- JBS Kedah
- Hits: 28
MAJLIS PENYAMPAIAN CEK CURA GERAN PADANAN SUKAN KEPADA PERSATUAN BERBASIKAL NEGERI KEDAH
ALOR SETAR, 23 Julai 2026 – Majlis Penyampaian Cek Cura Geran Padanan Sukan kepada Persatuan Berbasikal Negeri Kedah telah berlangsung dengan jayanya di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Dalam majlis tersebut, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Puan Azura Hj. Sarbin, telah menyampaikan cek cura Geran Padanan Sukan berjumlah RM100,000.00 kepada Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Kedah, Dato’ Wira Hj. Amiruddin bin Hj. Hamzah. Dana tersebut disalurkan bagi menyokong penganjuran program TOUR GEO D' KEDAH 2026 yang dijadualkan berlangsung secara 5 peringkat bermula 2 hingga 6 September 2026.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran EXCO Belia dan Sukan Negeri Kedah serta EXCO Pelancongan Negeri Kedah, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan sukan dan mempromosikan pelancongan melalui penganjuran acara sukan berprestij.
Geran Padanan Sukan merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) yang menyediakan suntikan dana kepada persatuan sukan bagi membantu pelaksanaan kejohanan dan program sukan. Inisiatif ini bertujuan memperkasakan ekosistem sukan negara, meningkatkan penyertaan masyarakat, serta merancakkan pembangunan bakat atlet di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan menerusi penganjuran acara sukan.
Diharapkan penganjuran Tour Geo D’ Kedah 2026 akan menjadi platform terbaik dalam mempromosikan daerah Baling sebagai destinasi sukan dan pelancongan, selain mengukuhkan lagi kedudukan Kedah sebagai antara negeri yang aktif menganjurkan kejohanan sukan bertaraf tinggi.
#GPS2026
#JBSNK
#TeamJBSN
#TeamKBS
#KedahAktif
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
- JBS Kedah
- Hits: 28
