PASIR MAS, 11 JUN 2023- Anugerah Perdana Belia Negara mula diperkenalkan pada tahun 1988. Tujuan utama Anugerah Perdana Belia Negara diadakan adalah untuk meraikan dan mengiktiraf usaha yang telah golongan belia lakukan untuk pembangunan masyarakat. Melalui anugerah inilah penghargaan diberikan kepada individu dan pertubuhan belia yang telah banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan belia di negara kita. Bukan itu sahaja, penganjuran anugerah ini juga diharap dapat menggalakkan lagi penglibatan belia dalam kerja-kerja sukarela dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Satu sesi penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) bagi kategori Pertubuhan Belia telah dilaksanakan pada semalam bertempat di Dewan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Majlis Belia Jajahan Pasir Mas telah mewakili Daerah Pasir Mas untuk bertanding bersama sembilan daerah lain bagi merebut gelaran Johan dan Naib Johan APBN Tahun 2023.
Kriteria penilaian APBN antaranya adalah Pentadbiran dan Pengurusan Am; Pengurusan Kewangan; Pengurusan Aktiviti seperti Keupayaan Mengurus Aktiviti (Program/ Projek), Keberkesanan dan Impak Aktiviti (Program/ projek) untuk Pembangunan Masyarakat, Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Insan; Keberkesanan Kepimpinan iaitu Pengetahuan, Kemahiran dan Sikap, Pencapaian dan Pengiktirafan.
Bagi membangunkan belia di Malaysia ianya merentasi kementerian, jabatan dan agensi serta swasta. Jika pendekatan merentas pelbagai platform ini direalisasikan, kita akan berasa bangga terhadap kesan yang boleh dihasilkan oleh pertubuhan belia di mana dapat membantu melahirkan pemimpin berpotensi. Oleh itu, pemimpin muda haruslah mempertingkatkan ilmu pengetahuan, pengalaman dan berfikiran matang serta berdaya saing.
Disediakan Oleh: Urusetia Media Dan Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas
- JBS Kelantan
- Hits: 138
