
KOTA KINABALU, 22 MEI 2016 – Program FitFest@Sabah 2016 telah memberi peluang kepada masyarakat menghayati gerakan fitMalaysia yang diilhamkan oleh YB Menteri Belia dan Sukan. Matlamat ini menjadikan Malaysia sebuah Negara bersukan dan memerlukan sokongan daripada semua lapisan masyarakat.
Oleh itu, Unit Pembangunan Kecergasan Nasional, Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah telah menganjurkan Program FitFest@Sabah 2016. Penglibatan Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Pantai Barat, Kudat, Beaufort, Keningau, Tawau dan Sandakan dapat memberi ruang dan peluang penyertaan kepada belia dan remaja untuk mempamerkan kebolehan dan kemahiran di dalam Pertandingan Sukan Kecergasan serta mencari pelapis penggiat kecergasan.
Program ini telah diadakan pada 21 hingga 22 Mei 2016, di Kompleks Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah dan Pusat Membeli Belah, Suria Kota Kinabalu. Aktiviti yang dipertandingkan adalah seperti Lompat Tali Berirama bagi Sekolah Rendah dan Menengah, Step Aerobik, Fit Ball dan Sport Aerobik. Dalam pertandingan sengit ini, Sandakan mendahului dan telah merangkul Juara Keseluruhan antara Bahagian Beaufort, Kudat, Pantai Barat, Tawau dan Keningau.
Tujuan utama FitFest ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga tahap kecergasan dan kesihatan di samping menghindari gejala negetif serta mempromosi FitMalaysia melalui aktiviti gaya hidup cergas, aktif dan sihat sepanjang hayat serta mewujudkan suasana interaksi yang mesra dan harmoni antara kaum di sepanjang program berlangsung.
Majlis Penutupan ini disempurnakan oleh Encik Rusli Bin Yusoff, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah. Turut hadir bersama Puan Sempini Binti Langiton, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah dan Encik Himran Entoh, Pegawai Belia dan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan (P), Bahagian Kudat.
Oleh :
Norhayati Tasif
JBSN Sabah
- JBS Sabah
- Hits: 473










