KELANTAN, 17 APRIL 2023 – Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan (KOMBES Kelantan) sedang membuat kerja-kerja membaikpulih dan menyelenggara sistem perpaipan dan kebocoran saluran air di sepanjang laluan Bilik Tangki Air hingga Dewan Wawasan, KOMBES Kelantan. Kebocoran berlaku disebabkan oleh sistem perpaipan yang telah usang dan berkarat sehingga menyebabkan pengaliran air di sepanjang kawasan tersebut terganggu.
Sehubungan dengan itu, pihak KOMBES Kelantan telah menghubungi pihak kontraktor untuk membuat kerja-kerja membaikpulih di kawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi isu kebocoran air berlaku sehingga mampu menjejaskan perkhidmatan dan gangguan bekalan air kepada pengguna KOMBES Kelantan.
Pihak KOMBES Kelantan sentiasa komited dalam memastikan kemudahan dan fasiliti yang disediakan mampu memberi kepuasan dan keselesaan kepada semua pengguna kemudahan di KOMBES Kelantan.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan
KELANTAN, 17 APRIL 2023 – Walaupun keadaan cuaca yang sedikit panas akibat pemanasan global dan perubahan cuaca ekstrem ianya tidak menjadi halangan untuk atlet Para Olahraga Negeri Kelantan untuk tetap bersemangat menjalani latihan di sepanjang bulan Ramadan.
Sesi latihan atlet Para Olahraga dikendalikan dan dikawal selia oleh Encik Mahmood bin Deraman, Jurulatih Para Olahraga Negeri Kelantan yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Negeri Kelantan.
Latihan ini harus dilakukan secara berterusan walaupun di dalam bulan Ramadan bagi mengekalkan stamina para atlet serta memastikan mereka sentiasa kekal cergas kata Encik Mahmood bin Deraman. Katanya lagi, latihan dijalankan juga melibatkan pelapis-pelapis baru bagi meneruskan kesinambungan pencapaian cemerlang atlet Para Olahraga Negeri Kelantan di dalam Temasya Sukan Para SUKMA.
Encik Muhammad Norfikri bin Norzaki, Pegawai Pembangunan Sukan OKU JBSN Kelantan telah sama turun padang memantau dan memberi galakan kepada atlet untuk tetap bersemangat menjalani latihan walaupum di bulan Ramadan.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Sukan JBSN Kelantan
TANAH MERAH, 17 APRIL 2023 – Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Kelab Belia Generasi Penggerak Ummah (GPU) dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah telah menjalankan program agihan air dan kuih percuma kepada warga tanah merah selari dengan hasrat kelab untuk senantiasa mempamerkan sifat peduli yang sangat tingi kepada mereka yang memerlukan. Program ini telah diadakan pada 16 April 2023 di sekitar Dataran Warisan Tanah Merah.
Sebanyak 150 pack air dan kuih telah berjaya diagihkan kepada warga Tanah Merah di sekitar Dataran Warisan Tanah Merah dan gelandangan di sekitar Tanah Merah. Program ini juga turut dihadiri oleh wakil Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah iaitu En Ahmad Ridhwan bin Zazani (Unit Belia)
Diharapkan program – program seperti ini akan membuka mata kepada seluruh warga Tanah Merah bahawa Anak Muda ataupun Belia di Tanah Merah tidak ketandusan belia – belia yang cakna kepada masyarakat.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
KOTA BHARU, 17 APRIL 2023 – Program Mengaji Al-Quran Bil. 3/2023 anjuran Puspanita Cawangan Jajahan Kota Bharu telah diadakan pada 13 April 2023 bermula jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari bertempat di Bilik Gerakan Pejabat Tanah Jajahan Kota Bharu. Program ini telah dihadiri oleh YBrs. Dr. Norehan binti Mohd Hashim, Pengerusi Puspanita Cawangan Jajahan Kota Bharu serta seramai 10 orang ahli terdiri daripada wakil pelbagai agensi yang terlibat. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu telah diwakili oleh Puan Naziah binti Dollah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu
Majlis ini dianjurkan bermatlamat bagi memenuhi keperluan ke arah pengisian sahsiah dan kerohanian bagi mendekatkan diri kepada amalan yang menjurus kepada ibadat yang dituntut oleh agama islam dalam kehidupan harian. Program ini secara tidak langsung memberi kesedaran dan keinsafan agar menjadikan ibadah suci ini sebagai pedoman dan panduan dalam memenuhi tuntutan agama.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terlibat. Diharapkan program membudayakan Al-Quran ini diteruskan selain dapat mengeratkan ukhwah antara agensi dan kakitangan yang terlibat.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu
PASIR PUTEH, 17 APRIL 2023 – Seramai 10 orang belia Pasir Puteh telah menyertai Program Karnival Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2023 mewakili daerah Pasir Puteh yang dilaksanakan pada 13 April 2023 bersamaan 22 Ramadan 1444H bertempat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan.
Program ini adalah anjuran Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan bertujuan sebagai satu platform yang dapat menarik minat belia untuk menghidupkan bulan Ramadan Al-Mubarak dengan pengisian aktiviti dan program kerohanian. Program bermula jam 8.00 pagi sehingga Majlis Berbuka Puasa dengan pengisian program Tadarus Al-Quran, Khatam Al-Quran, Pertandingan Azan, Kursus Pengurusan Jenazah, Ceramah Agama dan Majlis Berbuka Puasa.
En.Syed Abdul Aziz bin Engku Chik Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh dan Pn. Wan Roslinda bt. Wan Ibrahim, Pem. Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh turut hadir di program tersebut.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh.
KOTA BHARU, 17 APRIL 2023 – Amalan Tadarus Al-Quran menjadi ikutan dan dihayati oleh para sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga kini. Orang yang membaca Al-Quran di bulan Ramadan akan ditinggikan darjatnya oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW “Allah mengangkat darjat sebahagian kaum melalui kitab ini (Al-Quran) dan dia merendahkan sebahagian kaum yang lain melalui kita ini juga,”(H.R. Muslim). Selain itu amalan bertadarus juga memberi ketenangan hati dan dan mendapat pahala yang berlipat ganda.
Oleh yang demikian, sempena bulan yang penuh barokah ini, Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan pada 13 April 2023 bersamaan 22 Ramadan 1444H bertempat di Masjid Nurul Hidayah Kampung Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan. Majlis ini dilaksanakan bertujuan untuk menghidupkan suasana Ramadan dengan bacaan Al-Quran, selain tadarus Al-Quran secara berkumpulan bersama pembimbing dan diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran, Kursus Asas Pengurusan Jenazah serta ceramah agama yang telah disampaikan oleh Ustaz Suratemi bin Mat Yusof, Pegawai Agama Jajahan Bachok yang bertajuk “Anak Muda, Al-Quran dan Ramadhan”. Setelah semua acara dan majlis perasmian berakhir, program diteruskan dengan majlis iftar beramai-ramai bersama para peserta dan masyarakat setempat.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu turut mengambil kesempatan yang baik ini untuk menghantar seramai 20 orang peserta yang merupakan Peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) dari Sek. Men. Keb. Kubang Kerian 3 dan Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu mewakili Daerah Kota Bharu. Manakala seramai 8 orang pemimpin muda dari persatuan/pertubuhan tunggal turut dijemput untuk bersama-sama mengimarahkan program ini.
Adalah diharapkan agar program yang penuh makna ini diteruskan lagi pada masa akan datang. Turut hadir Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan manakala Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu telah dihadiri oleh Puan Naziah binti Dollah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu bersama pegawai dan kakitangan.
Disediakan oleh: Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu
KUALA KRAI, 17 APRIL 2023 – Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Penyelenggaran Bangunan Gunasama Persekutuan (JKPPBGS) Kuala Krai, Kelantan Bil 2/2023 yang bertempat di Bilik Mesyuarat Gunasama, Aras 2 Bangunan Persekutuan Kuala Krai pada 13 April 2023.
Mesyuarat yang bertujuan menyelaras aktiviti di Wisma Persekutuan termasuk Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba tidak lama lagi. Setiap tahun Pengurusan Bangunan Persekutuan Kuala Krai akan mengadakan sambutan ini dengan mengadakan aktiviti “portluck” bagi setiap agensi yang berada disini.
Justeru itu, seramai 30 orang yang mewakili 2 orang setiap agensi kerajaan telah hadir ke mesyuarat ini. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai diwakili oleh Encik Noorazihan bin Jusoh, Penolong Pegawai Belia dan Sukan bersama Puan Sulaishi binti Shamsuddin, Pembantu Tadbir. Harapan agar majlis yang bakal dilaksana ini akan berjalan dengan baik dan sempurna.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
BACHOK, 17 APRIL 2023 - Satu sesi moreh bersama pegawai dan kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Bachok telah diadakan pada 13 April 2023 yang lalu bertempat di Su Tomyam, Kubang Kerian, Kota Bharu. Sesi moreh ini lebih dikenali sebagai ‘makan colek’ oleh rakyat Kelantan yang selalu menjadi pilihan dan popular di bulan Ramadan Al-Mubarak.
Makan colek ini adalah bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara pegawai dan kakitangan PBSD Bachok. Walaupun nampak ringkas, tetapi jelas terlihat keceriaan warga PBSD Bachok apabila dapat bersama-sama rakan sekerja dan keluarga. Selain itu, sesi ini bertujuan untuk meraikan Encik Mohd Hafizi bin Hanapi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bachok yang akan bertukar ke Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok, Tangok berkuatkuasa pada 17 April 2023.
Hadir sama memeriahkan suasana pada malam itu ialah Encik Syed Abdul Aziz bin Engku Chik Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok
BACHOK, 17 APRIL 2023 - Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2023 pada 13 April 2023 bersamaan 22 Ramadan 1444H bertempat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sungai Pinang, Tumpat. Program ini adalah sebagai satu platform yang dapat menarik minat belia untuk menghidupkan bulan Ramadan Al-Mubarak dengan pengisian aktiviti dan program kerohanian.Seramai 10 orang peserta dari daerah Bachok turut menghadiri program tersebut.
Pelbagai pengisian program kerohanian telah dilaksanakan bagi program kali ini iaitu Tadarus Al-Quran berkumpulan bersama Pembimbing, Khatam Al-Quran, Pertandingan Azan, Kursus Asas Pengurusan Jenazah, dan Ceramah Agama. Peserta juga berpeluang beriftar beramai-ramai dan solat maghrib berjemaah di masjid tersebut.
Semoga program ini dapat memberikan ruang dan peluang kepada golongan belia untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menghayati sunnah dalam kehidupan di samping dapat menghidupkan bulan Ramadan yang mulia ini.
Turut hadir ke program ini ialah Encik Mohd Hafizi bin Hanapi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bachok dan Puan Mimi Marini binti Mahmood, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Bachok.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok