Disediakan Oleh : Jamaika binti Marciano, PBSB Sarikei
Sarikei, 25 Julai 2024 : Satu taklimat Arahan Pentadbiran Kewangan Kementerian Belia dan Sukan telah diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom pada 25 Julai 2024 jam 10.00 pagi. Taklimat tersebut telah dihadiri oleh kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei.
Sesi Taklimat Arahan Perbendaharaan Kewangan (APK) tersebut merupakan kawalan dalaman kepada semua Jabatan/Bahagian/Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan yang bertujuan untuk memastikan tatakelola pengurusan kewangan yang lebih cekap, teratur dan berhemah. APK KBS ini berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2024 dan tertakluk kepada sebarang perubahan kepada peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan juga perubahan peraturan dalaman yang dikeluarkan oleh KBS dari semasa ke semasa. Dengan berkuatkuasanya APK KBS ini, maka Arahan Pegawai Pengawal (APP) KBS Tahun 2021 adalah DIBATALKAN.
BETONG, 25 JULAI 2024 – Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Bahagian Betong Bilangan 1 Tahun 2024 telah diadakan pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Richard anak Michael Abunawas, Residen Bahagian Betong.
Antara perkara yang telah dibincangkan adalah pembentangan laporan tren tangkapan penagih dan pengedaran dadah, laporan pelaksanaan program One Stop Committee (OSC) daerah, program-program pencegahan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Betong sendiri.
Pengerusi berkata bahawa isu dan permasalahan dadah yang berlaku dalam komuniti pada hari ini bukanlah isu baru yang berlaku bukan sahaja di kawasan bandar tetapi merebak ke kawasan pedalaman dan menyeru supaya semua pihak berganding bahu membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dengan menerapkan budaya kepedulian dalam masyarakat agar intergrasi dan kesejahteraan sosial dikalangan komuniti terus terjalin. Hadir sama semasa mesyuarat Encik Erwan Dzulfadli bin Pasah, mewakili Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong.
BETONG, 24 Julai 2024 - Perbincangan bersama Kelab Kecergasan Indai Tai Saratok berkenaan pelaksanaan program FitMalaysia dan Senaman Warga Emas telah diadakan pada 23 Julai 2024 bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong.
Antara objektif program FitMalaysia ialah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi semua lapisan masyarakat disamping meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjalani gaya hidup cergas. Manakala, objektif program Senaman Warga Emas pula untuk membina jaringan hubungan bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan perpaduan di kalangan warga emas.
Sesi perbincangan tersebut telah dihadiri oleh Cik Nurulzamzam bt Hj. Shafi'ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong bersama Presiden kelab Kecergasan Indai Tai Saratok, Puan Florence Annie Ak Joesel, Setiausaha kelab, Puan Bremas anak Empati, AJK kelab, Puan Nelfiana binti Sigas. Hadir sama semasa perbincangan Cik Azira binti A.Manan, Pegawai Unit Pembangunan Sukan PBSB Betong.
Disediakan oleh : Morni binti Ibrahim, JBSN Sarawak
SIBU, 24 Julai 2024 - Program Jumpa Orang Muda ( Kembara JOM ) kawasan pedalaman adalah anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dengan Kerjasama Kelab Belia Iban Mansang Bawang Assan & Pejabat Daerah Kanowit. Satu mesyuarat penyelarasan program telah diadakan dan telah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kanowit, Jackline binti August @August Jahar melalui aplikasi atas talian, manakala agensi-agensi terlibat bermesyuarat secara fizikal di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kanowit. Yang Berhormat Tuan Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, akan mengadakan Program Kopi-kopi yang melibatkan belia setempat di Kanowit bagi mendapatkan pandangan tentang pelan transisi kepimpinan belia kearah penguasaan dan pindaan Akta 668 serta meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai hala tuju belia dan kepimpinan belia dalam pertubuhan belia. Beberapa program sampingan telah dirancang untuk dilaksanakan antaranya Pertandingan Sepak Takraw 4 penjuru, Pertandingan menyumpit, Sukaneka, demonstrasi manuk pansoh dan lain-lain lagi. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan program yang telah dirancang ini.
BETONG, 23 JULAI 2024 – Terapkan Amalan Nilai Intergriti dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Demikian amanat Cik Nurulzamzam bt. Hj. Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong semasa sesi “Morning Prayer” dan perbincangan aktiviti pentadbiran pejabat, belia, sukan dan rakan muda serta keterlibatan PBSB Betong semasa SUKMA Sarawak 2024 bersama pegawai dan kakitangan pada 15 Julai 2024 bertempat di Ruang Tamu, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong.
Antara lain beliau turut menyampaikan amanat tuan pengarah JBS Sarawak supaya sentiasa bekerja dan bergerak sebagai satu pasukan, berkongsi ilmu pengetahuan atau maklumat bersama pegawai lain supaya lebih peka dengan perkembangan info semasa terutama yang melibatkan jabatan atau program kerjasama bersama agensi lain.
BETONG, 23 JULAI 2024 – Pemeriksaan Pelupusan Aset Alih Kerajaan di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong Tahun 2024 telah diadakan pada 15 Julai 2024. Pemeriksaan tersebut telah dilakukan oleh dua orang pemeriksa (pemverifikasi) yang dilantik oleh JBS Sarawak iaitu Puan Nur Fatheen Khairuzan bt Seleman, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu dan Puan Olivia anak Kaminis, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit.
Pemeriksaan ini adalah untuk menyemak aset pejabat yang hendak dilupuskan atas sebab fizikal aset sudah rosak dan tidak berfungsi lagi. Cik Nurulzamzam bt. Hj. Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong mewakili PBSB Betong mengucapkan terima kasih di atas kehadiran mereka.
MIRI, 17 JULAI 2024 – Seramai 20 orang peserta (prospek) belia dari Penjara Pusat Miri, Sarawak telah menyertai Projek Reben Kuning Peringkat Negeri Sarawak 2024 dengan jayanya. Program yang bermula pada 9 hingga 12 Julai 2024 bertempat di Penjara Pusat Miri melibatkan Jabatan Belia Sukan Negeri Sarawak melalui Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri, Pejabat Penjara Negeri Sarawak dan Institut Kemahiran Belia Negara Miri (IKBN).
Para peserta lelaki dan wanita telah menyertai kursus kemahiran yang disediakan oleh pihak IKBN Miri iaitu Kursus Penyelenggaraan Kereta dan Kursus Penyediaan Makanan. Selain itu, Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Miri juga turut dijemput untuk melaksanakan segmen peluang dan penciptaan pekerjaan bersama 2 majikan yang bertujuan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada para peserta di luar nanti.
Majlis Penutupan Projek Reben Kuning Peringkat Negeri Sarawak 2024 telah disempurnakan oleh Tuan Shamlin bin Mohd Mohd Tuali, Timbalan Pengarah Penjara Pusat Miri mewakili Pengarah Penjara Negeri Sarawak. Turut hadir ialah Puan Stephanie Wendy anak Stamford, Pegawai Unit Pembangunan Belia PBSB Miri mewakili Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak, Encik Kaya bin Raju Timbalan Pengarah HEP mewakili Pengarah IKBN Miri, para penceramah dari IKBN Miri dan PERKESO Miri, wakil-wakil majikan dan para pegawai dari Penjara Pusat Miri dan PBSB Miri.
Projek Reben Kuning ini merupakan kali kedua dilaksanakan di negeri Sarawak di mana projek pertama telah dilaksanakan pada tahun 2022 di Sekolah Henry Gurney, Kuching. Projek yang diperkenalkan pada tahun 2018 itu bertujuan untuk menyediakan platform kepada prospek belia serta penghuni Sekolah Henry Gurney menerusi program latihan pembangunan kemahiran yang mempunyai pasaran kerjaya dan peluang keusahawanan. Program ini diharap dapat memberi peluang kepada prospek untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah tamat tempoh tahanan serta membina perspektif positif masyarakat terhadap bantuan untuk meneruskan kehidupan lebih baik.
SIBU, 22 Julai 2024 - Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu dan Kelab Belia Jalan Lanang telah melaksanakan Program Mobilisasi Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Peringkat Bahagian Sibu 2024 bertempat di Rumah Seri Kenangan Sibu. Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan belia melalui pembelajaran, pengalaman secara hands-on serta menggunakan inisiatif dan kreativiti dalam melaksanakan program/aktiviti kesukarelawan di peringkat akar umbi dan komuniti setempat.
Antara aktiviti dalam program ini adalah aktiviti perarakan sempena Sambutan Hari Sarawak, senama ringan bersama penghuni RSK, pemasangan bendera Sarawak dan Malaysia di sekitar kawasan Rumah Seri Kenangan dan aktiviti mewarna bersama warga emas. Turut hadir bersama dalam program ini Puan Nur Fatheen Khairuzan Bt seleman, Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Sibu dan Cik Nur Afifah Binti Rohani, Pengetua Rumah Seri Kenangan Sibu. Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Disediakan oleh : Muhammad Afif bin Ibrahim, JBSN Sarawak
SIBU, 20 JULAI 2024 - Majlis Perasmian Bengkel Perkenalan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan Peringkat Sekolah Bahagian Sibu yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Elektronik Bahagian Sibu (SDESA) dengan kerjasama Methodist Pilley Institute (MPI) telah disempurnakan oleh YB Oscar Ling Chai Yew, bersama dif-dif kehormat, ahli Lembaga Pengarah Methodist Pilley Institute (MPI), Dr Ranco Yong dan Penasihat AK Studio, Dato Paduka Dr Hii King Hiong di Methodist Pilley Institute (MPI) Jalan Lily Sibu pagi ini. Bengkel ini merupakan satu platform pengenalan kepada Pembangunan Sukan Elektronik (E-Sports) dalam kalangan pelajar sekolah.
Bengkel ini juga dimeriahkan dengan aktiviti demonstrasi Gameplay Honor of Kings, diskusi berkaitan E-Sports serta wacana tentang kerjaya dalam bidang E-Sports di peringkat sekolah mahupun di peringkat kebangsaan. Majlis ini juga dihadiri oleh Presiden Persatuan Sukan Elektronik Bahagian Sibu (SDESA), Encik Abdul Taib Rosli, Presiden Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA) merangkap Timbalan Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Encik Afiq Fadhli Narawi dan wakil Pegawai Pendidikan Bahagian Sibu, Encik Kiew Soon Lee. Turut hadir adalah Pembantu Belia dan Sukan Bahagian Sibu, Encik Muhammad Afif bin Ibrahim bagi memantau majlis dan bengkel tersebut.