BANGI, 23 MEI 2019 - Unit Pameran, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah memenuhi jemputan untuk pameran Mini Youth Business Expo (MYBEX) sempena sambutan Hari Belia Negara yang diadakan pada 14 dan 15 Mei 2019 lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.
APBM Batu Gajah yang diwakili oleh 4 orang staf telah membuka booth pameran seawal jam 7.30 pagi lagi bersama-sama agensi kerajaan serta usahawa-usahawan belia seluruh negeri.
Program pameran tersebut telah mendapat kunjungan khas daripada Yang Berhormat, Tuan Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman, Menteri Belia Dan Sukan Malaysia.
KUALA LUMPUR, 22 MEI 2019 - Beberapa usahawan Malaysia adalah antara 300 orang dari 23 negara di Asia Pasifik yang tersenarai dalam Forbes 30 Bawah 30 Asia tahun ini. Forbes berkata, kumpulan bakat muda itu dipilih daripada lebih 2,000 penyertaan, selepas dikaji oleh sekumpulan wartawan dan kerja-kerja mereka dinilai oleh panel hakim termasuk dalam aspek inovasi teknologi.
Usahawan Malaysia terbabit ialah Aaron Patel, Bobby Ong, TM Lee, Chris Khristie, Michelle Tan, Jin Xi Cheong, Joolin Chuah, Kendrick Wong, Melvin Poh, Sarah Chen dan Wen Shin Chia.
Patel ialah Ketua Pegawai Eksekutif iHandal Energy Solutions, firma kejuruteraan dan kontraktor yang pakar dalam meningkatkan kecekapan tenaga haba bangunan komersil dan perindustrian.
Bobby Ong dan TM Lee pula ialah pengasas bersama CoinGecko, penggabung data mata wang kripto yang menjejak statistik harga, volum, sosial dan pemaju.
Syarikat ini bekerjasama dengan Western University di Kanada dan Humboldt University di Berlin dalam menghasilkan penyelidikan mata wang kripto.
Chris Khristie dan Michelle Tan ialah pengasas bersama kumpulan media digital, INFLUASIA, yang memenuhi keperluan masyarakat berbahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin Malaysia melalui portal mereka, World of Buzz, Lobak Merah, dan NOODOU.
Jin Xi Cheong ialah pengasas Poladrone, sebuah syarikat yang menggunakan dron dalam industri minyak sawit bagi meningkatkan kecekapan ladang sawit dan ladang tanaman di Malaysia.
Joolin Chuah pula ialah rakan sekutu dalam Insignia Ventures Partners yang memainkan peranan dalam hampir 10 pelaburan pada 2018, termasuk syarikat pemula niaga yang menjanjikan seperti igloohome, CoHive dan Sayurbox.
Beliau dikenali sebagai penasihat untuk kebanyakan usahawan di Asia Tenggara dan menjadi ahli lembaga pengarah Finhay, sebuah platform penasihat robo di Vietnam.
Kendrick Wong ialah pengasas bersama Omnilytics, platform analisis fesyen yang menawarkan data risikan pasaran masa nyata bagi 75,000 jenama.
Perkhidmatan data besar Omnilytics digunakan oleh peruncit di seluruh dunia serta pelanggan pasaran kewangan.
Melvin Poh, 2,7 ialah pengasas bersama The Asian Entrepreneur, penerbit antarabangsa dan platform media dengan pembaca aktif di 13 negara.
The Asian Entrepreneur baru-baru ini bekerjasama dengan kerajaan Malaysia, Macau dan Korea Selatan untuk memulakan beberapa komuniti dan acara syarikat pemula niaga.
Sarah Chen ialah pengasas bersama The Billion Dollar Fund Women, dengan matlamat utama untuk menangani jurang pembiayaan jantina yang dihadapi oleh pengasas wanita.
Dana itu berharap dapat melabur AS$1 bilion (RM4.08 bilion) dalam syarikat pemula niaga yang didorong oleh wanita menjelang 2020, dan telah memperoleh lebih AS$750 juta (RM3.07 bilion) dari pelabur global termasuk Gobi Partners, Golden Gate Ventures, Rethink Impact, Capital Growth Capital, Backstage Capital dan Funds Different.
Sementara itu, Wen Shin Chia ialah pengasas Green Yards, syarikat ekoproduk yang membuat sabun dan lilin daripada minyak masak dikitar semula.
Syarikat itu, yang memperoleh sumber minyak dari restoran dan isi rumah Malaysia, menjual produknya secara dalam talian dan di kedai hadiah di negara ini. - BERNAMA
SHAH ALAM, 22 MEI 2019 - Memiliki produk sendiri untuk dipasarkan kepada orang ramai bukanlah sesuatu yang mudah dan mampu dilakukan oleh setiap individu. Namun pengasas Fiena Beauty, Nurul Afrina Sha’ari, 24, membuktikan bahawa perkara itu bukan sesuatu yang mustahil walaupun hanya bermula dengan menjadi ejen 'dropship' dan menjual produk orang lain.
Mengimbau kembali, Afrina yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang dalam jurusan Diploma Kesihatan dan Persekitaran memberitahu, dia mula berniaga dengan menjadi ejen ‘dropship’ bagi produk kanta lekap, baju dan kosmetik dengan keuntungan sekitar RM3 bagi setiap jualan.
Katanya, sejak itu dia mula bercita-cita mempunyai perniagaan sendiri dan sanggup berhenti belajar pada Oktober 2017 sewaktu sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan di UiTM Kampus Puncak Alam meskipun mendapat tentangan hebat keluarga.
Saya berazam untuk membuktikan kepada keluarga yang saya mampu berjaya. Pada akhir 2017, saya menu–buhkan syarikat bersama suami, Wan Mohamad Fareed Aqeel Wan Mohd Adnan, 25, dan kami mengeluarkan produk jenama sendiri iaitu Fiena Beauty.
"Saya bermula dengan modal RM5,000 iaitu hasil yang dikumpul ketika menjadi ejen jualan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, baru-baru ini.
Antara produk kosmetik keluaran Fiena Beauty adalah pil makan–an tambahan, sabun muka dan serum hasil formula sendiri. Usahawan muda berasal dari Kubang Kerian, Kelantan itu berkata, kini pendapatan bulanannya mencecah enam angka meskipun baru setahun lebih berkecimpung dalam perniagaan tersebut.
"Kejayaan ini adalah usaha dan sokongan suami bersama 15 kakitangan yang banyak membantu saya dalam melancarkan segala urusan syarikat,"ujarnya.
Afrina yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, dia berazam untuk membantu anak muda khususnya graduan untuk mendapatkan pekerjaan dan menjana pendapatan meskipun dari rumah.
"Sehingga kini, saya sudah ada 70 ejen dan 300 stokis dari seluruh negara termasuk graduan universiti yang mempunyai diploma dan ijazah. Saya sasar untuk membantu 1,000 graduan memperoleh pekerjaan dan pendapatan sendiri sehingga hujung tahun ini," katanya.
TRONOH, PERAK, 14 MEI 2019 - Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah menerima lawatan tapak daripada Jabatan Kerja Raya Negeri Perak di sini pada 14 Mei 2019 lalu.
Tujuan lawatan itu diadakan ialah untuk membincangkan dengan lebig lanjut dan terperinci berkenaan projek naik taraf yang melibatkan akademi ini dengan peruntukan dianggarkan sebanyak RM 4 juta.
Lawatan yang disertai oleh 13 orang pegawai-pegawai daripada Jabatan Kerja Raya Negeri Perak telah disambut oleh pegawai-pegawai dari APBM Batu Gajah diketuai oleh Puan Laila Nazura Bin Nawi, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak.
Melalui lawatan tersebut, semua pihak yang terlibat telah mengadakan lawatan tapak ke lokasi-lokasi yang terlibat dalam projek pembangunan berkenaan dan antaranya ialah dewan serbaguna, asrama, padang, gelanggang tenis dan bola jaring dan bilik-bilik kuliah yang terlibat.
TRONOH, PERAK, 3 MEI 2019 - Jawatankuasa Induk Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah mengadakan satu perjumpaan bersama pekerja pembersihan luaran dan dalaman APBM Batu Gajah bagi meningkatkan kesedaran mereka berkenaan misi akademi ini untuk mendapatkan pengiktirafan EKSA.
Taklimat yang telah disampaikan oleh Encik Ahmad Kamaruizaman Bin Jamaluddin, Ketua Cawangan Pengembangan dan Penyelidikan itu telah disertai oleh semua pekerja pembersihan daripada syarikat Riztech dan Erariang.
Rata-rata pekerja-pekerja yang mendengar taklimat tersebut faham berkenaan gerak kerja dan bantuan yang boleh mereka salurkan dalam memastikan APBM Batu Gajah mendapat pengiktirafan persijilan EKSA tidak lama lagi.
KOTA BHARU, KELANTAN, 08 APRIL 2019 - Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah terus komited dalam melaksanakan hebahan dan pengkongsian maklumat berkenaan fungsi dan peranan akademi ini dalam membantu usahawan belia menerusi taklimat berkenaan fungsi dan peranan APBM Batu Gajah dalam pembudayaan program keusahawanan di kalangan usahawan belia Malaysia yang telah disampaikan oleh Puan Laila Nazura Binti Nawi, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak.
Taklimat yang disampaikan beliau itu adalah bersempena dengan Majlis Perundingan Belia Negara peringkat Negeri Kelantan pada 8 April 2019 lalu yang telah dihadiri oleh semua ketua-ketua jajahan, pegawai kerajaan, dan Majlis Belia Negeri Kelantan serta seluruh badan-badan gabungannya.
Perasmian Majlis Perundingan tersebut telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Haji Ahmad Bin Yakob, Menteri Besar Kelantan.
LENGGONG, PERAK, 8 APRIL 2019 - Unit Pameran, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah memenuhi jemputan untuk pameran daripada Majlis Daerah Lenggong sempena Program Komuniti Lenggong yang diadakan pada 4 dan 5 April 2019 lalu di perkarangan Majlis Daerah tersebut.
APBM Batu Gajah yang diwakili oleh 4 orang staf telah membuka booth pameran seawal jam 7.30 pagi lagi bersama-sama agensi kerajaan yang lain seperti Kolej Komuniti, Kolej Perubatan Bersepadu dan Giatmara Ipoh, Perak.
Dalam sesi pameran tersebut, masyarakat disini amat berminat untuk mengetahui dan menyertai program-program keusahawanan yang dijalankan oleh akademi dan antara kursus yang menarik minat masyarakat disini ialah Kursus Rancangan Perniagaan.
Program tersebut itu juga telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Ahmad Suqairy Bin Alias, Pegawai Daerah Lenggong Merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong.
TRONOH, PERAK, 02 APRIL 2019 - Warga Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah komited dalam menyokong Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut menerusi penglibatan warga akademi ini dalam Program Semarak Biru 'Light It Up Blue' pada hari ini.
Warga APBM Batu Gajah yang seragam memakai pakaian berwarna biru pada hari ini telah menunjukkan sokongan dalam meraikan hari tersebut yang bertemakan warna biru. Selain itu, warga APBM Batu Gajah juga dilihat memegang keratan kertas berbentuk hati berwarna biru sebagai tanda sokongan dalam sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia.
TRONOH, PERAK – Pada 28 Mac 2019, bertempat di Akademi Pembangunan Belia Malaysia Batu Gajah, Perak telah berlangsung satu program Kunjungan Hormat dari dua orang wakil Kelab Veteran MAYC Negeri Perak yang diketuai oleh Saudara Rozamir Bin Zulkifli selaku Setiausaha Agungnya.
Tujuan kunjungan ini adalah bertujuan memperkenalkan Kelab Veteran MAYC Negeri Perak sebagai sebuah NGO yang berperanan sebagai Rakan Kerjasama NGO yang rapat dengan semua jabatan – jabatan kerajaan di negeri ini yang berkonsepkan “Sayangi Malaysiaku”.
Di samping itu, kelab tersebut juga sempat meneroka peluang – peluang yang ditawarkan oleh APBM Batu Gajah terhadap para belia di bawah naungan mereka bagi menyertai pelbagai kursus mahupun program berbentuk keusahawanan yang dianjurkan akademi ini sepanjang tahun 2019.
APBM Batu Gajah melihat kerjasama yang baru terjalin ini merupakan satu peluang bagi mendekatkan lagi fungsi serta peranan akademi ini dengan para belia di luar sana dan di seluruh negeri perak ini khasnya.