PUTRAJAYA, 15 MAC 2021 - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan memperkenalkan skim pembiayaan baharu untuk individu diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19, yang berhasrat memulakan perniagaan, kata Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar.
Beliau berkata skim dengan peruntukan sebanyak RM50 juta itu akan membantu mereka yang terjejas dengan pembiayaan minimum RM50,000 untuk memulakan perniagaan.
Skim itu, berbeza daripada Bumiputera Relief Financing (BRF) sebelum ini yang menumpukan pembiayaan kepada syarikat terjejas, akan dilancarkan dalam masa terdekat dan perinciannya diumumkan kemudian, katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara tujuh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dengan PUNB.
Agensi yang terlibat ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Bank Rakyat, SME Bank, UDA Holdings, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).
Mengenai MoU itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia adalah sinergi dalam usaha mewujudkan ekosistem perniagaan kondusif bagi menjana sosio-ekonomi bumiputera yang lebih berdaya saing.
Beliau berkata, antara skop kerjasama dalam MoU ini ialah tawaran pembiayaan perniagaan, perkongsian idea, peluang perniagaan, kemudahan fasiliti dan promosi perniagaan.
"Faktor pembiayaan dan kekurangan dana menjadi antara penyumbang utama kepada kekurangan penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor ekonomi.
"Saya juga yakin sinergi ini dapat melahirkan 100 jutawan setiap tahun dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana hasil kerjasama MEDAC dan PUNB," katanya.
TRONOH, PERAK, 25 FEBRUARI 2021 – Seramai sembilan orang pegawai-pegawai di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah menyertai Kursus ePerolehan modul sebut harga kepada Pusat Tanggung Jawab (PTJ) dibawah Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Kursus yang dilaksanakan secara atas talian ini bertujuan untuk memberi kefahaman,bantuan/khidmat nasihat dan hands on training kepada pengguna, khususnya yang terlibat secara langsung di dalam sebut harga.
Turut serta dalam kursus ini bersama-sama pegawai-pegawai ialah Encik Azlan Bin Hussain, Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah, Perak.
KUALA LUMPUR, 23 FEBRUARI 2021 - Kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan menjadi faktor penting dalam menentukan laluan Malaysia ke arah merealisasikan pemulihan ekonomi, menurut Asia Pacific Investment Bank Ltd (APIB).
Pengarah Jabatan Pengurusan Aset, Lai Heow Gran berkata, program itu akan mengekang penularan jangkitan virus, sekali gus membolehkan usaha pemulihan ekonomi terus dipacu.
"Bagaimanapun, ekonomi ini mungkin berdepan risiko sekiranya vaksinasi ini tidak dapat mengatasi evolusi virus," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Selain itu, beliau berkata, Malaysia dijangkakan meraih manfaat daripada pemulihan ekonomi Singapura dan China – dua rakan dagang terbesar negara.
Lai turut mengunjurkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi separuh pertama 2021 kekal tidak berubah pada 1.75 peratus untuk merancakkan pertumbuhan pasaran.
Mengenai e-dagang, beliau berkata, walaupun Covid-19 menjejaskan ekonomi negara secara keseluruhannya namun pandemik itu memangkin pembangunan pesat sektor e-dagang Malaysia.
Pada 2020, nilai keseluruhan transaksi e-duit dalam negara melonjak 60 peratus tahun ke tahun untuk mencecah paras tinggi bernilai RM29.4 bilion, katanya.
"Nilai keseluruhan e-dagang Malaysia diunjurkan mencapai RM36.1 bilion pada 2021 dan RM41.7 bilion pada 2022," katanya.
KUALA LUMPUR, 22 FEBRUARI 2021 - Pengimport daging dan makanan laut sejuk beku, Eurofresh Sdn Bhd menyasarkan untuk membekalkan daging segar tempatan khususnya keluaran penternak dari Perak dalam tempoh setahun dari sekarang.
Pengurus Besar Eurofresh, Mohamad Hisam Mohamad Yusof berkata anak syarikat milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu dalam perancangan meningkatkan jumlah pengeluaran daging tempatan termasuk penyediaan pusat pengambilan dan pemprosesan daging segar.
"Daripada segi pasaran, kita sudah ada rangkaian dengan pembeli daging import, namun untuk daging segar tempatan kita mahu pastikan bekalan itu mencukupi terlebih dahulu.
"Kita tidak mahu apabila dah mula bekalkan daging segar tempatan tapi tiba-tiba sampai separuh jalan lepas itu dah tak ada, kita nak pastikan pengeluaran bekalan itu berterusan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan dan Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria di kilang syarikat itu di Damansara.
Sementara itu, Mohamad Hisam menegaskan syarikat itu mengimport daging dan makanan laut sejuk beku yang mempunyai status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mendapat kebenaran permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS), sebelum ia dipasarkan dalam negara.
"Kami ingin menegaskan daging dan makanan laut sejuk beku yang diimport tidak melibatkan orang tengah atau perantara, dan sentiasa mematuhi piawaian ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.
Antara negara daging beku diimport adalah Australia, New Zealand, India, Brazil dan Jepun manakala makanan laut sejuk beku dari Chile, Alaska, Korea dan China.
Sementara itu, Razman berkata ketika ini terdapat lebih 1,066 penternak lembu, 238 penternak kerbau dan 700 penternak kambing di seluruh negeri Perak.
"Industri daging tempatan amat besar, seperti Hari Raya Haji di Perak sahaja lebih 2,000 ekor lembu diperlukan untuk korban, namun pengeluaran penternak tempatan 30 peratus sahaja.
"Oleh itu perancangan masa depan kerajaan negeri mahu memastikan pembabitan lebih ramai kumpulan B40 seperti dalam program ragut bagi meningkatkan lagi pengeluaran daging tempatan," katanya.
KUALA LUMPUR, 22 FEBRUARI 2021 - Kedatangan Hari Raya Aidilfitri pastinya tidak lengkap tanpa adanya biskut raya yang menjadi juadah wajib bagi tetamu.
Namun, bagi penggemar biskut raya tetapi dalam masa yang sama ingin menjaga kesihatan diri pastinya sentiasa dalam dilema untuk mengambil makanan tersebut.
Bagaimanapun, bermula tahun ini, rakyat Malaysia berpeluang menikmati juadah itu tanpa rasa bersalah kerana Brain Story Sdn Bhd (Brain Story) tampil dengan biskut raya premium.
Pengarah Eksekutifnya, Dr Rizal Abu Bakar berkata, istimewanya produk yang dikeluarkan syarikatnya itu menggunakan 90 peratus bahan organik yang dapat membantu meningkatkan lagi kesihatan ketika mengambil makanan tersebut.
Katanya, idea untuk memperkenalkan biskut raya premium atau berkualiti tinggi itu tercetus kerana dirinya sangat mementingkan kesihatan dalam pengambilan makanan.
“Kami melihat ada keperluan dan permintaan untuk mengeluarkan biskut raya premium sebab kebanyakan orang akan bertanya kalau hendak makan biskut raya, boleh makan atau tidak sebab dalam biskut raya ada macam-macam bahan yang tidak sihat. Contohnya pemanis sintetik yang beri implikasi buruk pada kesihatan otak manusia.
“Jadi bagi yang sudah menjaga kesihatan pada bulan puasa tetapi apabila musim perayaan, mereka akan makan sakan, dibimbangi banyak implikasi terhadap kesihatan mereka.
“Bahan yang kami gunakan untuk membuat biskut raya ini tidak seperti bahan yang digunakan untuk buat biskut raya lain, kami menggunakan bahan ‘rare’ yang betul-betul organik seperti 'dark chocolate' sebanyak 70 peratus,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di UKM-MTD baru-baru ini.
Menurut Rizal, bermula Aidilfitri tahun ini, syarikatnya menawarkan sebanyak 12 produk biskut raya yang kesemuanya menggunakan 90 peratus bahan organik.
Katanya, kesemua produk yang boleh diperoleh untuk hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi itu terhasil selepas lebih tiga tahun melalui proses ujian penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan ia betul-betul berkualiti.
Menurut Rizal yang juga pengasas OCOC, biskut raya keluarannya itu menggunakan teknologi retort iaitu memproses makanan tanpa bahan pengawet, tanpa pewarna tiruan, tanpa perisa tiruan dan tanpa gula putih.
"Contohnya untuk jem nanas kami gunakan nanas MD2 dan jem blueberry daripada blueberry asli. Semuanya dibuat dengan resipi khas untuk tart yang dipasarkan. Bila kita sebut R&D ini kita tidak boleh lari daripada keluarkan kos tinggi.
"Tapi tidak apalah yang penting kita puas hati dan masyarakat mendapat nikmat sihat.
“Kami menggunakan tepung yang pelbagai seperti tepung labu, tepung 'beetroot', tepung ubi keledek dan juga tepung 'gluten free'. Semua tepung ini punya nutrien yang tinggi,” katanya.
Bagaimanapun Dr Rizal berkata, cabaran itu diambil dengan sudut positif kerana ingin memastikan penggemar biskut raya dapat makan dengan senang hati tanpa rasa bersalah.
“Bila sebut benda sihat ini, orang akan fikir ia tidak sedap tetapi kami mengambil cabaran itu dengan membuat biskut yang sedap dan sihat,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai harapan terhadap produk biskut raya premium keluarannya itu, Dr Rizal berkata, dengan menggunakan bahan organik yang baik untuk kesihatan diri diharap akan menjadi pilihan ramai.
Menurut Dr Rizal, ia juga bersesuaian untuk diambil dalam dalam suasana pandemik Covid-19 yang belum ada penghujungnya lagi buat masa ini.
“Zaman Covid-19 ini, sistem imunisasi sangat penting. Kita perlu mengambil makanan yang dapat meningkatkan sistem imunisasi. Jadi sangat bertepatan dengan produk kami yang boleh dikategorikan sebagai 'functional food',” katanya.
Mengenai kaedah pemasaran, katanya ia dijual melalui ejen yang dilantik selain membuat promosi di media sosial.
Katanya, orang ramai dialu-alukan untuk membuat tempahan awal produk biskut raya premium keluaran syarikatnya itu yang dijual pada harga RM50 hingga RM60 sebalang.
“Antara jenis biskut yang boleh didapati choco oat crunchies, holland butter cookies, bali butter chocolate, melaka matcha cookies, pumpkin tart nanas dan brownies crunchy,” katanya.
Biskut lain yang boleh didapati ialah beetroot crunchy, coconut coco cookies, walmond choc crunchy, sweet potato blueberry tart, semperit nectar kelapa, dan almond rich choc.
KUALA LUMPUR, 22 FEBRUARI 2021 - Penyertaan lebih meluas semua sektor ekonomi dalam pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Kebangsaan (MyDIGITAL) amat penting dalam membantu kerajaan mencapai sasarannya untuk meningkatkan daya saing ekonomi melalui pendigitalan menjelang 2030, kata seorang penganalisis teknologi.
Bobby Varanasi berkata pelan tindakan itu adalah kerangka yang mengandungi keseluruhan spektrum ekonomi yang melengkapkan inisiatif terdahulu oleh pelbagai kementerian dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Justeru dengan pembabitan lebih banyak sektor swasta, kerajaan diharap dapat mencapai sasaran itu," katanya pada program 'Bernama TV's 'Mid-day Update',' hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan ekonomi hijau dan sirkular di bawah Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) rangka tindakan itu akan menggerakkan negara ke arah ekonomi berdigital dan terus bertahan dalam menghadapi situasi penyusutan sumber.
"Ekonomi hijau dan sirkular ini akan bergerak seiring bagi matlamat jangka panjang," katanya.
Terdapat enam teras di bawah rangka tindakan itu - memacu transformasi digital dalam sektor awam meningkatkan daya saing ekonomi melalui pendigitala membina infrastruktur digital membangunkan tenaga digital yang tangkas dan cekap mewujudkan masyarakat digital yang inklusif; dan membina persekitaran digital yang dipercayai, selamat dan beretika.
Teras strategik itu disokong oleh 22 strategi, 48 inisiatif nasional dan 28 inisiatif sektor, yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa hingga 2030.
Di bawah Fasa 1 (2021 hingga 2022), kerajaan menyasarkan untuk memberi tumpuan kepada mempercepatkan penggunaan digital bagi mengukuhkan asas digital yang diperlukan untuk pelaksanaan Fasa 2 dan Fasa 3 yang pesat dan lancar.
Dalam Fasa 2 (2023-2025), peralihan tumpuan kepada memacu transformasi dan kemasukan digital merentasi ekonomi digital, menekankan keterangkuman dalam kalangan rakyat dan semua peringkat perniagaan.
Di bawah Fasa 3 (2026-2030), tumpuan adalah untuk menjadikan negara ini sebagai peneraju serantau dalam kandungan digital dan keselamatan siber. – Bernama
KUALA KANGSAR, 22 FEBRUARI 2021 - Bubble Bee Sdn. Bhd. terus mengukuhkan rangkaian perniagaannya di negara ini dengan pembukaan cawangan terbaharu di Kuala Kangsar, Perak.
Pengasasnya, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali Shuib berkata, cawangan itu merupakan yang ke-33 di seluruh negara dan keempat di Perak selepas Meru, Parit Buntar dan Taiping.
Katanya, cawangan tersebut juga akan menyediakan khidmat pandu lalu di mana ia akan beroperasi dalam masa terdekat.
“Meskipun ini merupakan cawangan ke-33, namun, sambutan yang diterima masih luar biasa di mana orang ramai terus memberikan kami sokongan padu.
“Selepas pembukaan cawangan di sini, kami akan membuka lima lagi cawangan di lokasi strategik di Perak iaitu Tanjung Malim, Slim River, Lumut, Teluk Intan dan Tapah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bubble Bee di sini hari ini.
Menurut Shuib, beberapa cawangan lagi akan dibuka di beberapa lokasi selaras dengan sasaran pihaknya untuk membuka 100 cawangan di seluruh negara.
Katanya, pembukaan cawangan produk minuman air boba berasaskan madu lebah itu juga diharap dapat membantu menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.
“Ini usaha kecil kami dengan purata setiap cawangan mempunyai 20 kakitangan, insyallah ia sedikit sebanyak boleh membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya yang turut berhasrat menembusi pasaran Sabah dan Sarawak.
Dalam perkembangan berlainan, beliau memberitahu, hasrat pihaknya untuk menubuhkan Yayasan Bubble Bee bakal terlaksana tidak lama lagi apabila kini dalam proses pendaftaran.
Katanya, objektif penubuhan yayasan itu nanti adalah untuk pihaknya berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
“Idea penubuhan yayasan ini sudah lama sejak Bubble Bee ditubuhkan. Kami terpanggil untuk menubuhkannya setelah tertarik dengan usaha pendakwah terkenal, Ebit Lew yang tidak pernah jemu membantu masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR, 28 JANUARI 2021 - Penangan dan fenomena drama Korea atau K- Drama saat ini bukan sesuatu yang pelik.
Malah sejak sekian lama, daripada pelbagai lapisan umur, boleh dikira semua golongan meminatinya.
Ketika era pandemik ini pun, saat membiasakan norma baharu duduk di rumah, pelbagai judul drama Korea muncul sebagai 'juadah' santapan di pelbagai platform termasuk yang distrim.
Lalu atas paksi berkenaan juga pengusaha premis makanan terkenal, Amran Abd Hamid, 47,muncul dengan jenama ayam goreng sendiri dipanggil All Chicken World (ACW) sejak September tahun lalu.
Mengakui antara peminat setia K-Drama, pemegang sarjana muda Pentadbiran Korporat di ITM Shah Alam ini terdorong memasarkan ACW.
"Tak boleh dinafikan permintaan masyarakat terhadap apa saja dari Korea itu ada di negara kita. Termasuklah dramanya yang mampu merentap emosi dan mencuit hati.
"Barisan pelakon wanita dan lelaki mereka pun memang menawan. Saya ini setakat minat dramanya saja, nak ingat nama pelakon wanitanya nanti isteri pantau pula," selorohnya.
Amran yang terlebih dahulu mengusahakan jenama Penyet Penyet.com (dulu dikenali dengan nama Dapur Penyet) sejak 11 tahun lalu optimis dengan jenama ayam gorengnya itu.
"ACW diinspirasikan daripada ayam goreng dari Korea tapi pastinya dengan sentuhan Malaysia serta diyakini halal. Kita pasarkan drummet ayam sebagai sajian snek ringan.
"Sebelum ini kerisauan saya untuk mendapatkan ayam goreng enak dari Korea di Malaysia timbul kerana belum pasti sama ada halal atau sebaliknya.
"Apabila mengusahakan sendiri, saya boleh pastikan ACW boleh dinikmati tanpa was-was. Ia tidak menggunakan ayam yang diimport atau sejuk beku. Kita gunakan ayam tempatan dan segar yang disembelih di pusat penyembelihan bertauliah," katanya.
Menurut Amran lagi, antara menu tarikan ACW termasuklah Jinjeong Set yang mempunyai lapan ketul ayam penuh limpahan cheese dan pedas.
"Kita juga tawarkan set Daebak Set, Gajong Set, Chingu Set selain Party Set. Jika tekak teringin ayam goreng Korea, pastikan ACW jadi pilihan. Rasanya memang 'terangkat'.
"Tak perlu nak terbang ke Korea untuk menikmati semua ini di rumah. Jimat kos, apatah lagi nak rentas negara pun tak boleh sewenang wenangnya," katanya.
Kata Amran lagi, ketika ini ACW mempunyai dua kios fizikal di Alamanda, Putrajaya. Selain itu, wujud lebih lima tapak 'virtual kitchen' di beberapa lokasi di Ampang, Alam Damai, Alam Sentral dan Batu Caves.
"Seiring dengan norma baharu memang ACW saat ini memberi tumpuan kepada bisnes dalam talian. Dibantu dengan platform dalam talian serta aplikasi penghantaran seperti Food Panda dan Grab Food, makanan yang datang kepada anda semua.
"Biarpun perniagaan sedikit terjejas dengan pandemik semasa, terdapat peningkatan ketara jualan untuk 'online delivery' dengan lebih 30 peratus peningkatan setiap tahun.
"Malah satu kios boleh dianggarkan berjaya mendapat jualan dalam RM90,000 sebulan. Hampir separuh daripada jualan itu datang daripada transaksi dalam talian," katanya yang turut merancangkan mengembangkan ACW ke seluruh negara.
Atas kejayaan kios fizikal di Putrajaya juga menjadi titik tolak untuk pihaknya mengalu alukan pembabitan masyarakat untuk menjana pendapatan ketika dunia sedang diuji.
"Kami mahu mengajak mereka termasuk golongan suri rumah di luar sana menyertai cabang bisnes makanan dengan membuka francais baru. Kita akan sediakan kios lengkap dan ilmu kepada yang berminat dengan modal rendah.
"Ketika ini 'central kitchen' kita di Alam Damai menyediakan bekalan untuk disalurkan ke kios dan 'virtual kitchen'"Bagi yang berminat untuk turut serta boleh ke Instagram @allchickenworldmalaysia atau www.penyetpenyet.com dan tekan butang 'business opportunity'," kata Amran yang turut menerima Anugerah BrandLaureate Bestbrands bagi kategori Brandleadership E Branding 2020 bagi perniagaan Penyet Penyet.com.
SEMENYIH, SELANGOR, 28 JANUARI 2021 - Syarikat pengusaha hasil laut dan akuakultur, Public Wellbeing Solutions Sdn Bhd (PWS) menyasar untuk membangunkan 500 usahawan baharu tahun depan, yang terdiri daripada golongan belia, asnaf dan ibu tunggal.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azwan Sabirin, berkata daripada jumlah itu, 300 daripada bakal usahawan disasarkan daripada golongan daripada belia manakala selebihnya asnaf dan ibu tunggal.
Bagi mencapai hasrat itu, PWS, katanya memperkenalkan jenama Jalur3 dengan menerapkan model perniagaan yang menyepadukan dan menyelaraskan aliran komoditi bekalan makanan industri asas tani.
"Penyepaduan ini akan membabitkan syarikat pengeluar, pengusaha dan pembekal secara menyeluruh dalam rantaian bekalan makanan negara.
"Tiga kelompok komoditi utama akan dipasarkan di bawah Jalur3 ini ialah hasil laut dan akuakultur, hasil ternakan lembu, ayam dan kambing serta sayur-sayuran dan buah-buahan.
"Usahawan yang berminat akan ditawarkan model perniagaan serendah RM3,000 sehingga RM18,000, yang mana pembiayaan boleh dibuat dengan bank tempatan yang kami sedang berunding ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara PWS dengan Majlis Belia Malaysia (MBM), wakil-wakil syarikat pengusaha dan Majlis Gabungan Pengerusi-pengerusi Penduduk PPR Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof dan Presiden MBM, Jufitri Joha.
Mengulas lanjut, Azwan berkata, inisiatif Jalur3 ini berhasrat membentuk usaha sama perniagaan yang berkesan bagi menyalurkan komoditi makanan industri asas tani kepada masyarakat.
Katanya, matlamat itu disasarkan menerusi proses perniagaan yang berkesan dalam membentuk rangkaian pasaran menyeluruh melalui strategi pasaran mikro dan pembabitan usahawan belia serta pelbagai golongan usahawan dalam sektor penjualan runcit.
"Menerusi usaha sama ini, PWS merancang untuk menyalurkan komoditi makanan yang segar, berkualiti dan pada harga berdaya saing kepada masyarakat," katanya.
Sementara itu, Wasitah berkata, program Jalur3 selari dengan hasrat kerajaan yang mahu golongan belia terbabit dalam bidang keusahawanan sekali gus mencipta peluang pekerjaan.
"Langkah PWS mengetengahkan program yang kreatif seperti Jalur3 adalah satu inisiatif yang baik dan kami berharap ramai belia akan mengambil peluang ini untuk terbabit dalam bidang keusahawanan," katanya.