BACHOK, 14 NOVEMBER 2021 – Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Bachok Sidang 1, Penggal Ke-33 Sesi 2021-2022 telah berlangsung dengan jayanya pada 30 Oktober yang lalu secara atas talian menggunakan platform Zoom Meeting. Persidangan Majlis Perundingan Belia Peringkat Daerah Bachok (MPBD) ini telah dipengerusikan oleh Yang Amat Berusaha Tuan Haji Mohd Farid bin Haji Dato' Abdul Razak, Ketua Jajahan Bachok dan dihadiri hampir 50 orang ahli persidangan yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta serta badan-badan pertubuhan belia di daerah Bachok. Persidangan MPBD ini merupakan platform bagi belia menyalurkan idea dan membincangkan isu dan dasar pembangunan belia. Di samping itu, MPBN dapat menanamkan perasaan taat setia terhadap negara dan mewujudkan semangat perpaduan di kalangan belia. Pelbagai isu dan usul telah diutarakan sepanjang persidangan dan telah mendapat respon yang positif dari agensi-agensi yang berkaitan. Salah satu usul yang diutarakan ialah permohonan dari NGO untuk mendapatkan kontrak penggunaan Kiosk di Pantai Irama Bachok yang kini sedang dalam proses pembinaan. Pihak Majlis Daerah Bachok yang dihadiri oleh Setiausahanya sendiri telah memberikan respon yang baik dimana beliau akan usahakan untuk memberi ruang kepada belia-belia Bachok bagi menjalankan perniagaan di Kiosk itu nanti. Disediakan oleh: Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok
- JBS Kelantan
- Hits: 295


