PONTIAN, 11 Mei 2023 - 2 orang kakitangan daripada Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Johor telah hadir ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pontian bagi membuat penilaian untuk menentukan kadar sewa semasa pada jam 3.00 petang tadi. Untuk rekod, penilaian kadar sewa terakhir dilakukan pada tahun 2017.
Penilaian ini merupakan proses biasa dalam menentukan kadar sewa berdasarkan pasaran semasa yang dibuat setiap 3 tahun.
LARKIN, 10 Mei 2023 - Telah berlangsung Majlis Perhimpunan Bulanan JBSN Johor bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor.
YBhg Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah JBSN Johor telah menyampaikan amanat kepada semua Pegawai dan kakitangan JBSN Johor merangkumi aspek etika kerja dan tanggungjawab sebagai penjawat awam serta motivasi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam.
Dalam majlis tersebut, turut disampaikan Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan cemerlang melalui penilaian secara bulanan (Mac dan April).
Pekerja Terbaik Bulan Mac:
1) Encik Jahidin Abdullah (KOMBES Johor)
2) Encik Mohd Fahmi bin Ali (PBSD Tangkak)
3) Cik Glendalyn Johnny (Bahagian Pembangunan Rakan Muda)
Pekerja Terbaik Bulan April:
1) Puan Belinda Michelle binti Benedict (PBSD Johor Bahru)
2) Encik Saiful bin Razali (Bahagian Pentadbiran)
3) Encik Mohd Sujak bin Paidi (KRM Desaru)
Turut diraikan Puan Yuslizai binti Yusof, mantan Penolong Pegawai Tadbir yang telah berpindah ke Jabatan Akauntan Negeri Johor berkuat kuasa pada 2 Mei 2023 yang lalu.
Semoga Majlis seperti ini dapat mengeratkan silaturahim dan ikatan ukhwah dalam kalangan Pegawai dan kakitangan JBSN Johor khasnya.
JOHOR BAHRU, 7 Mei 2023 - Telah berlangsung rakaman temu bual bagi Penerbitan Majalah Sempena Hari Belia Negara (HBN) Negeri Johor "INI MASA KITA" untuk siaran JOHORfm bertempat di Jabatan Penyiaran Malaysia Johor (JOHORfm.) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah dihadiri oleh Encik Mohamad Mazlan bin Haji Anis, Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Beliau telah berkongsi berkenaan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Negeri Johor, Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Negeri Johor serta Program Aktiviti Ambang Hari Belia peringkat daerah.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak JOHORfm yang sudi menerbitkan Majalah Belia "INI MASA KITA" bagi siaran JOHORfm.
Semoga kerjasama ini akan berterusan agar maklumat berkaitan belia khususnya di Negeri Johor dapat disebarluaskan lagi.
JOHOR BAHRU, 7 Mei 2023 - Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor sertai Johor Bersih Perdana
yang telah dirasmikan oleh YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor pagi ini bertempat di hadapan CIMB Bank Jalan Segget, Pusat Bandar Johor Bahru.
Turut hadir dalam gotong royong ini ialah YB Mohd Hairi Mad Shah, Exco Belia Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor dan Puan Nur Amalina, Penolong Pengarah Rakan Muda serta warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Program ini merupakan inisiatif kerajaan Negeri Johor dalam berganding bahu untuk menjadikan Negeri Johor sebuah Negeri yang bersih dan bebas pencemaran.
MERSING, 7 Mei 2023 – Walaupun masih dalam ‘mood’ Syawal, ia tidak menjadi halangan kepada kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Mersing untuk bersama-sama menyertai aktiviti gotong-royong Program Jalan Angkat sempena Johor Bersih 2.0 yang diadakan pada hari ini bermula jam 8.00 hingga 9.00 pagi di sepanjang Jalan Sulaiman dan Legaran Penambang.
Kebersihan bandar Mersing bukan sahaja menjadi tanggungjawab agensi-agensi yang ditetapkan justeru menjadi tanggungjawab warga Mersing jua. Bandar yang bersih akan melahirkan warga yang sihat dan aktif sebagaimana slogan “Mersing Bersih Kesayangan Kita”. Pastikan sampah dibuang di tempat yang sepatutnya. Berat sampah yang direkodkan pada hari ini ialah 7.75 kg.
MERSING, 2 Mei 2023 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Mersing telah menerima kehadiran Encik Mohd Zulhaizat bin Ali, Penolong Pegawai Belia dan Sukan (S29) yang melapor diri hari ini dan akan melengkapkan kekosongan perjawatan di Unit Belia dan Rakan Muda.
Beliau berpindah daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dan telah berkhidmat di Negeri itu selama 13 tahun. Semoga kehadiran beliau dapat membantu PBSD Mersing untuk memperkasa jaringan hubungan dengan semua pemegang taruh di peringkat daerah Mersing khususnya dan mengaktifkan program-program yang telah dirancang.
TANGKAK, 17 April 2023 - Setelah 8 hari berlangsung, hari ini merupakan hari terakhir Team Tangkak melaksanakan KRM @ MySaveFood Ramadan di Bazar Ramadhan Bukit Gambir, Tangkak.
Turut hadir ialah Encik Ahmad Syariffuddin bin Sarmin, Pengarah Cawangan Pembangunan Kesukarelawanan, BahagianPembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia & Sukan Negara dan Encik Imran Shafin bin Mohd Saibani, pemangku Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Tangkak.
Sebanyak 427.50 kg makanan dan minuman yang dikumpulkan daripada para peniaga, telah berjaya diselamatkan dan telah diagihkan kepada madrasah, golongan yang memerlukan dan surau kampung sepanjang 8 hari program berlangsung.
Berikut adalah jumlah pecahan (kg) lebihan makanan mengikut hari yang telah berjaya direkodkan oleh sukarelawan Kelab Rakan Muda Tangkak.
8 April 2023 : 35.10 kg
9 April 2023 : 47.60 kg
10 April 2023 : 95.00 kg
11 April 2023 : 24.90 kg
12 April 2023 : 58.50 kg
13 April 2023 : 54.80 kg
14 April 2023 : 24.10 kg
16 April 2023 : 87.50 kg
Program ini mendapat sokongan dan kerjasama yang sangat baik dalam kalangan peniaga untuk bersama-sama menjayakan usaha mengelakkan pembaziran makanan. Terima kasih diucapkan kepada semua peniaga dan terima kasih juga diucapkan kepada sukarelawan Kelab Rakan Muda Tangkak yang membantu melancarkan program sepanjang 8 hari ia dilaksanakan.
MERSING, 16 April 2023 – Kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Mersing telah bersama-sama menyertai aktiviti gotong-royong yang diadakan pada 16 April 2023 (Ahad) dari jam 8.00 pagi hingga 9.00 pagi di Persisiran Pantai Tanjung, Mersing Kanan.
Aktiviti gotong-royong kali ini melibatkan Agensi Zon 2 hingga Zon 3 dari belakang PAKAR hingga Galeri Keropok. Zon 2 terdiri daripada kakitangan Pejabat Zon Maritim Daerah Mersing (APMM) dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Mersing manakala Zon 3 diwakili oleh Pejabat Tanah Daerah Mersing, Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Daerah Mersing dan Pejabat Laut Daerah Mersing serta Ranhill SAJ Sdn. Bhd.
Bulan Ramadan tahun ini tidak menjadi halangan kepada penjawat-penjawat awam di daerah ini untuk menyertai aktiviti gotong-royong PJA setiap minggu. Kita perlu menghargai kebersihan di sekeliling kita demi melestarikan alam sekitar sebagai warisan masa hadapan.
Berat sampah yang direkodkan pada hari ini ialah 123.17 kg.
Batu Pahat, 13 April 2023 - Program MYSaveFood di Bazar Ramadan Peringkat Daerah Batu Pahat telah bermula dari 13 hingga 20 April 2023 (8 hari) dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Batu Pahat dan Kelab Rakan Muda Batu Pahat yang telah diadakan di tapak Bazar Ramadan Pesta Batu Pahat.
Program ini bertujuan untuk mengelakkan pembaziran yang berlaku dalam kalangan peniaga Bazar Ramadan dengan menyalurkan lebihan makanan tersebut kepada golongan yang memerlukan.
Program ini telah disertai oleh 8 orang sukarelawan dari Kelab Rakan Muda Daerah Batu Pahat.
Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua sukarelawan Kelab Rakan Muda Daerah Batu Pahat dalam menjayakan pelaksanaan program ini.