- JBS Kelantan
- Hits: 118
RAMADHAN DATANG LAGI
KUALA KRAI, 5 APRIL 2023 – “ Ahlan Wa Sahlan Yaa Ramadan “. Begitulah ucapan kita setiap kali tibanya kedatangan bulan penuh mulia, Ramadhan al-Mubarak. Sesungguhnya mereka yang tahu akan kelebihan pada bulan ini, pastinya tidak akan melepaskan peluang dan kesempatan untuk melakukan amalan-amalan kebaikan di setiap masa. Jika pahala itu seperti butir emas yang boleh manusia nampak pada zahir maka berpusu-pusulah mereka akan merebutnya. Namun jauh daripada itu, pahala di bulan Ramadhan lebih bernilai dan mahal dari apa jua barang berharga yang kita temukan diatas muka bumi hatta emas dan juga permata.
Justeru itu, sebagaimana amalan pada setiap tahun, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan akan melaksanakan Program Rakan Muda Ramadhan pada 22 Ramadhan 1444H bersamaan 13 April 2023 bertempat di Masjid Nurul Hidayah, Tumpat, Kelantan. Taklimat berkenaan program telah disampaikan oleh Tuan Haji Asmadi bin Mohamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Rakan Muda Ramadhan Peringkat Negeri Kelantan pada 04 April 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 1, Mabna MBI, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan yang di pengerusikan oleh YB. Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan.
Pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan masjid oleh golongan muda bakal dilaksanakan seperti Tadarus & Khatam Al-Quran, Kursus Pengurusan Jenazah, Pertandingan Azan dan lain-lain dengan kehadiran seramai 450 orang peserta termasuk peserta daripada Daerah Kuala Krai yang akan menyertai aktiviti Khatam Al Quran dan Kursus Pengurusan Jenazah.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
- JBS Kelantan
- Hits: 118
