Kangar, 17 Mac 2020 - Satu mesyuarat penyelarasan bagi programActive Aging and Wellnes Peringkat Negeri Perlis 2020 telah diadakan pada 5 Mac 2020 yang lalu bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 1, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis.
Mesyuarat ini dihadiri oleh beberapa agensi kerajaan, swasta dan NGO. Mesyuarat ini membincangkan tentang pengisian aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan pada program tersebut dan langkah-langkah pencegahan bagi menangani masalah penularan virus COVID-19 ketika program tersebut dilaksanakan.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Puan Norhazita binti Kamaludin, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis. Turut hadir Penolong Pengarah Sukan, Encik Mohd Hanaffi bin A. Rahman. Semoga program ini akan berjalan lancar dan dipermudahkan.
Kangar, 16 Mac 2020 - Encik Kamarol Azlan Bin Abdull Hamid, Penolong Pengarah Belia dan Encik Mohd Azizi bin Rashid, Pegawai Pembangunan Sahsiah telah turun padang meluangkan masa berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd Fuad bin Sakdan pada 4 Mac 2020 dan Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara Perlis, Dr. Ahmad Fikri bin Mohd Kassim pada 10 Mac 2020 yang lalu bagi menerangkan mengenai program Felo Perdana dan Felo Korporat dengan lebih terperinci supaya intipati program ini sampai kepada sasaran peserta yang betul.
Semoga perbincangan dan kerjasama ini dapat terjalin utuh demi masa depan belia yang lebih terjamin.
Kangar, 16 Mac 2020 - Mesyuarat Pegawai Belia dan Sukan Negeri Perlis telah diadakan pada 4 Mac 2020 yang lalu bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 1, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Pengarah, Puan Norhazita binti Kamaludin melibatkan semua pegawai skim S. Turut hadir Penolong Pengarah Belia, Encik Kamarol Azlan bin Abdull Hamid dan Penolong Pengarah Sukan, Encik Mohd Hanaffi bin A. Rahman.
Mesyuarat ini diadakan adalah untuk membentangkan program-program daripada Bahagian Belia, Bahagian Sukan dan Unit Rakan Muda pada suku tahun pertama ini. Puan Pengarah mengharapkan setiap program yang dirancang dapat dijalankan dengan baik dan sistematik.
Kangar, 13 Mac 2020 - Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis telah menghantar 10 orang wanita daripada Kelab Senamrobik Aura Perlis menghadiri Seminar Wanita Dalam Sukan Zon Utara 2020 yang telah diadakan pada 29 Februari 2020 yang lalu bertempat di IKTBN Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Program ini adalah anjuran i-LEAD.
Seramai 200 orang terdiri daripada penggiat sukan, kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar dan NGO telah menghadiri program ini.
Antara topik yang dibincangkan untuk memperkasakan wanita dalam sukan adalah kenapa berasa malu ketika melakukan aktiviti sukan dalam diri kita, perasaan malas melakukan aktiviti sukan dan wanita perlu menjalani aktiviti sukan untuk meningkatkan keyakinan diri.
Semoga mendapat input bermanfaat mengenai program ini.
Kangar, 13 Mac 2020 - Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis telah menghantar 10 orang pegawai dan 10 orang belia Perlis menghadiri program Dialog Kerja Belia Zon Utara Tahun 2020 pada 29 Februari 2020 yang lalu bertempat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Antara intipati program ini adalah Pengenalan Konsep "MYeSS" yang disampaikan oleh Encik Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria, Pengarah Kluster Modal Insan i-LEAD dan Sesi Perkongsian Pengalaman dan Dialog bertajuk "Kami Pekerja Belia" disampaikan oleh Encik Nizam bin Samsudin dan wakil NGO, Presiden Adab Gemilang (Adab Youth Garage).
Ucapan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Encik Mohd Nizam bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Kecemerlangan i-LEAD).
Kangar, 13 Mac 2020 - Kejohanan Akuatik Majlis Sukan-sukan Sekolah Negeri Perlis telah diadakan dengan jayanya pada 29 Februari 2020 yang lalu bertempat di Kompleks Renang, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis melibatkan para pelajar sekolah negeri Perlis.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Puan Norhazita binti Kamaludin berbesar hati menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Tahniah diucapkan kepada yang berjaya. Semoga terus mencapai kejayaan pada kejohanan akan datang.
Kangar, 13 Mac 2020 - Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid telah mencemar duli dan berkenan berangkat untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Angin Timur Perlis Kali ke-8 tahun 2020 pada 29 Februari 2020 yang lalu bertempat di Jalan Lintasan Tengah, Kampung Oran, Mata Ayer, Perlis. Turut sama berangkat Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan selama tiga hari ini yang bermula pada 28 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020 telah diadakan bagi memeriahkan program ini. Antaranya Senam Seni, Fit Dance and Aerodance Aerobic, Jom Santai Karaoke, Pertandingan Pukul Bantal, Pameran dan Jualan Usahawan, Pertandingan Wau Tradisional, Persembahan Malam Irama Kerohanian, Kids Warrior Challenge, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Badang Bendang dan macam-macam lagi.
Pesta Angin Timur merupakan cerminan kehidupan dan budaya rakyat Perlis, di samping membantu menjana ekonomi rakyat tempatan, juga memberi peluang kepada generasi muda menghayati semula sebahagian aktiviti yang semakin dilupakan selain menjadi produk pelancongan.
Program ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Puan Norhazita binti Kamaludin telah hadir ke majlis perasmian ini.
Kangar, 13 Mac 2020 - Acara Larian Angin Timur sempena Pesta Angin Timur bagi tahun 2020 telah berlangsung dengan jayanya pada 29 Februari 2020 yang lalu bertempat di Lintasan Jalan Tengah, Kampung Oran, Mata Ayer, Perlis. Program ini adalah anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Malaysia Events and Printing (MEP) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis.
Aktiviti larian ini melibatkan hampir 500 lebih peserta dimulakan dengan senamrobik dan pelepasan disempurnakan oleh YB Puan Siti Berenee Binti Yahaya, ADUN Mata Ayer, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis, Encik Megat Adnan bin Megat Ridzuan bersama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Puan Norhazita binti Kamaludin.
Turut diadakan Pertandingan Pakaian Kostum Terbaik Larian Angin Timur yang bertemakan "Kampung People" dan juga hadiah cabutan bertuah . Sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Puan Norhazita binti Kamaludin, pihak HPA Malaysia dan CEO Malaysia Events and Printing (MEP), Encik Ku Hasrin bin Ku Abdul Rahman.
Pihak jabatan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MEP yang merupakan rakan kongsi penganjuran acara larian ini terutama dari segi pendaftaran, teknikal dan logistik. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada pihak HPA Malaysia kerana sudi menaja minuman KOPI RADIX dan hadiah cabutan bertuah menambahkan lagi keceriaan acara larian ini.
Kangar, 13 Mac 2020 - Majlis Perasmian Pesta buku dan Karnival Pembaca Perlis 2020 telah diadakan dengan jayanya pada 28 Februari 2020 yang lalu bertempat di Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Ibni Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail, Raja Muda Perlis.
Tuanku juga berkenan mengadakan lawatan Diraja ke pameran dan seterusnya merasmikan pesta buku ini. Turut diadakan pengurniaan hadiah kepada peminjam terbanyak kategori kanak-kanak, belia dan dewasa.
Encik Kamarunzaman bin Abd Hamid, Ketua Unit Rakan Muda mewakili Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis telah hadir ke majlis perasmian ini.