ALOR SETAR KEDAH, 31 OGOS 2022 - Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Kedah berjalan dengan penuh gilang-gemilang di Dataran Medan Bandar Alor Setar Kedah.
Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dataran Medan Bandar, Alor Setar di sini, hari ini.
Istiadat dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Utama 'Hormat DiRaja' serta nyanyian lagu 'Allah Selamat Sultan' oleh Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta Pancaragam Kolej Tentera Udara, Kepala Batas.
Kemudian acara diserikan dengan penyampaian koir dan perbarisan melintasi Pentas Diraja dengan diiringi lagu-lagu patriotik oleh kumpulan pancaragam.
Sebanyak 115 kontinjen perbarisan dan perarakan ditampil pada sambutan kali ini. Turut serta dalam perbarisan tersebut adalah Kontinjen daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah yang diketuai oleh Encik Mohammad Suhaimi bin Md Saad.
Selepas Istiadat Perbarisan dan Perarakan, turut diserikan persembahan tarian serta nyanyian oleh kanak-kanak pelbagai kaum serta penyampaian hadiah keceriaan kemerdekaan dan perbarisan kemerdekaan.
Ribuan penduduk Kedah berkumpul di dataran dan jelas menunjukkan semangat patriotik rakyat Kedah kekal teguh.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
- JBS Kedah
- Hits: 165
