KUALA LUMPUR, 31 MAC 2021 - D Ayu Avenue, pengeluar produk Paru Crispy Original di bawah jenama AyuKitchen merancang melebarkan sayapnya ke pasaran Indonesia dan Brunei tahun ini.
Pengasasnya, Mas Ayu Ismail berkata, AyuKitchen sudah berada di pasaran sejak 2016 dan sudah menembusi pasaran Singapura.
"Produk kami yang paling laris adalah Paru Crispy Original dan syukur rezeki musim pandemik Covid-19, kami berjaya menjual lebih 30,000 balang sejak Julai tahun lalu.
"Tahun ini kami optimis melalui ejen dan dropship yang berkualiti, produk AyuKitchen akan diperluaskan bukan sahaja di pasaran Malaysia malah luar negara.
"Selain itu, kami juga mengeluarkan produk baru iaitu Potato Sweet Spicy dan Sambal Berzaman bagi melengkapkan lagi barisan produk sedia ada untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan," katanya.
Menurutnya, produk keluaran AyuKitchen dibuat mengikut resipi asli keluarga turun temurun dan tanpa monosodium glutamate (MSG) serta mempunyai sumber protein yang tinggi.
Mas Ayu berkata, pihaknya juga membuka peluang kepada orang ramai yang ingin menjadi ejen dengan modal serendah RM100.
"Semua produk kami dijual pada harga RM23 setiap satu dan bagi tahun ini juga kami menyasarkan jualan sebanyak 100,000 unit produk," katanya.
Disiarkan oleh Metro Online pada: Mac 31, 2021 @ 11:07am
SHAH ALAM, 29 MAC 2021 - Gloria Jean's Coffees (GJC) Malaysia menyasarkan untuk membuka 16 kafe baharu pada tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 75 kafe menjelang 2027 berbanding 44 kafe setakat ini.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Nasional Bhd (PNS) Mohd Hilaluddin Abd Shukor berkata, PNS selaku pemegang francais itu, kini menggalakkan orang ramai untuk menyertai GJC sebagai francaisi bagi jenama berkenaan.
"PNS memainkan peranan membantu dengan memberi pinjaman sebanyak 70 hingga 75 peratus daripada modal pembukaan kafe terbabit.
"Secara kasarnya, pinjaman tertakluk kepada keluasan kafe dengan (jumlahnya) sekitar RM500,000 hingga ke RM750,000," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian GJC oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), di sini pada Rabu.
Menurut Mohd Hilaluddin, GJC juga setakat ini telah berjaya melahirkan lebih daripada 40 rakan francais menerusi pembukaan outlet berkenaan di seluruh negara serta menyalurkan bantuan pinjaman lebih RM11 juta kepada usahawan terbabit.
Malah, katanya, meskipun negara berdepan pandemik COVID-19, bilangan usahawan yang berminat untuk membuka kafe GJC juga terus meningkat.
"Ini bermakna bantuan modal perniagaan melalui skim pembiayaan ditawarkan oleh PNS terbukti dapat merancakkan lagi perkembangan industri francais dengan membuka peluang bagi menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan," katanya.
KUALA LUMPUR, 29 MAC 2021 - Kepakaran ibunda tercinta dalam mengadun herba tradisional menjadi inspirasi buat Noor Baini Masri, 57, menceburi bidang perniagaan berasaskan herba dan perawatan tradisional.
Baginya, setiap ilmu dan kepakaran yang dimiliki oleh ibunya, Sharifah Umi Kelesom Syed Mohd Zain yang menjadi pengamal perubatan tradisional tidak seharusnya dibiarkan berkubur begitu sahaja.
Disebabkan itu, wanita kelahiran Dungun, Terengganu ini nekad untuk meneruskan legasi ibunya dalam menghasilkan produk berasaskan herba yang berkhasiat untuk kesihatan dan berkualiti menerusi syarikatnya, Sulur Herba Resource yang ditubuhkannya pada tahun 2015.
"Saya memilih untuk menghasilkan Pomegranate & Lemongrass Tea yang diilhamkan daripada minuman yang disajikan oleh ibu kepada pelanggannya. Ketika itu, ia disediakan dalam bentuk cecair dan di sejukbeku untuk menjaga keaslian rasa dan membuatnya tahan lebih lama.
"Namun, cara itu tidak begitu relevan untuk diteruskan dan kami membuat keputusan untuk memodenkan penghasilannya dengan mengolahnya kepada bentuk serbuk yang di peket secara sachet agar lebih mudah dinikmati tanpa menjejaskan keaslian rasa dan khasiatnya.
"Teh yang berharga RM35 sekotak ini sesuai dijadikan relaxing tea dan berkhasiat dalam mencegah Alzheimer dan membantu mencantikkan kulit. Khasiat serai yang terkandung di dalamnya pula membantu menyegarkan tubuh dan mewangikan badan," kata beliau.
Malah teh pracampuran ini mendapat banyak permintaan daripada pengusaha spa di seluruh negara sebagai sajian minuman kepada setiap pelanggan yang mendapatkan rawatan di spa mereka," jelasnya.
Selain itu, beliau turut mengeluarkan produk minuman Ginger Plus+ merupakan teh pracampuran dengan teh hitam, kunyit hitam dan halia hitam sesuai untuk semua peringkat umur.
"Ginger Plus+ boleh dinikmati oleh semua wanita dan lelaki. Teh yang dijual pada harga RM45 ini tinggi kandungan antioksidan dan bersifat zero kalori.
"Pengambilan yang konsisten, membantu menurunkan berat badan, membantu melancarkan peredaran darah, membantu menstabilkan hormon serta meningkatkan tenaga dan stamina badan.
"Kedua-dua produk ini telah menjalani proses R&D selama setahun bagi memastikan ia benar-benar mematuhi standard dan piawaian yang telah ditetapkan. Pelbagai prosedur perlu kami patuhi seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP) selain mendapatkan kelulusan pihak berkuasa sebelum memasarkannya," katanya.
Kepakaran ibunya dalam perubatan tradisional telah dianugerahkan Tokoh Srikandi Ibu Perbidanan oleh Persatuan Pengamal Urut Terapeutik & Penjagaan Melayu Malaysia (PUTRAM) 2017.
"Ibu turut menyediakan khidmat urutan home spa iaitu Sulur Herba Beauty Spa & Postnatal di Bandar Baru Bangi. Khidmat urutan di home spa ini tidak terhad kepada wanita selepas bersalin sahaja tetapi juga kepada mereka yang mempunyai masalah saraf dan yang mahu memanjakan tubuh," katanya.
Selain produk-produk tersebut, Sulur Herba Resource turut memiliki beberapa produk lain khusus untuk wanita selepas bersalin seperti param, pilis, batu tungku, tungku bayi, barut bayi dan bengkung ibu. Terdapat juga produk kosmetik seperti magic lip balm, sabun, minyak wangi dan balm ibu dan anak yang dihasilkan daripada ekstrak gaharu.
Buat mereka yang ingin menikmati khasiat produk-produk keluaran Sulur Herba Resource ini bolehlah mendapatkannya di pautan Sulur Herba HQ di platform e-dagang Shopee.
Manakala mereka yang berminat berurut dan mendapat khidmat spa pula boleh menghubungi talian 011-3019 2711 atau 019-282 3211 bagi membuat temu janji.
1.Noor Baini memartabatkan khasiat herba menerusi produk-produk keluaran syarikatnya.
2.Ginger Plus+ Tea baik untuk demam dan selesema selain membantu mengurangkan simptom artritis ringan.
3.Pomegranate & Lemongrass Tea, relaxing tea yang berkhasiat untuk mencegah Alzheimer.
4.Beauty Spa & Postnatal menawarkan khidmat urutan untuk wanita selepas bersalin dan mereka yang mempunyai masalah saraf.
5.Bersama ibu, Sharifah Umi Kelesom yang menjadi inspirasinya dalam membina empayar perniagaan.
6.Pernah bergelar CEO, Noor Baini tetap gigih mengikuti kursus kemahiran untuk menimba ilmu bagi memajukan perniagaan yang dibina.
7.Noor Baini yakin herba tradisional memiliki khasiat tersendiri yang perlu dikongsi dengan masyarkat.
8.Resipi warisan keluarga dimodenkan selaras dengan peredaran zaman.
Artikel ini diterbitkan oleh Berita Harian pada 29 Mac 2021.
KUALA LUMPUR, 29 MAC 2021 - Foodpanda Malaysia menawarkan skim pembiayaan mikro bagi menawarkan bantuan pembiayaan kepada rakan niaga kecil membabitkan jumlah sehingga RM100,000 bagi setiap perniagaan.
Pengarah Urusannya, Sayantan Das, berkata bantuan pembiayaan yang ditawarkan kepada semua rakan niaga platform itu adalah inisiatif terkininya untuk melindungi vendornya.
Katanya, inisiatif yang diilhamkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh sebahagian lebih 63,000 vendor yang layak.
"Kami bekerjasama dengan Aspirasi dan Funding Societies untuk membantu vendor kami yang layak mendapat akses kepada pembiayaan mikro yang sangat diperlukan ketika ini.
"Foodpanda telah mereka inisiatif PKP ini untuk dimanfaatkan sebanyak mungkin vendor kami. Saya percaya inisiatif khusus vendor, di tambah dengan pelbagai promosi, baucar dan diskaun yang ditawarkan kepada pengguna dapat membantu memacu perniagaan dan meningkatkan pendapatan untuk semua vendor kami," katanya dalam satu temubual menerusi emel bersama BH, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Sayantan berkata, vendor yang layak akan dihubungi secara langsung oleh Foodpanda dan boleh memohon pembiayaan mikro itu menerusi rakan niaga terpilih.
"Ketika tempoh sukar ini, penyelesaian pembiayaan yang ditawarkan ini mampu menjadi perbezaan antara kejayaan dan penutupan beberapa perniagaan.
"Bagaimanapun, saya tidak dapat kongsi keperluan spesifik vendor untuk memohon penyelesaian ini.
Kami akan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai penyelesaian pembiayaan ini tidak lama lagi," katanya.
Beliau menjelaskan, pembiayaan mikro yang ditawarkan Foodpanda dijangka membantu vendor bertahan melalui masa-masa yang sukar ini.
"Dana yang mereka peroleh melalui inisiatif ini boleh menjadi perbezaan sama ada perniagaan kekal untuk tempoh satu bulan lagi atau menutup secara kekal.
"Kami percaya pada semangat dan kesungguhan usahawan Malaysia dan kami ingin memainkan peranan untuk membantu mereka melalui masa-masa sukar ini," katanya.
Artikel ini diterbitkan oleh Berita Harian pada 29 Mac 2021.
KUALA LUMPUR, 29 MAC 2021 - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang tidak pernah menerima Geran Khas Prihatin (GKP) sebelum ini, boleh mengemukakan permohonan bagi GKP 3.0 secara dalam talian melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my/ mulai 1 hingga 15 April 2021.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran GKP 3.0 akan mula dibuat pada bulan Jun 2021 yang dijangka akan memanfaatkan hampir 1.2 juta PKS mikro.
"Jumlah keseluruhan GKP 3.0 akan membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 bilion.
"Mengambil kira GKP 1.0, GKP 2.0, GKP Tambahan dan GKP 3.0, jumlah keseluruhan bantuan kewangan GKP yang telah dan akan memanfaatkan lebih kurang 1.2 juta PKS mikro adalah sebanyak RM4.78 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP sebelum ini juga masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk semakan semula.
"PKS mikro yang layak untuk GKP 3.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) setakat 28 Februari 2021," katanya.
Menurutnya, di bawah Program Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), kerajaan terus komited untuk menyokong sektor perniagaan khususnya PKS mikro tempatan melalui GKP 3.0.
"Bantuan ini disediakan untuk meringankan beban kewangan PKS mikro agar mereka mampu menggiatkan semula perniagaan di dalam tempoh yang masih mencabar ini.
"Setiap PKS mikro yang layak akan menerima bantuan one-off GKP 3.0 sebanyak RM1,000.
"Penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 akan menerima bayaran tambahan RM1,000 tanpa perlu membuat permohonan semula," katanya.
Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro Online pada : Ahad, 28 Mac 2021
KUALA LUMPUR, 29 MAC 2021 - Bank Islam Malaysia Bhd kini memperluas kemudahan pembiayaan mikro BangKIT kepada segmen usahawan siswa dan belia untuk menggalakkan golongan muda menceburi bidang keusahawanan selain menyokong kelangsungan dan perkembangan perniagaan sedia ada.
Usaha tersebut membabitkan pemeteraian perjanjian usaha sama strategik antara Bank Islam dan dua rakan pelaksana baharu iaitu Universiti Malaysia Kelantan dan Majlis Belia Malaysia baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kemudahan tersebut dapat menyediakan sokongan dana yang diperlukan dalam membantu perniagaan yang dimiliki golongan muda.
"Ia turut memperkasakan pengetahuan dan kemahiran usahawan siswa dan belia agar dapat mereka berdaya tahan, inovatif dan bersaing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar hari ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, Bank Islam berharap usaha itu dapat memberi motivasi dan memperkukuh ekonomi kehidupan usahawan siswa dan belia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.
Mohd Muazzam berkata, pihaknya juga berharap kemudahan kewangan sosial itu dapat melahirkan usahawan berdaya maju yang dapat menyumbang kepada kemakmuran masyarakat setempat.
"Kami turut bersedia untuk bekerjasama dengan lebih banyak universiti awam dan swasta bagi usaha ini," katanya.
Menurut Bank Islam kemudahan pembiayaan mikro BangKIT, dilancarkan pada 25 Nov, 2020, memanfaatkan sumbangan atau sedekah yang diterima daripada masyarakat umum atau organisasi melalui Dana Kekal menerusi platform pendanaan awam Bank Islam, Sadaqa House, bagi membantu usahawan mikro yang layak.
Penerima kemudahan pembiayaan akan turut diberi latihan dan bimbingan perniagaan secara praktikal yang dijalankan oleh rakan pelaksana bagi memastikan pertumbuhan dan kemampanan perniagaan yang diusahakan, jelasnya.
Bank itu menambah menerusi sinergi berimpak tinggi dengan rakan pelaksana lain, BangKIT juga membimbing usahawan mikro yang sebelum ini tidak mendapat perkhidmatan perbankan untuk menjadi kumpulan pelanggan yang layak mendapat perkhidmatan perbankan.
Pembiayaan Mikro BangKIT ditawarkan di bawah kontrak Qard (pinjaman tanpa faedah), menurutnya.
Ia menyediakan pembiayaan serendah RM500 dan sehingga RM3,000 bagi perniagaan baharu, dan RM3,000 hingga RM20,000 bagi tujuan pengembangan perniagaan dengan tempoh bayaran balik di antara enam bulan dengan tiga tahun.
Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro Online pada : Ahad, 28 Mac 2021
MELAKA, 15 MAC 2021 - Syarikat penghantar barang, makanan dan logistik, Tapaw Group Sdn Bhd (Tapaw.com) menyasarkan lebih ramai peniaga jalanan mahupun usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) menggunakan aplikasinya bagi memperluaskan pasaran produk mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Tapaw.com Datuk Anuar A Rahman berkata, ruang platform digital tersebut juga satu kaedah pemasaran yang semakin diterima ramai dan secara tidak langsung membantu golongan peniaga meneruskan kelangsungan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.
Katanya, perkhidmatan penghantaran dalam talian itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar malah di ceruk kampung untuk membantu golongan peniaga tersebut dari segi ekonomi.
"Tidak kira sekecil manapun perniagaan mereka sama ada berniaga dari rumah atau menjual seekor kambing hidup, Tapaw.com menyediakan khidmat penghantaran terus kepada pelanggan mereka.
"Pihak kami menawarkan penghantaran dari pelbagai jenis perniagaan dengan pelbagai pengangkutan disediakan sama ada motor, kereta, van dan lori untuk memudahkan peniaga," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Tapaw.com di Duyong, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anuar berkata, menerusi platform itu juga ia bukan sahaja membantu peniaga malah turut membuka peluang pekerjaan kepada semua pihak khususnya golongan belia untuk menjana pendapatan sampingan.
Katanya setakat ini, terdapat 100,000 penghantar di seluruh negara sejak Tapaw.com diperkenalkan pada November lalu dan pihaknya menyasarkan sebanyak 5,000 peserta mendaftar dengan syarikat itu.
"Dalam tempoh pasca pandemik Covid-19, ramai yang terkesan dan ada yang kehilangan pekerjaan, justeru, kami berharap mereka dapat memanfaatkan peluang ini untuk menjana pendapatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:26 PM
KUALA LUMPUR, 15 MAC 2021 - Kerepek Ibu Enterprise yang memasarkan produk keluarannya di bawah jenama Kepek Ibu yakin jualannya akan mencecah 10 hingga 15 tan sepanjang musim perayaan ini.
Pemiliknya, Mohamad Shafry Mohamad berkata, bagi hari biasa pihaknya mampu menjual kira-kira satu ke dua tan kerepek ubi sebulan membabitkan nilai mencecah RM40,000.
Katanya, permintaan terhadap Kepek Ibu turut disumbangkan melalui 15 stokis dan 100 ejen jualannya yang terdapat di seluruh Malaysia.
"Kami menggunakan platform dalam talian 100 peratus bagi memasarkan Kepek Ibu dan kapasiti pengeluaran kilang kita mencukupi iaitu sekitar tiga ke lima tan seminggu.
"Kelebihan Kepek Ibu ini adalah dari segi pelbagai perisa yang ditawarkan, hirisannya yang nipis dan paling penting kerangupan setiap kerepek yang dihasilkan.
"Malah, dari segi pembungkusan kami menggunakan plastic jenis zip lock supaya mudah dimakan dan disimpan," katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, Kepek Ibu dijual hanya RM10 bagi setiap 280 gram dan antara perisa ditawarkan termasuk pedas basah, pedas kering, BBQ serta masin dan terbaharu perisa tomyam.
Mohamad Shafry berkata, pihaknya turut menjual kerepek pisang tanduk, pisang nangka dan jejari bilis.
Katanya, walaupun turut terkesan dengan pandemik Covid-19 namun dia bersyukur permintaan terhadap Kepek Ibu sentiasa ada dan masih membuka peluang menjadi ejen dengan modal serendah RM280.
Artikel ini disiarkan oleh Metro Online pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 9:03 AM
KUALA LUMPUR, 15 MAC 2021 - Setiap perniagaan pastinya ada rintangan serta cabaran yang perlu ditempuhi. Luarannya nampak tenang, tapi dalamannya hanya tuhan sahaja yang tahu.
Seperti yang dilalui oleh Rosniwati Beharom, 45, perniagaan produk kesihatan kulit Saapuu yang diusahakannya tidak terlepas daripada asam garam dunia perniagaan sejak dia menceburinya dari tahun 2003 hingga kini.
Daripada perniagaannya berstatus 'enterpris' sehinggalah syarikatnya dinaik taraf menjadi 'sdn bhd', dia pelbagai cabaran telah pun dilaluinya.
"Kalau nak diimbas semula, saya mula menceburi dunia bisnes ini sejak tahun 2003. Daripada berstatus 'enterpris', syarikat saya naik taraf menjadi 'sdn bhd' sejak Januari tahun 2020."
Menurut anak jati Seri Manjung, Perak itu, sebelum memulakan karier perniagaannya, dia hanya mengambil upah menjahit baju dan membantu emaknya berniaga di pasar sahaja.
"Saya dan suami hanya golongan biasa sahaja yang mana sebelum berkahwin saya menjahit baju dan membantu emak saya berniaga di pasar awam."
Selepas berkahwin dengan suaminya, dia telah berpindah ke Klang, Selangor dan tinggal bersama keluarga mentuanya di sana selama 16 tahun.
Pada ketika itu, dia menyatakan bahawa pendapatannya bersama suami masih tergolong dalam golongan B40.
Dia memulakan karier perniagaannya selepas memutuskan untuk berhenti daripada kerja dan memberanikan diri menyewa kedai dengan hasil pinjaman yang diperoleh daripada MARA.
"Maka dari situlah bermulanya liku-liku kehidupan saya, suka duka sebagai tauke kedai jahit."
Menurutnya, dia telah membuka butik jahitan secara kongsi separuh sewa kedai bersama dengan isteri rakan kepada suaminya yang pada ketika itu mengusahakan butik andaman pengantin.
Namun begitu, selepas beberapa tahun isteri rakan kepada suaminya itu berniaga, mereka terpaksa menutup kedai mereka kerana masalah keluarga.
Disebabkan itu, dia telah mengambil alih perniagaan yang ditinggalkan oleh isteri rakan kepada suaminya berkenaan.
Namun tidak mudah kerana setelah beberapa tahun mengambil alih perniagaan tersebut, dia telah diuji dengan dugaan yang diturunkan.
"Tahun pertama, kedua dan ketiga Alhamdulillah, perniagaan boleh di katakan ok. Masuk tahun keempat apabila terlalu banyak sangat saingan dalam bidang andaman dan jahitan maka dari situ lah berlakunya kemerosotan dalam perniagaan saya.
"Pada masa itu banyak orang catering membuat pakej sekali pelamin, baju dan 'makeup' tetapi saya pada ketika itu hanya membuat baju pengantin dan makeup pengantin sahaja, dan pelamin saya sub pada orang. Jadi di situ dengan ilmu yang ciput dan persaingan yang hebat maka andaman pengantin saya merosot dan yang masih boleh bertahan hanya jahitan baju sahaja," katanya.
Selepas pelbagai ujian yang dilaluinya, dia dan suami berpakat untuk menceburi perniagaan lain dan di situ tertubuhlah Saapuu di bawah syarikat Mawar Shazni Sdn Bhd serta memiliki produk mereka sendiri.
Produk yang telah dipasarkan mereka sejak bulan Jun tahun lalu telah dijenamakan semula dan dilancarkan sekitar bulan Disember tahun lalu. Menurutnya, produknya mengandungi pelbagai ramuan asli dan organik antaranya ialah Aloe Vera, Daun Bidara, Curcumin, Minyak Argan serta madu.
Produk yang SAAPUU ini adalah untuk membantu mereka yang mengalami masalah kulit seperti Psoriasis, eczema, masalah ruam susu dan jangkitan kuman pada kulit.
Suaminya adalah merupakan antara testimoninya yang terawal kerana mengalami penyakit Psoriasis.
"Psoriasis dia mula di kesan pada tahun 1998 yang mana masa itu dia sendiri pun tak menyedari yang itu adalah psoriasis. Semakin hari kulit dia mengalami kegatalan dan tidak keselesaan terutamanya bila terkena pancaran matahari dan terdedah dengan cuaca yang panas dan berpeluh. Maka setiap kali keadaan itu berlaku psoriasis dia semakin aktif keluar.
"Kami telah bercadang untuk menjual produk secara online dan dengan adanya teknologi Nano yang sedang berkembang pesat pada masa ini, maka terdetiklah kami untuk menghasilkan produk SAAPUU yang mana bahan-bahannya adalah dari bahan-bahan organik yang saya gunakan sebelum ini untuk kulit suami," katanya.
Bukan itu sahaja, produk yang dikeluarkan olehnya itu juga telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah menjalani ujian makmal (lab test) Justeru daripada itu, kepada sesiapa yang mempunyai penyakit kulit amat disarankan untuk mencuba produk SAAPUU ini.
Kepada sesiapa yang ingin menjana pendapatan atau mahu membeli produk , sila layari www.saapuu.com.