MIRI, 17 MEI 2022 – Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri mengalu-alukan kedatangan Cik Amy Noryanti binti Eni, Penolong Pegawai Belia dan Sukan yang telah melapor diri di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak pada 9 Mei 2022 dan ditempatkan di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri mulai 17 Mei 2022.
Cik Amy akan melaksanakan tugas beliau di bawah Unit Pembangunan Rakan Muda. Semoga dengan kehadiran beliau di PBSB Miri ini akan meningkatkan lagi kerjasama dan ukhuwah di kalangan warga PBSB Miri sekaligus memberi impak yang lebih positif terhadap perkembangan belia dan sukan di Bahagian Miri.
BINTULU, 17 MEI 2022 – Hari ini, pihak Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu telah menerima kehadiran ahli keluarga baru iaitu, Puan Diana Nuff Binti Abdel Aziz yang telah melapor diri buat pertama kalinya di Pejabat. Beliau yang berasal dari Sabah telah melapor diri di Ibu Pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di Kuching sebelum ditempatkan di Bintulu. Diharapkan dengan kehadiran dan ilmu yang beliau miliki dapat memberi dimensi baru dalam membantu meningkatkan pembangunan Belia dan Sukan di Bintulu. Semoga beliau dapat menyesuaikan diri dan merasakan berada di rumah sendiri sepanjang berkhidmat di bumi Bintulu.
BINTULU, 17 MEI 2022 – Dalam kehidupan, kita mungkin memerlukan doktor sekali sebulan, guru sekali sehari, polis sekali sekala, tetapi setiap hari, tiga kali sehari, kita sangat memerlukan petani. Begitu lah betapa pentingnya pertanian di dalam kehidupan kita. Kata-kata ini sesuai dengan matlamat dan objektif Kursus Asas Ternakan Ikan Air Tawar yang telah dilaksanakan di Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu pada 15 Mei yang lalu. Kursus ini telah dianjurkan dengan jayanya oleh Pihak Kelab Belia Sebiew dengan kerjasama Pusat Pertanian Putra, UPMKB dan sokongan padu Pejabat Belia dan Sukan Bintulu. Pada hari tersebut, Prof. Madya Dr. Amy Halimah Bin Rajaee, Ketua Pusat Pertanian Putra sendiri telah bertindak sebagai penceramah. Beliau mengendalikan sesi teori di waktu pagi yang melibatkan dua topik. Pada petangnya, sesi praktikal telah dilaksanakan di pusat ternakan dan kolam UPMKB di mana sesi tersebut dikendalikan oleh Encik Lirong. Pada sesi ini, para peserta kursus berpeluang menyaksikan dan mempelajari cara bagaimana proses pembenihan ikan dilaksanakan. Kursus ini telah dihadiri oleh 20 orang belia dari seluruh Bintulu. Turut hadir sebagai peserta kurus adalah Pegawai Belia dan Sukan Bintulu, Encik Kigen Anak Satong serta Pengerusi Kelab Belia Sebiew, Muhammad Suffian bin Ashmaidi.
BINTULU, 17 MEI 2022 – Dua pemain beregu wanita pasukan QWIN telah mencuri tumpuan pada Kejohanan Badminton Berpasukan MSL peringkat Bahagian Bintulu yang telah melabuhkan tirai pada 15 Mei yang lalu. Dua pemain tersebut telah memukau para peserta dan penonton dengan aksi mantap mereka walaupun sudah tergolong dalam kategori veteran. Mereka dengan penuh bergaya menundukkan lawan yang jauh lebih muda daripada mereka. Sebanyak 12 pasukan telah berentap dalam Kejohahan selama 2 hari tersebut yang dilangsungkan di B&G Badminton Hall, Bintulu. Setelah bersaing hebat di perlawanan akhir, pasukan QWIN akhirnya menjuarai Kejohanan tersebut dengan kedudukan mata 3-2. Pasukan lawan dalam perlawanan akhir iaitu pasukan SUNTECH JJ terpaksa akur menduduki tangga kedua. Kejayaan beraksi di peringkat akhir melayakkan kedua-dua pasukan tersebut untuk mewaklili Bahagian Bintulu ke Kejohanan MSL peringkat Negeri yang akan diadakan pada 18 hingga 19 Jun 2022 di UNIMAS. Pasukan B-GOLD dan Kg. Pipol pula terpaksa berpuas hati berkongsi kedudukan ketiga bersama. Di akhir Kejohanan, Encik Haidie Johan, wakil dari syarikat penaja utama iaitu MK Ace Engineering Sdn. Bhd. telah hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. Turut hadir mengiringi beliau iailah Pegawai Belia dan Sukan Bintulu, Encik Kigen Anak Satong
BINTULU, 17 MEI 2022 – Pada 13 Mei yang lalu telah diadakan satu mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan yang akan berentap dalam Kejohanan Badminton Berpasukan MSL peringkat Bahagian Bintulu pada 14 hingga 15 Mei 2022. Seramai 12 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka di dalam kejohanan tersebut. Mesyuarat tersebut telah dikendalikan oleh pihak penganjur iaitu Kelab Badminton Pheonix Bintulu. Mesyuarat tersebut diakhiri dengan sesi cabutan undi untuk menentukan kumpulan masing-masing. Turut hadir mempengerusikan mesyuarat ialah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu, Encik Kigen Anak Satong.
Taklimat dan sesi cabutan undi MSL Futsal Kategori Lelaki dan Wanita Peringkat Bahagian Sarikei sedang berlangsung.
Taklimat di pengerusikan oleh Puan Jamaika Binti Marciano, Penolong Pegawai Belia dan Sukan dan dikendalikan oleh Encik Abdul Rani Bin Jemi, Penyelaras MSL Peringkat Bahagian Sarikei bersama Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei dan Persatuan Pengadil Bahagian Sarikei.
Seramai 32 pasukan lelaki dan 4 pasukan wanita yang akan beraksi pada 21-22 Mei 2022 ini nanti di Kompleks Sukan Integrasi Baji Jaya, Sarikei.
Semoga semua pasukan yang terlibat dapat bertanding dengan semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei mengadakan mesyuarat pagi atau Morning Prayer sementara menyambut Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Sarikei bersama kakitangan pejabat.
Matlamat utama sambutan perayaan tersebut adalah bagi memberi kesedaran akan peranan dan tanggungjawab warga belia yang bertambah besar serta mewujudkan konsep berdikari yang lebih luas dan praktikal dalam kalangan belia.
Mesyuarat di pengerusikan oleh Encik Mohd. Johari Bin Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei.
Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian menerima kedatangan Puan Jamaika Binti Marciano untuk melapor diri pada hari ini sebagai Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei yang baharu.
Puan Jamaika yang berasal dari Sabah sebelum ini melapor diri di Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak dan akan bermula berkhidmat di Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Sarikei berkuatkuasa 17 Mei 2022.
Encik Johari mengambil kesempatan untuk memberikan taklimat ringkas kepada Puan Jamaika berkenaan dengan pentadbiran dan pengurusan pejabat.
Selamat datang ke Bahagian Sarikei kepada Puan Jamaika.
LIMBANG, 17 Mei 2022 - Pertandingan Badminton Berpasukan Malaysia Sport League (MSL) Bahagian Limbang telah melabuhkan tirai pada 15 Mei 2022. Johan bagi pertandingan ini telah diungguli oleh Pasukan Kelab Badminton Lawas, manakala Naib Johan disandang oleh Pasukan Kelab Badminton Black Head Limbang. Tempat ketiga bersama pula disandang oleh Pasukan Dream Team dan Pasukan Black Head A.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh SUPT Parum Anak Niot, Ketua Polis Daerah Limbang. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Encik Yaman bin Yahya- Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Encik Zaini Garip- Timbalan Presiden Persatuan Badminton Limbang dan Encik Harizz Fadullah bin Tanny- Presiden Kelab Badminton Black Head Limbang.