TRONOH, 19 OKTOBER 2020 - Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah dijemput oleh Cawangan Pembangunan Ekonomi, Jabatan Belia dan Sukan Negara untuk menyertai perbincangan secara atas talian bagi cadangan kerjasama program yang akan dibentuk dengan kejasama KBS dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pada hari ini.
Perbincangan tersebut adalah adalah bertujuan untuk merangka program-program pemerkasaan golongan belia dalam bidang keusahawanan. Dalam perbincangan dua hala tersebut, pihak APBM Batu Gajah dan Cawangan Pembangunan Ekonomi telah bertukar-tukar maklumat,idea dan cadangan bagi membantu merangka program-program yang lebih baik dengan adanya kerjasama dengan pihak PUNB kelak.
KUALA LUMPUR, 8 OKTOBER 2020 - Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan kesukaran khususnya dalam era pandemik Covid-19 ini tidak perlu berputus asa sebaliknya mengambil peluang disediakan kerajaan untuk meneruskan operasi.
Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan menyediakan dana khususnya untuk PKS bernilai RM2 bilion dengan keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank sebelum ini.
Bagi usahawan Bumiputera, kerajaan menyediakan program pembiayaan RM500 juta yang disalurkan melalui dua agensi iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Di bawah agensi ini, kelayakan tertumpu kepada kegunaan dana bagi modal kerja, perbelanjaan operasi, automasi sistem serta peralatan dan perbelanjaan untuk melaksanakan SOP seperti amalan penjarakan fizikal dan kegunaan alat perlindungan diri.
Kemudahan pembiayaan dari RM100,000 sehingga RM1 juta bagi tempoh sehingga lima tahun pada kadar faedah 3.5 peratus setahun berserta moratorium sehingga enam bulan dari tarikh pengeluaran.
Selain PUNB, Mara turut memainkan peranan sama dengan menawarkan pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan Bumiputera terjejas, termasuk sektor pendidikan swasta.
Had maksimum jumlah pinjaman adalah RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun.
PKS mikro juga berpeluang mendapatkan pembiayaan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di bawah BSN Mikro/i Kredit Penjana.
Di bawah skim ini, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi usahanita.
Setakat 18 September lalu, RM55.31 juta disalurkan dan memanfaatkan 1,480 PKS dan PKS Mikro.
Selain BSN, kerajaan turut memberi peruntukan kepada Tekun Nasional melalui Skim Pemulihan Perniagaan Tekun yang menawarkan pembiayaan antara RM1,000 dan RM10,000.
Setakat 18 September, RM73.6 juta disalurkan dan memanfaatkan 11,059 PKS Mikro.
Bagi menggalakkan PKS beralih ke platform digital, kerajaan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan rakan e-dagang, turut membiayai kemudahan latihan e-dagang, subsidi penjualan dan khidmat sokongan jualan kepada peniaga mikro dan PKS yang layak.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 7:20 AM
SHAH ALAM, 29 SEPTEMBER 2020 - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) melanjutkan penangguhan pembayaran pembiayaan perniagaan rakan usahawannya untuk tiga bulan lagi hingga akhir Disember ini menerusi pakej komprehensif #PUNBPrihatin.
Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, PUNB bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan pembayaran perniagaan ke atas prinsipal dan keuntungan untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020.
"Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan pembayaran pembiayaan yang diperkenalkan PUNB bermula 1 April hingga 31 Disember 2020 sebanyak RM155 juta membabitkan 1,963 penerima.
"Semua Rakan Usahawan PUNB yang menerima moratarium bagi tempoh April hingga September 2020 secara automatik menerima lanjutan penangguhan pembayaran pembiayaan," katanya dalam kenyataan selepas lawatan ke premis perniagaan Rakan Usahawan PUNB, Petronas Auto Expert @Autohaus KL di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Autohaus KL, Muhammad Eezam Masripan.
Noh berkata, PUNB menanggung anggaran kutipan bayaran sewa RM5.3 juta bagi pengecualian sewa untuk 220 premis perniagaan milik PUNB bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020 diikuti pemberian diskaun sewa 50 peratus bagi tempoh 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020 membabitkan anggaran kutipan sewa RM1.37 juta.
"Sementara itu, bagi Bumiputera Relief Financing (BRF) setakat 25 September 2020, 87 permohonan sudah diluluskan membabitkan pembiayaan perniagaan sebanyak RM31.1 Juta.
"Permohonan BRF masih dibuka sehingga Disember 2020 dan usahawan Bumiputera yang terbabit dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian.
"Proses kelulusan BRF akan dibuat dalam tempoh 21 hari bekerja bagi pemohon yang mengemukakan dokumen yang lengkap," katanya.
Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro pada : Selasa, 29 September 2020 @ 8:04 AM
TRONOH, PERAK, 29 SEPTEMBER 2020 - Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah menganjurkan sesi taklimat dan simulasi berkaitan dengan Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) bertempat di Dewan Serbaguna APBM Batu Gajah, Perak pada 25 september 2020 lalu.
Sesi tersebut yang telah dihadiri oleh 22 orang pegawai dan kakitangan akademi ini telah dikendalikan oleh pasukan penguji UKJK daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak
Program ini diadakan adalah bertujuan untuk mengukur tahap kecergasan dan kesihatan pegawai dan kakitangan APBM Batu Gajah selain menggalakkan warga APBM untuk menjalankan gaya hidup yang sihat. Ianya juga bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada peserta berkaitan dengan pelaksanaan sebenar ujian ini dibuat.
TRONOH, PERAK, 29 SEPTEMBER 2020 - Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah mengadakan Perhimpunan Bulanan Pegawai dan Kakitangan APBM Batu Gajah bagi bulan september 2020.
Himpunan yang dihadiri oleh kebanyakan warga APBM Batu Gajah diketuai oleh Encik Vijayan Kumar A/L Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah ini merupakan satu majlis tetap yang dianjurkan oleh akademi ini dengan tujuan mengeratkan hubungan antara staf akademi selain menjadi platform bagi pengurusan tertinggi akademi untuk menyampaikan amanat beliau serta amanat-amanat daripada pihak Kementerian Belia Dan Sukan.
Program bermula dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti dengan lagu perkhidmatan awam. Yang menarik dengan program ini ialah ia juga diselitkan dengan majlis sambutan hari lahir staf dan kakitangan APBM Batu Gajah selain menjadi platform untuk penyampaian hadiah pekerja bulanan terbaik APBM Batu Gajah serta penyampaian kad pekerja yang baru kepada semua pegawai dan kakitangan.
LUMUT, PERAK, 23 SEPTEMBER 2020 – Seramai 15 warga APBM Batu Gajah telah mengadakan aktiviti mendaki Bukit 300 di Teluk Batik, Lumut, Perak sempena Hari riadah akademi ini.
Dengan sokongan dan semangat kental yang ditunjukkan oleh pendaki-pendaki tersebut, akhirnya 15 orang warga APBM tersebut telah berjaya menawan bukit yang berketinggian kira-kira 300 Meter dari aras laut. Aktiviti tersebut telah diketuai oleh Encik Azlan Bin Hussain, Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah, Perak.
KUALA LUMPUR, 21 SEPTEMBER 2020 - Pengedar produk berasaskan makanan ringan milik penuh Bumiputera, ZZ Marketing & Trading menetapkan tempoh 10 tahun lagi untuk produk jenama Lapaa miliknya menembusi pasaran luar negara selepas lebih banyak variasi snek itu diperkenalkan kelak.
Pengurusnya, Mohammad Zulmajdi Basyeer Md Ali berkata, sejak memulakan operasi pada Julai lalu, sambutan diterima cukup menggalakkan bagi kedua-dua jenis makanan ringan yang diperkenalkan iaitu kerepek ubi (basah dan pedas) dan kerepek pisang (abu santai).
Jelasnya, dalam masa lima hari pertama dipasarkan, 100 pek bersaiz 250 gram bagi kerepek ubi dan 130 gram bagi kerepek pisang berjaya dijual, malah lebih 1,000 pek turut terjual pada bulan lalu.
"Buat masa ini, tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh jenama Lapaa dalam pasaran tempatan terlebih dulu dengan pemilihan produk yang teliti sebelum dipasarkan.
"Realitinya, kami tidak merancang menambah variasi makanan ringan tahun ini sebaliknya ingin pastikan penguasaan pasaran lebih baik untuk dua jenis kerepek sedia ada.
"Menjelang 10 tahun lagi, kami sasarkan membawa masuk produk bersesuaian ke pasaran China, antara negara yang mempunyai kuasa beli yang tinggi," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, dengan jangkaan sekurang-kurangnya 8,000 pek produk Lapaa terjual menjelang akhir tahun ini, sasaran lebih tinggi diletakkan untuk 2021.
Ini termasuk menyasar 10,000 pek berjaya dijual dalam tempoh sebulan bagi setiap jenis makanan ringan yang dipasarkan khususnya selepas beberapa variasi yang sedang diperhalusi ketika ini diperkenalkan ke pasaran.
"Apa yang penting, kami mahu ketengahkan produk makanan ringan yang bercirikan cita rasa Malaysia tidak kiralah kerepek atau kuih dan asalkan ia sesuai sebagai makanan ringan dan kudapan.
"Kami juga baru saja membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berhasrat menjadi ejen pada awal bulan ini selepas permintaan agak tinggi diterima untuk tujuan ini di mana sepanjang Julai dan Ogos 2020 kami memasarkan sendiri sepenuhnya secara terus kepada pelanggan," katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, Mohammad Zulmajdi berkata, meskipun ketika ini pihaknya hanya sebagai pengedar kepada produk pengusaha tempatan, pihaknya tidak menolak untuk menjadi pengeluar dalam tempoh lima tahun akan datang.
Namun katanya, status pengedar juga bukan isu besar asalkan pihaknya dapat mengekalkan kualiti serta rasa setiap produk yang diambil dari kilang sebelum dipasarkan.
"Ketika ini kami sendiri mendapatkan bekalan daripada pengusaha tempatan di kawasan kampung yang mengeluarkannya secara komersial di kilang kecil.
"Kaedah ini secara tidak langsung mewujudkan rantaian ekonomi yang akan turut memberi manfaat kepada pengusaha kerepek terbabit, bukan manfaat untuk Lapaa saja.
"Cuma kini kami giat membantu mereka mendapatkan pensijilan yang diperlukan dalam perniagaan mereka sekali gus membolehkan proses kami mendapatkan pengesahan kesihatan dan status halal lebih lancar," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 7:20 AM
BATU GAJAH, PERAK, 18 SEPTEMBER 2020 – Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah mengadakan sesi taklimat dan lawatan tapak berkaitan dengan sebutharga pembersihan kawasan luaran APBM Batu Gajah yang berlangsung di Auditorium dan kawasan sekitar APBM Batu Gajah, Perak.
Lawatan tersebut yang telah disertai oleh 60 orang kontraktor yang berminat telah dimulakan dengan taklimat berkaitan harga dan spesifikasi sebutharga tersebut yang telah disampaikan oleh Encik Azlan Bin Hussain, Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah, Perak. Turut hadir mengetuai barisan APBM Batu Gajah ialah Encik Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak yang turut dijemput menyampaikan ucapan alu-aluan kepada yang hadir.
Lawatan tersebut bertujuan untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada kontraktor-kontraktor yang berminat berkaitan skop-skop kerja yang akan mereka lakukan di kawasan akademi ini sekiranya mereka berjaya dalam bidaan sebutharga tersebut.
BATU GAJAH, PERAK, 14 SEPTEMBER 2020 – Warga Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah mempelajari kemahiran berkaitan pengukuran arah kiblat bagi umat islam dengan mengikuti sesi taklimat dan penerangan berkaitan pengukuran tersebut yang disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Ab Razak Bin Zainudin.
Taklimat yang disampaikan di Bilik Mesyuarat APBM Batu Gajah telah dilaksanakan selepas bacaan yasin itu bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran mengenai kefahaman teori dan praktikal dalam penentuan arah kiblat secara konvensional dan moden serta memperkenalkan peserta dengan alat-alat yang di guna pakai bagi menentukan arah kiblat.
Sesi taklimat dan penerangan tersebut telah disertai oleh kebanyakan warga APBM Batu Gajah yang rata-rata amat teruja dengan ilmu baru yang diterima oleh mereka apatah lagi ianya boleh diguna pakai dalam mengukur arah kiblat di rumah sendiri.