TRONOH, PERAK, 1 JULAI 2019 - Usahawan Belia wilayah tengah baru baru ini telah menghadiri Kursus Pengurusan Pemasaran yang berlangsung di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah Perak pada 30 Jun hingga 1 Julai 2019 lalu.
Program yang dianjurkan oleh APBM Batu Gajah menerusi cawangan pengurusan dan konsultasi ini melibatkan seramai 60 orang peserta usahawan belia yang berminat untuk menambah pengetahuan berkenaan selok belok pengurusan pemasaran bagi memantapkan lagi perniagaan mereka.
Antara slot-slot yang diatur untuk mereka dalam kursus ini ialah strategi pemasaran,pembungkusan dan pelabelan serta kajian pemasaran yang dilakukan senidiri oleh peserta disekitar bandaraya Ipoh.
TRONOH, PERAK, 1 JULAI 2019 - Seramai 41 orang usahawan bellia dilihat sangat teruja untuk mengembangkan pasaran mereka menggunakan aplikasi pemasaran popular SHOPEE melalui Kursus Digital Online Business yang dianjurkan Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak yang berlangsung selama 3 hari 2 malam iaitu pada 26 hingga 28 Jun 2019 lalu.
Antara hasil yang telah dihasilkan para peserta dalam kursus amali ini adalah mereka telah membina akaun perniagaan sendiri melalui aplikasi tersebut serta teknik-teknik berkesan untuk pemasaran dalam aplikasi tersebut.
TRONOH, PERAK, 23 JUN 2019 – Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batru Gajah telah menganjurkan Kursus Pembentukan & Perniagaan Francais bertempat di APBM Batu Gajah, Perak pada 21 hingga 23 Jun lalu.
Kursus tersebut telah disertai oleh 60 orang peserta dikalangan belia yang berminat untuk mengetahui dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang berunsurkan francais ini.
Dalam kursus ini, para peserta telah diberikan pendedahan dan peluang daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) dan Permodalan Nasional Berhad (PNS) untuk bagaimana memajukan perniagaan mereka daripada perniagaan konvensional kepada perniagaan francais yang mana usahawan tersebut akan bertindak sebagai francaisor dan akan membuka rangkaian perniagaan mereka kepada orang lain atau lebih mudah disebut sebagai francaise.
Selain itu, kursus ini juga telah membuka peluang kepada pesertanya untuk menjadi francaise kepada syarikat-syarkat francais yang terkenal di Malaysia seperti OTAi Burger, Uncle Bob dan juga Harumi yang telah memberikan maklumat dan perkongsian idea mereka tentang perniagaan francais yang sedang dijalankan.
Diharapkan dengan peluang dan pendedahan yang telah dibuka kepada belia menerusi kursus ini, akan membantu para belia untuk melangkah kehadapan menuju kea rah usahawan belia yang berjaya satu hari nanti.
BAGAN SERAI, 20 JUN 2019 - Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah menyertai Program Dampingi Usahawan PERDASAMA Negeri Perak yang telah dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Negeri Perak (PERDASAMA).
APBM Batu Gajah yang telah diwakili oleh Puan Laila Nazura Binti Nawi, Pengarah APBM Batu Gajah telah mangadakan lawatan khusus ke premis usahawan berjaya di sekitar daerah ini bersama-sama Puan Suhaida Binti Hashim iaitu Yang Dipertua PERDASAMA Negeri Perak.
ALOR SETAR, 12 JUN 2019 - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan untuk menubuhkan sehingga 3,500 pusat jualan di seluruh negara menjelang 2020.Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, sehingga kini Fama memiliki lebih kurang 3,300 pelbagai pusat jualan seperti pasar tani, AgroBazaar dan My farm Outlet di seluruh negara.
Beliau berkata, pihaknya merancang menubuhkan 50 outlet baharu bagi pusat jualan di Fama demi merealisasikan matlamat itu menjelang tahun 2020."Sehingga kini, kita memiliki kira-kira 3,334 pusat jualan telah diwujudkan, sekaligus diharapkan pada 2020 jumlah diharapkan mencecah sehingga 3,500.
"Daripada jumlah itu, kita berharap dapat mewujudkan 1,000 pasar tani menjelang 2020 berbanding 800 pasar tani di seluruh negara ketika ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Fama Kedah, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Fama Kedah, Anuar Mohamed.
Dalam perkembangan sama, katanya, Fama akan bekerjasama dengan outlet agensi lain, Pasar Nelayan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). "Dalam kerjasama terbabit, kita akan berharap hasil tanaman sayur dijual di pasar nelayan, manakala hasil nelayan dijual di pasar tani," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, pihaknya tidak menerima aduan berhubung tanaman seperti buah-buahan terjejas berikutan kemarau ataupun musim panas."Setakat ini, kita tidak dapat maklumat ada kejatuhan sebaliknya harga buah-buahan seperti durian masih dalam keadaan baik, stabil dan tidak tinggi," katanya.
SETIA ALAM, 13 JUN 2019 - Pengeluar minyak wangi, Sugarbomb menyasarkan jualan sehingga 900,000 unit botol pada tahun ini iaitu peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli berkata, syarikat optimis mampu mencapai sasaran tersebut yang dipacu oleh peningkatan ejen jualannya di seluruh negara.
"Sehingga kini kami mempunyai seramai 3,500 ejen jualan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Kami jangka angka ini akan meningkat sehingga 5,000 menjelang akhir tahun nanti.
"Selain itu, pelantikan ejen jualan di Singapura Januari lalu dan di Brunei pada Disember tahun lepas, dijangka akan memacu lagi pertumbuhan jualan syarikat pada tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika di temui di Pejabat Urusan Sugarbomb di Setia Alam, Selangor baru-baru ini.
Menurut Ahmad Azhari, sejak pembukaan ibu pejabat mini di Tawau, Sabah yang merupakan pasaran terbesar syarikat dan Sarikei, Sarawak, kedua-dua cawangan itu konsisten menyumbang jualan sehingga 30,000 unit setiap bulan.
Sugarbomb juga mempunyai seramai 35 rakan niaga eksklusif di setiap negeri di seluruh negara termasuk di Singapura dan Brunei.
"Saya optimis sasaran ini mampu dicapai berdasarkan kekuatan ejen jualan yang ramai, harga berpatutan dan disokong kemampuan kilang menghasilkan sebanyak 10,000 unit botol minyak wangi setiap hari,” katanya.
Sugarbomb, jenama yang didaftarkan di bawah syarikat Infinite Opportunities Sdn Bhd pada Mac 2017 dan bermula dengan hanya tiga kakitangan di bahagian pengeluaran dengan jualan pertama sebanyak 500 unit sahaja.
Ahmad Azhari berkata, ketika itu pengeluaran Sugarbomb fokus kepada lima jenis wangian sahaja dan kini terdapat lebih 50 wangian dihasilkan.
"Selepas dua tahun beroperasi, Sugarbomb memiliki seramai 58 kakitangan termasuk enam ahli kimia yang berperanan membancuh dan menghasilkan wangian Sugarbomb serta seorang pakar kimia dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai sebagai penyelia.
"Pengenalan dengan seorang pakar kimia Dr Zamir Othman dari USIM, menjadi titik tolak bermulanya Sugarbomb. Sebelum pulang ke Malaysia, mereka melakukan kajian tentang wangian di United Kingdom.
"Hasil kajian itu telah mendorong pembukaan Sugarbomb setelah Ahmad Azhari menamatkan pengajiannya dalam bidang Sarjana Kejuruteraan Aeronautikal di Universiti of Bristol, United Kingdom pada 2015," katanya.
Memberitahu lanjut, Ahmad Azhari berkata, belum sampai setahun beroperasi, Sugarbomb mengorak langkah membuka kilangnya sendiri di Setia Alam, Selangor.
"Dengan Keluasan kira-kira 5,600 kaki persegi, kilang yang dibina pada 2018 itu mempunyai sebanyak 15 buah mesin, mampu menghasilkan sebanyak 10,000 unit sehari.
"Di kilang itu, wangian dihasilkan setelah melalui R&D selama lebih tiga bulan. Bahan-bahan utamanya pula diimport daripada Switzerland.
"Istimewanya Sugarbomb, selain kilang yang bakal mendapat status Amalan Pengilangan Baik (GMP), produk kami juga ke arah proses mendapatkan persijilan halal.
"Harga minyak wangi Sugarbomb dijual pada RM35 bagi sebotol 30 mililiter (ml) dan mampu bertahan selama dua hari pada fabrik. Dengan pelbagai wangian pilihan, keunikan ini menjadikan kami berbeza dengan wangian lain yang ada di pasaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Azhari memberitahu, Sugarbomb kini merancang membuka sebuah lagi kilang baharu yang dijangka dibina di Setia Alam, Selangor pada tahun 2020.
"Kami jangkakan dengan pembukaan kilang baharu, pengeluaran akan meningkat sehingga 15,000 botol sehari. "Ini bermakna kilang baharu mampu mengeluarkan sehingga 150,000 unit botol sebulan iaitu peningkatan sebanyak 50,000 unit botol berbanding pengeluaran di kilang sekarang,” katanya.
MELAKA, 12 JUN 2019 - Kejayaan tidak datang bergolek, semuanya perlukan usaha, semangat dan pengorbanan.Demi mengejar impian membawa kehidupan keluarga yang lebih sempurna, wanita cekal ini nekad melepaskan kerjayanya dan menceburi bidang perniagaan meskipun tidak mendapat sokongan.
Manakan tidak, rezeki sebagai guru tabika terpaksa dikorbankan untuk mengejar kehidupan yang lebih sempurna bersama keluarga tersayang.Yakin dengan keputusan itu, Masdiana Mohamadiah, 31, tidak menoleh lagi. Setelah setahun empat bulan bersama Meeracle, dia melepaskan kerjayanya, untuk lebih fokus dalam perniagaan.
Baginya, tiada rasa kesal, apatah lagi kerjaya baharu yang diceburi menjanjikan rezeki yang lebih buatnya.Meskipun diherdik dengan kata-kata sinis sehingga digelar tidak bijak, ia tidak sesekali mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadi kekuatan untuk membuktikan bahawa dia boleh berjaya satu hari nanti.
Masdiana bangkit membuktikan, hanya dalam tempoh dua tahun bersama Meeracle, dia mampu memiliki beberapa aset, termasuk sebuah pejabat yang terletak di Wisma Selamat Zaini, Semabok, Melaka yang diraih menerusi perniagaan yang diceburinya.Berkat kegigihannya, Masdiana kini merupakan Master Stokis Meeracle dan berjaya melakukan perubahan besar buat keluarganya.
"Jika dulu, ibu bekerja sebagai pencuci, kini tidak lagi. Begitu juga dengan mak mertua saya, berhenti kerja kilang. Dengan bisnes ini, saya berkongsi rezeki dan mampu memberi wang setiap bulan kepada mereka."Suami juga dari seorang 'runner', kini bersama-sama dengan saya menguruskan perniagaan,” katanya yang bersyukur perniagaannya semakin berkembang dengan lebih 2,000 wakil jualan di seluruh Malaysia.
Mengakui bukan mudah untuk sampai ke tahap ini, Masdiana berkongsi, inspirasinya untuk lebih gigih berusaha adalah keluarga yang dahulunya melalui kehidupan yang sukar.Mengimbas kembali perjalanan hidupnya sebelum sampai ke tahap ini, suaranya mula bergetar menahan rasa.Luahnya, keinginan untuk berniaga itu datang bagi mencari wang tambahan bagi membantu bapa tersayang yang menderita kanser.
Katanya, rawatan kanser serta ubat-ubatan memerlukan modal yang besar, namun sebagai anak, DIA cuba untuk membantu meskipun di luar kemampuannya."Dulu saya bekerja dengan pendapatan RM2,000 setiap bulan. Belum lagi ditolak dengan segala bayaran komitmen. Dengan lebihan yang ada, itulah digunakan buat belanja keluarga.
"Ubat-ubatan sahaja perlukan RM900 setiap bulan. Nak beli tiada duit. Sebagai anak, sudah tentu kita cuba untuk membantu walaupun sedikit,” katanya.Bertitik tolak dari itu, Masdiana berasakan dirinya perlu bangkit melakukan sesuatu, bukan sekadar mengharapkan pendapatan bulanan dari pekerjaan hakiki sahaja.
Pada fikirannya, berniaga atas talian lebih memudahkan, berikutan kekangan modal serta anak-anak yang masih kecil dengan niat untuk membantu keluarga.Ibu dua anak itu berkata, kejayaan rakan-rakan dengan pendapatan empat ke lima angka setiap hari menjadi inspirasi dan penguat semangatnya, jika mereka boleh, mengapa tidak dirinya, soalnya.
"Bila tengok Facebook, ada yang berkongsi beroleh pendapatan beribu ringgit. Ini menguatkan semangat saya yang akhirnya memilih menjadi dropship untuk Meeracle,” katanya yang kini hamil cahaya mata ketiga.
Dengan menjadikan orang terdekat sebagai pelanggannya, ternyata sambutan diterima amat menggalakkan.
"Daripada dropship, menjadi ejen dengan wang yang dikumpul hasil daripada dropship. Dalam masa singkat, sebulan sahaja saya telah menjadi ejen dan seterusnya bergelar super ejen, stokis dan master stokis ,” katanya yang baru-baru ini menerima kereta mewah sebagai ganjaran setelah diumumkan sebagai wakil jualan terbaik.
Selain Masdiana, dua lagi wakil jualan di bawahnya yang merupakan Super Stokis Meeracle, Farah Shahirah Shafarudin dan Norsilawati Mohamad turut menerima kereta Honda Accord dan Honda City. Dengan kejayaannya itu, Masdiana yakin lebih ramai wanita mampu berjaya sekiranya ada keinginan dan semangat yang luar biasa.
"Tiada kejayaan yang datang tanpa usaha. Kita perlu berani mencuba dan sentiasa berfikiran positif untuk kekal berjaya. Apabila kita berjaya lebih ramai orang yang dapat dapat berkongsi rezeki dan dibantu,” katanya yang menyasarkan jualan RM3 juta pada tahun ini.
Sebagai dorongan kepada wakil jualannya, Masdiana menawarkan ganjaran kereta antaranya, Honda BRV, City dan Jazz kepada yang berjaya mencapai jualan yang disasarkan.
SHAH ALAM, 12 JUN 2019 - Seni Patisserie PLT yakin jualan produk kek lapisnya untuk musim perayaan tahun ini meningkat sehingga dua kali ganda, dipacu pembukaan cawangan keempat dan kelimanya yang terletak di Central I-City Mall, Shah Alam dan IOI Putrajaya pada Mei lalu.
Pengasasnya, Dayang Mastura Pengiran Hamid, 46, berkata, pada musim perayaan tahun lalu, jualan kek lapis sebanyak RM80,000 berjaya dicatatkan, dan ia membabitkan pemasaran menerusi atas talian dan juga cawangan.
"Dengan adanya pertambahan cawangan baharu seperti di Central I-City Mall, Shah Alam dan IOI Putrajaya pada Mei lalu, saya yakin ia dapat membantu dari segi peningkatan jualan kek lapis jenama Seni Patisserie pada musim perayaan kali ini,” katanya ketika ditemui di cawangan Seni Patisserie di Ampang Point, baru-baru ini.
Menurutnya, sebanyak 1,000 loyang kek lapis akan disalurkan pada setiap cawangan dengan kepelbagaian perisa.
"Dari segi mentega yang digunakan pula, untuk musim perayaan ini saya telah membuat tempahan sebanyak 650 kilogram (kg) berbanding tempahan pada hari biasa, yang melibatkan 25 buah kotak.
"Ini kerana saya hanya menggunakan bahan-bahan premium selain berkualiti tinggi terutamanya mentega yang diimport dari Perancis.
"Manakala, dari segi penghasilan kek lapis ini pula, saya masih lagi mengekalkan cara pembuatan tradisional dengan menggunakan ketuhar gas.
"Saya mahu menghasilkan kek lapis yang sempurna dan tekstur aslinya masih dapat dirasai sepertimana ia dihasilkannya di kampung," katanya.
Dayang Mastura berkata, antara perisa yang dihasilkan terdiri Nutella Cheese, Cadbury Chocolate, Neopolitan, Premium Prune, Mandarin Cadbury, Ho Ho Horlicks, Masam Manis, Nyior Pandan, Prune Hawberry, Cherry Rose dan Nutty Fruitcake.
"Untuk satu loyang kek lapis, ia dijual pada harga RM180 manakala untuk buku roti kek lapis, ia dijual pada harga RM47,” katanya.
JOHOR BAHRU, 27 MEI 2019 - Eksport produk nanas Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 56 peratus pada tahun lalu berbanding 2017, susulan daripada peningkatan permintaan yang tinggi dari luar negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jumlah eksport produk nanas negara pada tahun lalu adalah sebanyak RM342 juta berbanding RM208 juta pada tahun sebelumnya.
"Eksport produk nanas merangkumi nanas segar, nanas kaleng, jus nanas, produk industri asas tani, benih dan nanas ornamental.
"Produk nanas Malaysia dieksport ke lebih 20 buah negara seperti Jepun, Korea, China, Hong Kong, Singapura, UAE, Arab Saudi, Iran, Mesir, Jerman dan Perancis," katanya ketika ditemui melawat premis usahawan tart nanas di Taman Bukit Indah di sini hari ini.
Salahuddin berkata, nilai import produk nanas adalah RM159 juta menjadikan nilai imbangan dagangan produk nanas negara adalah positif iaitu sebanyak RM183 juta.
Katanya, peningkatan eksport produk nanas negara juga melibatkan peningkatan permintaan pasaran domestik Malaysia bagi nanas segar terutama MD2 yang dilihat terus bertambah disebabkan popularitinya.
"Sektor tanaman nanas akan terus diperluaskan terutamanya bagi varieti premium MD2 serta lain-lain varieti bagi memenuhi pasaran eksport seperti N36 dan Josapine.
"Kerajaan telah mengkategorikan nanas sebagai sumber rezeki baru negara memandangkan potensinya yang dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada pekebun dan pengusaha terlibat," katanya.
Selain itu, katanya, Malaysia juga bersaing dengan beberapa negara pengeksport seperti Filipina dan Costa Rica, namun nanas negara ini mempunyai kelebihan dari segi kualiti buah yang dihasilkan.