





KENINGAU, 10 April 2023 – Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Bahagian Keningau dan Kelab Rakan Muda (KRM) Keningau telah berjaya melaksanakan Program Kelab Rakan Muda - MySaveFood Ramadan yang berlangsung selama 8 hari bermula dari 3 April hingga 10 April 2023 bertempat di Bazar Keningau Mall, Keningau dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Persatuan Belia Inspirasi (SENI) Keningau.
Program Kelab Rakan Muda - MySaveFood Ramadan merupakan satu inisiatif bagi mengurangkan pembaziran makanan di Bazar Ramadan yang mana lebihan makanan yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar akan diberikan kepada pihak yang memerlukan. Selain itu juga, program ini dapat menggerakkan aktiviti kesukarelawanan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui pembudayaan sistem pengurusan sisa makanan yang efektif.
Sepanjang program ini berlangsung, SATRIA dan KRM Keningau berjaya mengumpul 262kg pelbagai jenis makanan dan 256kg pelbagai jenis minuman dengan jumlah keseluruhan sebanyak 519kg untuk diserahkan terus kepada golongan-golongan yang kurang bernasib baik. Para peniaga bazar memberi maklumbalas yang positif mengenai program ini kerana selain dapat menyelamatkan makanan dari terbuang, mereka juga dapat beramal khusus di dalam Bulan Ramadan.
Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah mengucapkan Syabas dan tahniah kepada 8 sukarelawan yang diketuai oleh En. Iranmal Hj. Kasan diatas usaha murni dalam menjayakan Program Kelab Rakan Muda – MySaveFood Ramadan dan berharap mereka akan menjadi contoh para belia untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan di masa akan datang.
Disediakan Oleh ,
PBSB Keningau
- JBS Sabah
- Hits: 254





































