI
19 Ogos 2023 (Sabtu) - Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Lembah Pantai telah menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Liga Sukan Komuniti (LSK) peringkat kawasan Lembah Pantai bertempat di IWK Eco Park @ Pantai Dalam pada 19 Ogos 2023. Antara rakan strategik yang terlibat dalam melaksanakan (LSK) ini adalah Majlis Belia Kawasan Lembah Pantai, Persatuan Senamrobik Kuala Lumpur, Kelab Bola Jaring dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. En. Jack Janda Anak Pioh, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Lembah Pantai turut hadir bagi memeriahkan lagi kejohanan tersebut.
Sebanyak 10 pasukan yang menyertai kejohanan tersebut dan kesemua pasukan menunjukkan semangat juang dan komitmen yang tinggi. Pasukan Capslock telah mendapat Johan dalam kejohanan tersebut manakala naib johan disandang oleh Pasukan BHRC. Pasukan Sparkle dan Try Your Best berkongsi untuk tempat ketiga.
Kejohanan tersebut berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakan di kalangan belia Lembah Pantai.
TAHNIAH SRI ENGGANG B & SENTOSA CLUB JOHAN & NAIB JOHAN SEPAK TAKRAW LSK SEPUTEH 2023
27 Ogos 2023, Kuala Lumpur - Semalam 26 Ogos 2023 (Sabtu) telah berlangsung Sepak Takraw Liga Sukan Komuniti (LSK) Kawasan Seputeh 2023 bertempat di Gelanggang Sepak Takraw, Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur.
Sebanyak 9 pasukan telah berentap untuk muncul sebagai Johan Sepak Takraw LSK Seputeh 2023. Perlawanan pertama bermula pada jam 8.30pagi dan terpaksa dihentikan seketika pada jam 10pagi disebabkan hujan. Dengan semangat kesukanan yang tinggi dari setiap pemain..perlawanan diteruskan setelah hujan berhenti dengan budi bicara teknikal dan pihak penyelaras pertandingan.
Tahniah diucapkan kepada Sri Enggang B dan Sentosa Club menjadi Johan dan Naib Johan Sepak Takraw LSK Seputeh 2023 dan menempah nama untuk mewakili Seputeh ke peringkat negeri.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Salimon binti Herudin mewakili Kelab Senamrobik Retro (KSR) dan juga merupakan rakan kerjasama dalam menjayakan Liga Sukan Komuniti Kawasan Seputeh pada tahun ini.
PBSK Seputeh merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada ILP Kuala Lumpur, Pejabat Kecil PPR Kg Muhibbah, Kelab Bola Sepak Muhibbah, orang perseorangan yang terlibat dalam menjayakan LSK Seputeh 2023. Semoga kita berjumpa di lain program.
ENCIK HALMAN SALLEH, PEGAWAI PBSK KEPONG/ SEGAMBUT RASMI PENUTUP LIGA SUKAN KOMUNITI KEPONG
Pekan Kepong, 25 Ogos 2023 - Encik Halman bin Salleh, Pegawai Belia & Sukan Kawasan Kepong / Segambut hari ini menutup rasmi Liga Sukan Komuniti Kepong 2023 bagi Kejohanan Sepak Takraw.
Beliau berpuas hati dengan komitmen dan usaha yang diberikan oleh setiap kumpulan dalam memastikan masing- masing mendapat tempat dan terus mewakili Kepong dalam Liga Sukan Peringkat Negeri WPKL kelak.
Encik Halman diiringi oleh Saudara Ammar Abdillah yang merupakan Pengerusi Kelab Belia Pekan Kepong. Pemenang menerima medal, sijil dan wang tunai mengikut tempat.
Rata-rata pemain berharap supaya pertandingan seumpama ini diadakan lagi pada tahun akan datang memandangkan ia dapat merapatkan hubungan komuniti Kepong terutamanya.
PBSK Kepong / Segambut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kelab Belia Pekan Kepong, DBKL Cawangan Kepong & Batu, Persatuan Penduduk PPR Pekan Kepong, Pegawai Pemantau, Encik Khairuddin Khalid dari Bahagian Pembangunan Sukan JBSWPKL, Pejabat Ahli Parlimen Kepong, tetamu jemputan untuk perasmian serta individu atas kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan Liga Sukan Komuniti Kepong.
RAKAN PRIHATIN : PROGRAM MOBILISASI SKUAD SUKARELAWAN ANAK MALAYSIA (SATRIA) TAHUN 2023 PERINGKAT KAWASAN LEMBAH PANTAI BERSAMA SMK SERI PANTAI
18 Ogos 2023 (Jumaat) - Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Lembah Pantai telah menjalinkan hubungan kerjasama bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai untuk melaksanakan Rakan Prihatin : Program Mobilisasi Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Tahun 2023 peringkat kawasan Lembah Pantai bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai.
Objektif program ini adalah untuk menyediakan platform kepada belia melaksanakan aktiviti/ program kesukarelawan/ kemanusiaan secara sistematik dan teratur tanpa mengira bangsa dan agama dalam melaksanakan tugas-tugas kesukarelaan serta mendidik dan menggalakkan belia untuk menceburi dunia kesukarelawan dan kemanusiaan secara lebih profesional di masa hadapan.
Turut hadir Encik Jack Janda Anak Pioh, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Lembah Pantai dan Puan Faridah Akhma binti Zulkifli, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai.
Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah mengecat bahu jalan di sekitar sekolah, mengecat dinding sekolah, membuang barang-barang untuk dilupuskan dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Semua peserta menunjukkan semangat dan memberikan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan setiap aktiviti yang dijalankan.
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan program tersebut berakhir kira-kira jam 12.00 tengah hari. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi bagi program-program yang akan datang. #lembahpantai#smkseripantai#rakanmuda#rakanprihatin
PROGRAM INTERVENSI SOSIAL DARI BELIA UNTUK BELIA (Y2Y) PERINGKAT KAWASAN WANGSA MAJU TAHUN 2023
Newton International College, 23 Ogos 2023 – Telah terlaksana program Intervensi Sosial dari Belia Untuk Belia (Y2Y) peringkat kawasan Wangsa Maju bagi tahun 2023 bertempat di Auditorium 3, Newton International College, Kuala Lumpur.
Dalam program ini, seramai 100 orang pelajar kolej ini telah didedahkan tentang penyalahgunaan dadah di kalangan belia oleh Encik Mohammad Hanif Md Yasin, Pegawai dari Agensi Dadah Kebangsaan Daerah Brickfields.
Majlis diakhiri dengan sesi perasmian penutup oleh Dr. Sunderjit A/L Balwant Singh, Ketua Eksekutif Newton International College. Turut hadir ialah Cik Magdelene Anak Manjah, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju serta pegawai-pegawai Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Batu/ Wangsa Maju.
PBSK KEPONG/ SEGAMBUT RAIH TEMPAT KE 3 BERITA PORTAL JABATAN BELIA & SUKAN WPKL.
Bukit Kiara, 23 Ogos 2023 - Tahniah kepada PBSK Kepong/Segambut menerima tempat ke 3 menyumbang berita portal Jabatan Belia & Sukan WPKL.
PBSK Kepong / Segambut menerima Sijil Penghargaan dan cenderamata dari Bahagian Pengurusan JBSWPKL. Sijil di sampaikan oleh Encik Asmori bin Haji Sa'ahari, Pengarah JBSWPKL kepada Encik Halman bin Salleh, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Kepong/ Segambut. Penyerahan diadakan semasa Perhimpunan Mesra Bulanan & Semarak Merdeka anjuran JBSWPKL.
KUNJUNG HORMAT KE ATAS PENGARAH JABATAN KEBUDAYAAN, KESENIAN, PELANCONGAN DAN SUKAN, DBKL
MENARA DBKL 3, 22 Ogos 2023: Satu Sesi Kunjung Hormat oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur Ke atas Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan Dan Sukan (CATS), DBKL telah diadakan dan jemputan tersebut diselaraskan oleh Bahagian Pembangunan Sukan, JBSWPKL.
Tujuan utama Sesi Kunjung Hormat ini adalah untuk menjalinkan kerjasama dengan Pengarah CATS yang baru iaitu Tuan Haji Badrul Hisham bin Baharuddin.
JBSWPKL yang diketuai oleh Encik Asmori bin Haji Sa'ahari selaku Pengarah telah hadir bersama Encik Mohammad Pauzi bin Paiman, Timbalan Pengarah (Sukan) JBSWPKL serta Pegawai-Pegawai Bahagian Pem. Sukan yang lain iaitu Encik Mohd Hafiz bin Ismail dan Puan Melyani Fitria binti Indra.
Di samping sesi perkongsian berkaitan pelaksanaan serta fungsi Jabatan masing-masing, JBSWPKL melalui Pengarah telah membuat penerangan ringkas berkaitan Program Sukan yang akan berlangsung dalam masa terdekat iaitu Program Jelajah FitMalaysia Peringkat WPKL 2023 dan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat WPKL 2023 yang akan bekerjasama dengan pihak DBKL dalam penganjuran di peringkat negeri khususnya.
Pihak CATS telah memberikan respon yang positif di samping wakil-wakil pegawai daripada Bahagian/ Unit mereka juga telah membuat maklum balas yang baik dalam kerjasama yang diharapkan oleh pihak JBSWPKL.
Oleh itu, JBSWPKL mengharapkan kedua-dua pihak dapat saling bantu-membantu dan bekerjasama dalam melaksanakan tugas mahupun program-program demi pembangunan warga kota WP Kuala Lumpur khasnya.