IPOH, PERAK, 15 FEBRUARI 2019 - Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah berpeluang sekali untuk ke udara di Rancangan Televisyen Malaysia Perak FM pada 14 Februari lalu pada pukul 12.30 tengah hari.
APBM Batu Gajah yang diwakili oleh Pengarahnya, Puan Laila Nazura Binti Nawi telah berpeluang mempromosi dan memperkenalkan lagi aktiviti dan fungsi sebenar APBM Batu Gajah melalui medium elektronik yang telah diberikan oleh pihak Perak FM.
Ianya merupakan usaha-usaha yang dijalankan oleh akademi ini untuk memperkenalkan kepada belia berkenaan APBM Batu Gajah sebagai pusat kecemerlangan keusahawanan belia dan sentiasa melatih para belia dalam dunis keusahawanan secara percuma tanpa sebarang bayaran.
Untuk Informasi,pada tahun 2019 APBM Batu Gajah akan menganjurkan 34 program dan kursus berkaitan keusahawanan belia khas untuk bakal usahawan dan usahawan belia di peringkat asas, pertengahan dan pengembangan. Untuk maklumat lanjut, layari www.jbsn.gov.my/apbm-batugajah untuk muat turun takwim dan borang permohonan kursus.
SERI ISKANDAR, PERAK, 13 FEBRUARI 2019 - Satu ceramah berkaitan dengan hala tuju dan peranan Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak dalam membantu usahawan belia telah diadakan pada 13 Februari 2019 bertempat di D' Hotel Seri Iskandar, Perak.
Ceramah yang telah disampaikan oleh Pengarah APBM Batu Gajah, Puan Laila Nazura Binti Nawi merupakan salah satu slot dalam Bengkel Penyelarasan Program Pembangunan Belia Tahun 2019 yang telah dianjurkan oleh Cawangan Pembangunan Ekonomi, Jabatan Belia Dan Sukan Negara dengan kerjasama APBM Batu Gajah yang bermula pada 13 hingga 15 Februari 2019.
Ceramah yang berlangsung selama 2 jam itu telah menerangkan berkenaan hala tuju dan peranan yang dimainkan oleh pihak APBM Batu gajah dalam membantu usahawan terutamanya usahawan belia dalam mendalami ilmu-ilmu berkaitan keusahawanan dan pengurusan perniagaan di peringkat asas, pertengahan dan pengembangan usahawan itu sendiri.
Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Pembangunan Ekonomi di Jabatan Belia dan Sukan seluruh negara dan 10 orang pegawai Cawangan Pembangunan Ekonomi telah menghadiri bengkel dan ceramah tersebut juga telah diterangkan berkenaan program-program yang dianjurkan oleh APBM Batu Gajah tahun 2019.
SERI KEMBANGAN, SELANGOR, 12 FEBRUARI 2019 – Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) hari ini telah mengadakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 yang bertempat di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.
Seramai dua orang kakitangan daripada Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah menerima anugerah ini yang disempurnakan oleh YB. Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.
Tahniah diucapkan kepada Puan Norhayati Binti Yahaya Dan Encik Khairul Azhar Bin Kamarudin diatas penganugerahan ini dan semoga prestasi yang cemerlang ini dapat diteruskan dalam meningkatkan mutu kerja perkhidmatan awam.
KUALA LUMPUR, 29 JANUARI 2019 - SR Asia Resources Sdn Bhd (SR Asia), syarikat Bumiputera yang mengeluarkan produk pencuci jenama Top5 merancang untuk mempertingkatkan kapasiti pengeluaran rangkaian pencucinya kepada 85,000 unit sebulan melalui pelaburan bernilai RM25 juta menjelang 2020.Pengarahnya, Mohd Syukri Ibhrim berkata, pelaburan yang bakal membabitkan aspek jentera dan premis itu adalah inisiatif yang digariskan melalui pelan pengembangan syarikat bagi menaikkan lagi jenama Top5 dalam pasaran tempatan di samping menambah penguasaan pasaran pada masa depan.“Pelaburan ini akan menyaksikan syarikat memindahkan operasi pengeluaran dari Puncak Alam ke kilang baru di Ijok, Selangor. Syarikat juga akan menggunakan mesin automatik berteknologi tinggi bagi meningkatkan kelajuan pengeluaran berbanding sebelum ini yang dilakukan secara manual.“Langkah ini dapat membantu kami dalam meningkatkatkan pengeluaran produk pencuci syarikat kepada 70 peratus dalam tempoh terbabit berbanding 50,000 unit sebulan pada masa ini,” katanya.Rangkaian pencuci Top5 mula berada di pasaran sejak empat tahun lalu dan produk itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penggunanya kerana ia adalah produk tiga dalam satu yang berfungsi sebagai pencuci, pelembut dan pewangi.Terdiri daripada lebih 30 jenis bauan yang menampilkan wangian yang berpanjangan dan anti bakteria, Top5 yang dijual 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran menggunakan bahan diimport dari Itali, Korea, Perancis, Taiwan dan Singapura.Mohd Syukri berkata, syarikat turut memerlukan sokongan yang baik daripada rangkaian pemasarannya apabila berhasrat menambah bilangan stokis kepada 50 orang tahun ini berbanding hanya 35 orang pada ketika ini.“Kami optimis sasaran ini mampu dicapai hasil kerjasama syarikat bersama Agrobank yang dijalin Oktober tahun lalu yang memberi peluang kepada orang ramai menjadi usahawan menerusi pinjaman bermula serendah RM1,000 hingga RM50,000 untuk menjadi stokis Top5,” katanya.Katanya, Top5 mendapat permintaan tinggi dalam industri dobi layan diri yang mencakupi hampir 50 peratus jumlah keseluruhan jualan syarikat, disusuli pengguna isi rumah sebanyak 35 peratus, manakala selebihnya membabitkan pembersihan pejabat, pusat cuci kenderaan, hospital dan lain-lain.Artikel ini disiarkan Harian Metro pada : Isnin, 28 January 2019 @ 1:44 PM
KUALA LUMPUR, 22 JANUARI 2019 - HALAL Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC), agensi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, menjangka eksport halal Malaysia meningkat antara empat dan lima peratus tahun ini daripada RM43 bilion yang dicatat pada 2017.Naib Presiden Pembangunan Industri HDC, Hanisofian Alias berkata, unjuran itu berdasarkan pertumbuhan penduduk Islam global, usaha berterusan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menghasilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan halal serta kerjasama dengan kementerian lain dan rakan sejawat asing."Kami juga yakin sasaran nasional sebanyak RM50 bilion eksport halal menjelang 2020 boleh dicapai walaupun ketidaktentuan ekonomi global, termasuk turun naik ringgit dan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China."Sebagai contoh, ada ruang yang cukup di pasaran halal di Indonesia kerana eksport Malaysia ke negara tersebut hanya menyumbang kurang daripada satu peratus daripada import halalnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar ‘Mengemudi Perniagaan Anda Ke Arah Kejayaan Ke Dalam Pasaran Halal Indonesia’ di Kuala Lumpur, hari ini.Hanisofian berkata, penting bagi pengeksport, terutama PKS, untuk mempunyai maklumat terkini yang betul dan memahami proses serta peraturan negara asing seperti Indonesia, walaupun mereka mungkin sudah mendapat pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).Menurutnya, Indonesia akan melaksanakan Undang-Undang Jaminan Produk Halal Indonesia No. 33/2014 menjelang November tahun ini, yang mewajibkann semua produk dan perkhidmatan memasuki wilayahnya untuk disahkan halal oleh pihak berkuasa di sana."Kami bekerjasama rapat dengan Jakim dan rakan sejawat Indonesia kami untuk memahami perkara itu dan berharap padaOktober, kami dapat menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai proses pensijilan halal dan labelnya ke stas produk Malaysia," katanya.Eksport Malaysia ke Indonesia berjumlah RM2.2 bilion pada 2017 dan pada RM1.45 bilion pada suku ketiga 2018.Ketika seminar tersebut, peserta diberi taklimat berhubung pelaksanaan Undang-Undang Jaminan Produk Halal Indonesia No. 33/2014, ekosistem gaya hidup pengguna Indonesia dan maklumat mengenai pasaran negara berkenaan, harapan dan peluang negara yang mereka dapat manfaatkan.Seminar yang dianjurkan oleh HDC dan Ark Incorporation Pte Ltd, penyedia khidmat nasihat dan perundingan halal itu dihadiri 150 pengeksport halal.Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 5:25 PM
KUALA LUMPUR, 15 JANUARI 2019 - Perusahaan kecil sederhana (PKS) perlu melakukan kaedah pemasaran pintar bagi mengekalkan margin dan keuntungan serta menarik pelanggan baru dalam usaha untuk memastikan syarikat mereka terus berdaya saing di pasaran.Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (Universiti Kebangsaan Malaysia-CESMED) Profesor Datin Dr Shamshubaridah Ramlee berkata, PKS boleh melaksanakan kaedah terbabit dengan memanfaatkan perkembangan teknologi dalam era Revolusi Industri 4.0 (4IR) ini.“Penggunaan teknologi untuk berurusniaga boleh mengurangkan kos untuk mendapatkan pelanggan, sekali gus turut mengurangkan perbelanjaan pemasaran seperti promosi dan pentadbiran.“Melalui media sosial, PKS mampu untuk menjangkau pelanggan mereka dengan lebih luas tanpa kos besar berbanding penggunaan kaedah pemasaran tradisional dan mereka juga mesti berhemah dalam perbelanjaan agar lebih berjimat untuk mengurangkan kos,” katanya pada Bisnes Metro di sini, semalam.Sebelum ini, agensi pelaporan kredit swasta iaitu CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) melalui sebuah kaji selidik untuk sektor PKS menyatakan mengekalkan margin jualan dan keuntungan adalah kebimbangan utama dalam kalangan usahawan PKS selain mendapatkan pelanggan baru.Beliau berkata, pengurusan margin keuntungan adalah antara faktor yang paling penting dalam menguruskan perniagaan di mana ia memerlukan kemahiran pengurusan kos dan perbelanjaan pemasaran serta pentadbiran.“Antara sebab pengurusan margin ini sukar dan rumit adalah peningkatan kos pengeluaran seperti bahan mentah, kos buruh dan overhead dengan peningkatan kos adalah sesuatu di luar kawalan PKS seperti contoh ‘perang perdagangan’ antara China dan Amerika Syarikat,” katanya.Mengulas apakah inisiatif sedia ada pihak kerajaan tidak membantu PKS dalam mengukuhkan kemahiran dalam pengurusan kewangan syarikat, Shamshubaridah berkata keberkesanan program seperti coaching dan mentoring perlu dilihat semula meskipun pelbagai program sudah dianjurkan.“Ramai di antara PKS dibantu tetapi jika ditanya mengenai keberkesanannya, agak ramai yang kecewa kerana sebahagian jurulatih dan mentor ini adalah pelatih yang mahir dalam teknik melatih namun apa lebih penting adalah pengalaman perniagaan mereka sendiri dalam bidang yang diceburi PKS.“Ini menjadikan kandungan latihan yang diberikan lebih menyentuh dan dapat dijiwai terus dilaksanakan oleh PKS. Kesimpulannya, program membimbing PKS masih perlu ditingkatkan yang mana ia turut memerlukan input daripada usahawan itu sendiri,” katanya.Beliau berkata, 2019 adalah tahun yang lebih mencabar akibat perkembangan dalam dan luar negara dengan PKS hanya mampu mengawal faktor dalaman dengan mengambil kira perkembangan luar persekitaran syarikat demi mengatur strategi pengurusan perniagaan mereka.“Justeru, kemahiran mengurus amat penting dan memerlukan mereka celik dalam pengurusan perniagaan terutama pengurusan kewangan,” katanya.*** DIPETIK DARIPADA ARTIKEL HARIAN METRO BERTARIKH 14 JANUARI 2019
TRONOH, PERAK, 21 DISEMBER 2018 - Satu perlawanan persahabatan antara pasukan Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah dan Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara telah berlangsung di Dewan Serbaguna, APBM Batu Gajah yang melibatkan pegawai dan kakitangan dari kedua-dua agensi.Perlawanan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan pegawai dan kakitangan antara kedua-dua jabatan ini selain menggalakkan pegawai dan kakitangan kerajaan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.Perlawanan telah berlangsung pada 19 Disember 2018 lalu melibatkan 4 kategori iaitu Beregu Lelaki, Beregu Veteran Lelaki, Beregu Perempuan dan Beregu campuran. Turut hadir dalam perlawanan tersebut Puan Laila Nazura Binti Nawi, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak dan Komandan ABPM Wilayah Utara, tronoh, Perak.