
KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER 2020 - Selepas mencipta kejayaan dengan membuka kedai runcit pertama di Jeddah, Kedai Asia kini mengorak langkah menjadi pengeksport durian Malaysia dari varian D24 yang pertama ke Arab Saudi menggunakan teknik sejuk beku dengan nilai keseluruhannya sebanyak RM200,000.
Pengarah Husam Waksa Sdn Bhd, Engku Isa Al-Husam, yang juga pengasas bersama Kedai Asia di Arab Saudi berkata, penghantaran pertama durian itu telah dilakukan pada 9 November lalu, ia dijadualkan sampai dalam minggu ketiga November ini.
"Apabila sampai ia akan terus dihantar ke seluruh Arab Saudi kepada pelanggan dalam talian serta sebahagiannya akan diedarkan ke rangkaian kedai dari Asia termasuk diedarkan kepada rakyat Malaysia di Riyadh melalui Kerjasama MY-Riyadh, persatuan rakyat Malaysia di Riyadh," katanya kepada Bernama.
Inisiatif penghantaran durian ke negara Arab Saudi bertujuan membantu rakyat Malaysia yang tinggal di sana menghilangkan rasa 'mengidam' durian kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing disebabkan pandemik COVID-19.
"Oleh itu, satu program khas telah dilancarkan yang dinamakan 'COVID-19 Stock Initiative' secara dalam talian di lawan sesawang Kedai Asia pada www.kedai.asia semasa September lalu.
"Kami amat teruja kerana pra-tempahan yang diterima bukan sahaja daripada ekspatriat Malaysia, malah dari warganegara lain seperti Jepun, Filipina, Indonesia, Pakistan dan paling menarik apabila ada juga orang Arab yang membeli durian," katanya.
Pada masa hadapan, pihaknya bercadang membuat membuat penghantaran durian sebanyak empat kali setahun iaitu setiap tiga bulan sekali serta berhasrat bagi membawa dan memperkenalkan banyak lagi buah-buahan tropika termasuk produk-produk pertanian lain dari Malaysia.
"Semua produk ini akan dijual di cawangan pasar mini Kedai Asia yang baharu di Jeddah tidak lama lagi. Cawangan ini mempunyai keluasan 4,000 kaki persegi terletak di bandar raya Jeddah," katanya.
Selain Malaysia, Arab Saudi turut mengimport buah durian dari Thailand dan kebanyakannya di jual di pasar raya utama di negara itu.
"Ini antara cabaran dan persaingan yang kami perlu hadapi, khususnya daripada segi harga, durian dari Thailand harganya lebih murah, oleh itu, kami perlu memastikan kualiti durian yang dihantar ke Arab Saudi memenuhi standard kualiti yang telah ditetapkan," katanya.
Kedai Asia, yang berpangkalan di Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada 2015 bersama Mohammad Qarah dari Madinah Al Munawwarah.
Pada April 2019, Kedai Asia membuka Kedai Asia Corner di dalam Abraj Tower iaitu Menara Jam Makkah, Masjidil Haram dengan kerjasama Hyper Abraj dengan menjual produk makanan Malaysia seperti Maggi, sos cili, kicap Jalen, sambal dan sebagainya.
Kedai Asia telah mengeksport lebih 1,000 jenis produk makanan halal dari Malaysia serta telah membantu lebih 300 syarikat industri kecil dan sederhana Bumiputera dengan memasarkan produk mereka di Arab Saudi.
"Sejak penularan pandemik COVID-19, Kedai Asia kini beroperasi secara dalam talian melalui e-shop www.kedai.asia dan jualan telah melebihi suku juta riyal semenjak dilancarkan pada Jun 2020, dan akan melancarkan aplikasi telefon pintar melalui Kedai Asia Apps pada Disember depan," tambahnya.
Artikel ini disiarkan oleh berita harian pada : 15 november 2020
- APBM Batu Gajah
- Hits: 430



