IPOH, 21 JULAI 2020 - Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama SME Corporation Malaysia telah melancarkan Gerup Usahawan Perak (GeRUP) pada 16 Julai 2020 lalu bertempat di Pusat Pembangunan Usahawan Negeri Perak.
Geran tersebut yang dilancarkan khas bagi usahawan-usahawan PKS dinegeri ini akan menyaksikan setiap penerima akan menerima bantuan 'one-off ' sebanyak RM3000.00 dengan peruntukan yang disediakan sebanyak RM 1 Juta.
Usahawan-usahawan yang berminat untuk memohon boleh membuat permohonan online sehingga 30 Julai 2020.
KUALA LUMPUR, 24 JUN 2020 - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro mendapat tumpuan lebih besar menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akibat penutupan ekonomi selama dua bulan akibat penularan COVID-19.
Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan membantu setiap perniagaan, sama ada besar atau kecil yang menghadapi masalah aliran tunai termasuk membayar gaji pekerja dan sewa premis, menerusi beberapa langkah dalam usaha mendorong perusahaan mikro dan PKS beralih kepada khidmat digital atau atas talian.
Katanya, kerajaan bersama sektor swasta akan membiayai usaha berkenaan menerusi geran padanan sebanyak RM140 juta, di mana peruntukan itu akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan.
Inisiatif itu akan diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama platform e-dagang yang terpilih.
"Bagi PKS dan syarikat pada peringkat pertengahan atau 'mid-tier companies', kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digitalisasi.
"Ini termasuk, RM100 juta membabitkan Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi; RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah; dan RM100 juta Geran Automasi Pintar, di mana setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta," katanya.
Dalam usaha membantu kelangsungan PKS terbabit dalam sektor kepentingan yang disasarkan, Muhyiddin berkata, sektor perbankan akan menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA.
"Pembiayaan ini boleh dipohon mulai pertengahan Jun 2020 dengan had sehingga RM500,000 bagi setiap PKS," katanya.
Mengulas mengenainya, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang, berkata apa yang diumumkan kerajaan adalah pelan pemulihan yang komprehensif sekiranya PKS dapat mengatasi masalah kewangan terutama berkaitan aliran tunai.
Katanya, sejumlah 60 peratus PKS memiliki aliran tunai yang boleh bertahan untuk tempoh tiga bulan.
"PKS masih memerlukan sokongan kewangan yang besar dari kerajaan untuk menikmati faedah seperti yang diumumkan kerajaan menerusi PENJANA.
"Program subsidi upah umpamanya memberi manfaat kepada PKS, namun syarikat yang berdepan aliran tunai tetap akan berdepan masalah berdasarkan kedudukan kewangan mereka," katanya.
TRONOH, PERAK, 26 FEBRUARI 2020 - Seramai 40 orang peserta dikalangan belia dan usahawan belia telah mengikuti Kursus Pengurusan Kewangan Peniagaan anjuran Cawangan Pengurusan & Konsultasi Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah pada 21 hingga 24 Februari 2020 bertempat di Bilik Kuliah 13, APBM Batu Gajah, Perak Darul Ridzuan.Program yang mendapat sambutan hangat daripada para belia ini disertai oleh golongan usahawan daripada negeri Perak, Selangor, Kedah, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dan beberapa wakil dari agensi kerajaan.Antara modul pembelajaran yang telah diberikan ialah Prinsip Simpan Kira, Kos Perlaksanaan Projek, Analisis Nisbah dan konsep pengekosan yang dilihat mendapat minat dan perhatian yang penuh oleh semua peserta. Pihak APBM Batu Gajah telah menjemput penceramah iaitu Encik Mohd Fadzli Bin Ahmad yang dengan komited telah mengajar para peserta selama 4 hari 3 malam berkenaan dengan dunia perakaunan.Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah APBM Batu Gajah iaitu Encik Vijayan Kumar A/L Nadarajan.
TRONOH, PERAK, 14 FEBRUARI 2020 - Jawatankuasa ICT Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa tersebut pada hari ini bertempet di Bilik Mesyuarat APBM Batu Gajah, Perak.Mesyuarat tersebut yang diadakan secara berkala iaitu 4 kali setahun telah dipengerusikan oleh Encik Azlan Bin Hussain, Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah dan turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Cawangan APBM Batu Gajah, Perak.Dalam mesyuarat tersebut, beberapa perkara penting telah dilaporkan dan dibincangkan bersama termasuklah pembahagian semula tugas-tugas ahli jawatankuasa ICT di jabatan dan isu dan masalah ICT yang sering terjadi di jabatan ini.
KUALA LUMPUR, 11 FEBRUARI 2020 - Penggunaan digital penting bagi pedagang runcit memacu pertumbuhan yang mampan dan terus kekal dalam pasaran. Platform pembayaran digital terkemuka, Fave menerusi laporannya 2020 Trend Runcit di Malaysia mendapati transformasi yang berlaku di seluruh sektor runcit Malaysia bertindak balas terhadap perubahan pilihan pelanggan, kemajuan teknologi dan evolusi pembayaran. Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Fave, Joel Neoh berkata, dalam persekitaran global yang pesat berubah, penggunaan digital penting bagi peniaga. “Di Fave, kami terus berinovasi dan mendorong sempadan kami untuk berkembang dan membolehkan pedagang memenuhi keperluan pelanggan yang beralih,” katanya menerusi kenyataan. Menurutnya, 2019 menyaksikan tonggak penting perniagaan di seluruh platform Fave dan revolusi tanpa tunai sudah berkembang ke 30 bandar di seluruh 13 negeri di Malaysia di mana pedagang menerima pertumbuhan mantap selama lima tahun terakhir dalam nilai transaksi tanpa tunai. Kenaikan penggunaan Internet mudah alih, e-dompet dan pembayaran tanpa tunai membuka jalan bagi pedagang yang diberi kuasa secara digital. Fave mendapati peningkatan bilangan peniaga luar talian offline dalam pelbagai segmen runcit mengembangkan perniagaan mereka melalui potensi pembayaran tanpa tunai dan tidak sabar membuat peralihan untuk menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian. Laporan yang dijalankan Fave itu berdasarkan data analisis yang disusun daripada lebih 15,000 peniaga di seluruh Malaysia di platform pedagang digital Fave, Favebiz antara 1 Januari hingga 31 Disember 2019 dan disokong dengan penyelidikan luaran mengenai pembayaran digital di Asia Tenggara. Selaras dengan peralihan negara kepada ekonomi tanpa tunai, laporan itu membincangkan topik tepat pada masanya untuk memperkasa pedagang offline untuk mengiktiraf kebiasaan pembayaran digital dalam mencapai pertumbuhan mampan. Ada lima kategori segmen yang dikenal pasti dalam laporan iaitu makanan dan minuman (F&B), runcit, kecantikan dan kesihatan, kecergasan, aktiviti serta perkhidmatan. Artikel ini oleh Harian Metro disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:10 AM
TRONOH, PERAK, 11 FEBRUARI 2020 - Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) telah menyambut kedatangan pengarah baru akademi ini iaitu Ybrs. Encik Vijayan Kumar A/L Nagarajan pada hari ini bertempat di Bilik Kuliah 13, disini.Majlis tersebut yang bertujuan untuk memberi penerangan dan pengenalan kepada tuan pengarah berkenaan dengan APBM Batu Gajah dan warganya.Untuk pengetahuan, Ybrs. Encik Vijayan Kumar A/L Nagarajan merupakan pengarah ke 14 bagi APBM Batu Gajah, Perak. Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan selamat datang dan pengenalan daripada Encik Azlan Bin Hussain, Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah dan seterusnya ucapan daripada tuan pengarah. Tuan pengarah dalam ucapannya berharap agar beliau akan mendapat kerjasama yang baik daripada semua pegawai dan kakitangan dalam memastikan APBM Batu Gajah sentiasa maju kedepan dalam semua segi.
SEIRING perkembangan Revolusi Industri 4.0, Tabung Haji (TH) tampil dengan platform perkhidmatan dalam talian yang memudahkan lebih sembilan juta pendepositnya.
Menerusi laman web https://www.thijari.com.my, pendeposit boleh menyemak akaun, mencetak penyata serta menguruskan pindahan wang, perkhidmatan haji dan Kelab TaHa (Kelab Tabung Haji) secara dalam talian.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, TH sentiasa memperkenalkan inisiatif baharu untuk menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada pendeposit.
Menurutnya, menerusi platform terbaharu ini, TH berkolaborasi bersama bank tempatan selain mempunyai lebih 10,000 titik sentuh rakan strategik seluruh negara yang membolehkan pendeposit melakukan transaksi tanpa perlu hadir ke kaunter TH.
“TH perlu lebih agresif menyediakan perkhidmatan berteknologi untuk kekal relevan. Sebanyak 45 peratus pendeposit adalah generasi muda yang mahir dengan teknologi terkini.
“Gabungan ini mempunyai jangkaan tinggi dan kehendak mereka wajar diberikan pertimbangan untuk meluahkan pandangan atas perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Platform Perkhidmatan Digital THiJARI di sini, semalam.
Sempena pelancaran itu, TH memperkenalkan Kempen #simpandaftardanmenang untuk menarik minat orang ramai menyimpan selain mendaftar haji.
Antara hadiah ditawarkan adalah pakej umrah dan wang tunai RM300,000 dengan syarat membuka akaun atau menambah simpanan RM5,000 serta mengekalkan jumlah simpanan untuk tempoh kempen dari Mei hingga Julai ini.
BATU GAJAH ,PERAK,07 FEBRUARI 2020 - Selamat Bersara diucapkan kepada YBrs. Puan Hajah Wan Norhashimahdaudy Binti Wan Hashim ,Pengarah Akademi Pembangunan Belia Malaysia Batu Gajah, Perak.
Kelab Keluarga dan Rekreasi APBM Batu Gajah telah menganjurkan satu majlis khas untuk yang diraikan puan pengarah APBM Batu Gajah yang akan bersara wajib berkuat kuasa 08 Februari 2020 ini setelah berkhidmat dengan kerajaan Malaysia hampir 36 tahun.
Persaraan Puan Hajah Wan Norhashimahdaudy Binti Wan Hashim daripada jawatan Pengarah APBM Batu Gajah disifatkan satu kehilangan besar kepada anggota dan Pegawai Belia dan Sukan, serta kementerian Belia Dan Sukan Malaysia.
Semoga sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera disamping keluarga tercinta.Jasamu dikenang & Selamat Bersara
SERI ISKANDAR, PERAK, 06 FEBRUARI 2020 - Seramai 15 orang pegawai dan kakitangan Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah memenuhi jemputan bagi menyertai Majlis Perutusan Tahun Baharu 2020 Yang Berhormat Howard Lee Chuan How, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Dan Sukan Negeri Perak pada hari ini bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara Seri Iskandar, Perak.
Majlis tersebut turut disertai oleh pegawai-pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan setiap aktiviti dan program yang melibatkan portfolio pembangunan belia dan sukan di Negeri Perak.
Turut serta dalam majlis tersebut Encik Md. Isa Bin Ibrahim, Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara Seri Iskandar dan Encik Jim Khong, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).