MACHANG, 22 Disember 2021– Program Sains Senaman dan Sukan anjuran Pusat Pengajian Sains.Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang yang bertujuan bagi pencarian bakat baru dalam sukan atletik (MyTID OKU 1.0) untuk golongan orang kurang upaya intelektual. Penyertaan program ini menglibatkan pelajar-pelajar di Pemulihan Dalam Komuniti sekitar Machang.Puan Rosniwati Ghafar Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian sebagai penyelaras program memaklumkan bahawa sesi pengukuran kecergasan fizikal adalah yang diadakan di UiTM Machang merupakan ujian yang perlu dilalui bagi mengenalpasti tahap kecergasan dalam menentukan bakat terpendam di kalangan peserta.Turut hadir Pembantu Belia dan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang; En. Mohd Faidhi Bin Mat Noor dalam menjayakan program tersebut.Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
GUA MUSANG, 21 DISEMBER 2021 – Majlis Sukan Jajahan Gua Musang yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan di Daerah Gua Musang telah mengadakan Karnival Sukan Jajahan Gua Musang 2021 bertempat di Dataran Kesedar Gua Musang.Di dalam penganjuran ini, Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Gua Musang bertindak sebagai Setiausaha penganjuran karnival ini. Antara acara sukan yang diadakan ialah Pertandingan Badminton Antara Agensi, Monsun Ride GM (Fun Ride) dan Senamrobik Perdana. Karnival ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari setiap jabatan kerajaan yang ada di Gua Musang. Karnival ini telah dirasmikan oleh YABrs Tuan Haji Ab. Pattah Bin Hasbullah selaku Ketua Jajahan Gua Musang merangkap Pengerusi Majlis Sukan Jajahan Gua Musang. Penganjuran karnival seperti diharapkan dapat dijadikan sebagai acara tahunan agar dapat mengeratkan lagi hubungan antara agensi dan jabatan kerjaan. Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang
PASIR MAS, 20 DISEMBER 2021- Pasukan “netball shoot” Jajahan Pasir Mas telah menyertai Karnival Sukan Antara Jajahan di Taman Rehlah, Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh yang diadakan pada 18 November 2021 lalu. Karnival Sukan Antara Jajahan ini merupakan anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Kelantan, Urusetia Belia Sukan dan NGO Kelantan. Karnival Sukan Antara Jajahan ini bermula pada dari 8.00 pagi. Pasukan ini diwakili oleh lima (5) orang pemain yang terdiri dari Penjawat Awam dari IPD Pasir Mas dan 3 belia telah berentap dengan 9 Jajahan yang lain. Acara lain yang turut dipertandingkan adalah bola tampar pantai, bola sepak pantai, bocce dan petannque. Johan bagi acara “netball shoot” ini telah dijuarai oleh pasukan dari Jajahan Tanah Merah.Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob. Hadir sama adalah Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kelantan, YB Ustaz Haji Wan Roslan Wan Hamat, Ketua-Ketua Jajahan dan juga Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Pn. Laila Nazura NawiDisediakan oleh : Nazatul Asma Binti Ariffin, Urusetia Portal PBSD Pasir Mas
PASIR PUTEH, 16 DISEMBER 2021 - Majlis Belia Jajahan Pasir Puteh telah terpilih sebagai Persatuan Belia Terbaik di peringkat daerah Tahun 2021 sempena sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan yang telah diadakan di Hotel Grand Renai, Kota Bharu pada 11 Disember 2021.Majlis Belia Jajahan Pasir Puteh telah memenuhi syarat-syarat persatuan terbaik iaitu menghantar Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) lengkap bagi 3 tahun berturut-turut, aktif dalam pelaksanaan aktiviti dan program bersama dengan Pejabat Belia dan Sukan Daerah dan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) mengikut perlembagaan.Majlis Belia tersebut telah menerima sumbangan sebanyak RM 1,000.00. Anugerah telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Hj Zuraidin bin Abdullah. Turut hadir Encik Syed Abdul Aziz bin Engku Chik Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh mewakili Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh dan Tuan Haji Ahmad Adlee bin Yasin, Ketua Jajahan Pasir Puteh.Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh
PASIR MAS, 13 DISEMBER 2021- Sebahagian belia Pasir Mas berasa teruja kerana terpilih untuk menyertai Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021 yang berlangsung Sabtu lalu di The Grand Renai Hotel, Kota Bharu. Mereka yang terpilih menghadiri sambutan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan, adalah terdiri dari penggerak belia dan juga sukarelawan yang banyak membantu kerja kerja kesukarelaan di daerah Pasir Mas. Sempena sambutan ini, Kelab Belia Kampung Baru Pak Hussin (KBKBPH) , Pasir Mas telah dianugerahkan sebagai Persatuan / Kelab Belia terbaik bagi daerah Pasir Mas dan telah menerima sumbangan sebanyak RM 1000.00 dari Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Hj Zuraidin bin Abdullah.Cik Fatin Eda Az-zahra binti Mohammad Tajuddin berkata, “ beliau berasa bangga kerana telah terpilih menyertai sambutan pada tahun ini kerana inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini bersama belia dari seluruh negeri Kelantan. Saya juga bangga melihat kawan-kawan saya berjaya dalam pertubuhan dan kelab masing-masing. Saya pun ingin berbakti seperti mereka dan menjadi sebahagian dari sejarah Negara”Disediakan oleh: Nazatul Asma Binti Ariffin, Urusetia Portal PBSD Pasir Mas
PASIR MAS, 13 DISEMBER 2021- Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato Online Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Sempena Bulan Kemerdekaan 2021 bertempat di Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Pasir Mas. Pertandingan ini merupakan anjuran Majlis Belia Jajahan Pasir Mas dengan kerjasama Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Pasir Mas, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Pasir Mas, Majlis Belia Negeri Kelantan, Blackflurry Rovers Crew, ABIM Cawangan Pasir Mas dan Kelab Belia Kampung Baru Pak Hussin (KBKBPH). Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas, En. Wan Abd Rahman Bin Hj Wan Ismail telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Hadir sama Pengerusi Majlis Belia Jajahan Pasir Mas, Sdr Nik Ikhwan Haqim bin Datuk Hj Hanafi, Pengerusi Kelab Belia Kg Baru Pak Hussin, Sdr. Mohamad Raymie bin Ab Razak serta Setiausaha MBJ Pasir Mas, Sdr. Mohd Fadzwan Mohd Zainun. Johan kategori Bahasa Melayu telah dimenangi oleh Sdri Nik Nurhanani Sofia Bt Nik Azmi dari dari SMK Sultan Ibrahim Satu, Pasir Mas. Beliau membawa pulang RM 500.00 serta sijil penyertaan. Tempat kedua dimenangi oleh Sdri Siti Khadijah Bt Kamarudin dari SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas. Beliau membawa pulang RM 300.00 serta sijil penyertaan. Manakala kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh Sdri Wan Nur Najla Qistina Bt Wahidi dari SMK Sultan Ibrahim Satu, Pasir Mas. Beliau membawa pulang RM 500.00 dan juga sijil penyertaan. Disediakan oleh: Nazatul Asma Binti Ariffin, Urusetia Portal PBSD Pasir Mas
PASIR MAS, 13 DISEMBER 2021- Timbalan Ketua Pengarah , Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negera, YABrs Dr. Zainah Sharif telah melakukan Lawatan Kerja ke Bilik Gerakan Kelab Belia Kampung Baru Pak Hussin, Jumaat lalu.Semasa lawatan tersebut, Timbalan Pengerusi Kelab, Sdr Mohammad Zulhaizzad bin Mohd Zin dan Setiausaha Kelab, Sdr Fakhrul Mustakiem Saufi telah menyampaikan taklimat mengenai perjalanan program sepanjang tahun 2021 serta perancangan Kelab untuk tahun 2022 kepada YABrs Dr. Zainah Sharif serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Pn Laila Nazura Nawi. Hadir sama Wakil Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas, Pn. Nazatul Asma Ariffin, Setiausaha Majlis Belia Jajahan Pasir Mas, Sdr Mohd Fadzwan Mohd Zainun YABrs Dr Zainah Sharif telah menyampaikan amanat kepada semua ahli Kelab tersebut serta mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua belia yang terlibat. “saya bangga kerana melihat anak muda disini yang dipimpin oleh Saudara Raymie, yang berusia di bawah 30 tahun. Inilah yang kita mahu pelapis pemimpin masa depan selaras dengan Akta Pembangunan Belia” Pengerusi Kelab Belia Pak Hussin, Sdr Raymie berkata “kata –kata Dr Zainah banyak memberi semangat kepada kami sebagai penggerak belia Kelab Belia Kampung Baru Pak Hussin dan di Pasir Mas”Disediakan oleh: Nazatul Asma Binti Ariffin, Urusetia Portal PBSD Pasir Mas
PASIR MAS, 13 DISEMBER 2021- Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021 telah berlangsung Sabtu lalu telah di The Grand Renai Hotel, Kota Bharu. Sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan, Kelab Belia Kampung Baru Pak Hussin (KBKBPH) , Pasir Mas telah dianugerahkan sebagai Persatuan / Kelab Belia terbaik bagi daerah Pasir Mas. Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Hj Zuraidin bin Abdullah kepada semua Persatuan Belia Terbaik Daerah di Grand Ballroom, hotel Grand Renai, Kota Bharu. Kelab belia tersebut telah menerima sumbangan sebanyak RM 1000.00Turut Hadir YABrs. Dr. Zainah binti Shariff, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, YBhg Dato'Haji Norazman Bin Abd Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBhg Datuk Mohd Ridhwan Tun Mohd Ali, Exco Majlis Belia Malaysia dan YBhg En. Hafizul Nizam Bin Abdullah, Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Kelantan serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Pn. Laila Nazura binti Nawi.YB Hj Zuraidin bin Abdullah berkata “untuk tahun 2022, peruntukan sebanyak RM 4.5 juta untuk golongan belia di 45 DUN diseluruh negeri Kelantan. Beliau berharap golongan belia akan terus menerima manfaat daripada perutukan ini”Disediakan Oleh : Nazatul Asma Binti Ariffin, Urusetia Portal PBSD Pasir Mas
PASIR PUTEH, 8 DISEMBER 2021 - Memanah bukan hanya sukan biasa, malah ia menjadi antara sunnah kepada umat Islam untuk mempelajarinya. Aktiviti ini akan melatih individu supaya lebih fokus dan tenang dalam memberi tumpuan.Sebagai rekod, acara memanah telah dipertandingkan sempena Hari Sukan Negara di Taman Jannati pada bulan Oktober yang lalu. Sebanyak tiga kategori telah dipertandingkan iaitu shoot online, shoot belon dan shoot 3 arrow. Sambutan adalah menggalakkan dengan penyertaan secara fizikal ialah seramai 63 orang dan virtual seramai 26 orang. Diharapkan semakin ramai belia-belia yang akan menggemari sukan memanah ini kerana ianya bukan sahaja untuk riadah tetapi dapat menyihatkan tubuh badan.Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh