
TAWAU, 12 Februari 2021 - Dibuka secara rasminya pada tahun 2012, SK Tanjung Batu Keramat menampung kapasiti seramai 1,046 orang pelajar dengan pembelajaran satu sesi. Berkeluasan 13.6 ekar, sekolah ini hampir lengkap dari segi fasiliti untuk kurikulum dan kokurikulum.
Kerjasama yang erat di kalangan warga pendidik dan PIBG memperlihatkan banyak kemajuan dari segi penambahbaikan beberapa fasiliti, di antaranya adalah penyediaan dua (2) buah bilik darjah E-Digital, penyediaan 12 unit komputer, 12 unit smart-tv untuk beberapa bilik darjah terpilih, dan naik taraf tapak perhimpunan.
Pencapaian kurikulum MTM UPSR tiga (3) tahun terakhir sekolah ini memperlihatkan prestasi yang membanggakan apabila mencatat 69.72% (2017) kemudian 77.05% (2018) dan 83.62% (2019). Tidak terkecuali dalam kokurikulum, pelajar sekolah ini turut membantu mengharumkan nama di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Di antara yang menonjol adalah adik Daniel Fiedieans Maideh yang telah menjuarai Youth World Muaythai Championship di Bangkok (2017)[https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1476201985779791&id=574755982591067].
Sementara adik Mohd. Hafiz Rudy Iskandar memenangi 80m lari berpagar, selain membantu pasukan johan acara 4x200m dan naib johan acara 4x100m di MSSM 2019. Dalam acara sukan berpasukan pula, pasukan hoki sekolah berjaya menjuarai pingat emas hoki MSSS, 2018 dan Piala TNB peringkat Negeri, 2019.
YB Andi selaku ADUN N.71 Tanjung Batu merangkap Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berbesar hati pada hari ini menyantuni warga SK Tanjung Batu Keramat bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan dan Penyerahan Beg Sekolah kepada murid-murid asnaf. Seramai 100 pelajar telah terpilih sebagai penerima dan diwakili oleh ibu bapa masing-masing telah menerima bantuan tersebut yang diadakan di bilik mesyuarat utama sekolah.
Turut hadir menyampaikan adalah Yang Dipertua PIBG Tuan Hj. Abd. Samat Akui dan Timbalan En. Usman Madeaming. Setelah selesai sesi penyerahan, YBrs. Tuan Rahmat Ariffin selaku Guru Besar sekolah, dibantu oleh PK En. Afian Manupe telah menyampaikan taklimat pencapaian dan pembangunan sekolah.
Seterusnya, YB Andi dibawa melawat sekitar sekolah bagi melihat sendiri keadaan beberapa lokasi projek yang dicadangkan dan yang sedang diusahakan. Di antara fokus utama yang diutarakan oleh YBrs. Guru Besar adalah cadangan pembinaan astaka padang sekolah. Kebaikan pembinaan tersebut akan dapat dimanfaatkan bukan saja untuk program atau acara sekolah, malah komuniti setempat akan berpeluang mendapat manfaat melalui perkongsian guna sama.
Oleh:
Zayanidi Bin Abbas
PBSB Tawau
- JBS Sabah
- Hits: 492






