KUNJUNGAN KELAB KEBAJIKAN PESAKIT BUAH PINGGANG PERAK UTARA (LOVE KIDNEY)
KAMUNTING, 17 April 2024 - Kelab Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Perak Utara (LOVE KIDNEY) telah hadir berkunjung ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Larut Matang bagi membincangkan kerjasama yang dapat dijalinkan oleh kedua-dua pihak terutamanya dalam usaha memberikan impak yang lebih besar dalam kerja-kerja kesukarelawanan serta menarik minat belia untuk terlibat sama dalam program-program yang bakal dilaksanakan kelak.
Kelab Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Perak Utara (LOVE KIDNEY) telah diketuai oleh Encik Saiful Hizam bin Abu Zarim selaku Pengerusi manakala Pejabat Belia dan Sukan Daerah Larut Matang diwakili oleh Puan Syahirah binti Kunji Mohammed.
PENUBUHAN SEKRETARIAT RAKAN MUDA (SRM) IPT POLITEKNIK SULTAN AZLAN SHAH (PSAS) TELAH DILULUSKAN
IPOH, 18 April 2024 - Tahniah diucapkan kepada pihak PSAS atas kejayaan menubuhkan SRM IPT. Majlis penyerahan sijil telah disampaikan oleh En. Mohd Halifi Bin Ab Hamid, Pen. Pengarah Bhg. Pembangunan Rakan Muda JBS Perak.
En. Shahrul Izwan Bin Mat Sharif, Pegawai Belia Dan Sukan Politeknik Sultan Azlan Shah telah hadir untuk menerima sijil penubuhan SRM IPT tersebut. Semoga lebih banyak aktiviti menerusi 10 Gaya Hidup Rakan Muda dapat dilaksanakan oleh SRM IPT PSAS, sekali gus ia dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar / komuniti setempat.
IPOH, 6 April 2024 – Telah berlangsung program Moh Ngaco dan Edaran Bubur Lambuk di Taman Lapangan Jaya. Program ini telah disertai oleh sukarelawan, ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung cawangan Ipoh dan penduduk setempat yang diketuai oleh Sdr. Kamal Syukri.
Edaran bubur lambuk telah disempurnakan oleh YB Tan Kar Hing, Ahli Parlimen Gopeng bersama dif-dif jemputan yang lain. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kinta turut bersama menjayakan program tersebut.
SUKARELAWAN KINTA TURUT SERTA DALAM MAJLIS IFTAR JAMAIE
IPOH, 5 April 2024 – Telah berlangsung Majlis Iftar Jamaie di Surau Al- Hidayah, Jelapang Jaya yang melibatkan seramai 20 orang sukarelawan Kinta turun padang untuk bersama-sama menyediakan tempat, juadah berbuka hingga ke moreh selepas solat tarawih.
Program ini adalah anjuran Tareqa, Kelab Motosikal Masjid dan Surau Gugusan Manjoi dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kinta, Majlis Belia Daerah Kinta dan Pertubuhan Belia Gugusan Manjoi.
Majlis Iftar ini dimulakan dengan ucapan ringkas, penyampaian cendahati dan sijil penyertaan sukarelawan. Majlis ini juga dihadiri oleh En. Mohammad Izwan Bin Rojehan, Pegawai Belia dan SUkan Daerah Kinta.
MESYUARAT PENYELARASAN AKTIVITI EXPLORACE SEMPENA KARNIVAL SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA PERINGKAT NEGERI PERAK TAHUN 2024
4 April 2024, IPOH - Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak (JBSNPK) telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Explorace sempena Karnival Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak. Pejabat Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Negeri Perak dan TOURISM Negeri Perak adalah Rakan Strategik penganjuran aktiviti tersebut. Program yang dirancang sebagai Aktiviti Ambang HBN Negeri Perak tahun 2024 ini akan diadakan pada 14 Mei 2024 (Selasa).
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBrs. Puan Nor Azah binti Ahmad Dahalan, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak. Antara lokasi yang dipilih untuk siri aktiviti pada tahun ini ialah Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping. Uniknya, pergerakan peserta ke checkpoint ialah dengan mengunakan kemudahan Komuter KTMB yang bermula dari Stesen KTM Ipoh dan stesen perhentian yang dipilih ialah Stesen KTM Kuala Kangsar serta Stesen KTM Taiping. Peserta perlu menyelesaikan tugasan di checkpoint yang terpilih iaitu kawasan pelancongan sekitar Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping.
Bagi aktiiviti rintis pada tahun ini, JBSNPK mensasarkan penyertaan seramai 45 orang belia yang terdiri daripada 15 pasukan. Seramai 3 orang belia yang terdiri daripada campuran komposisi pelbagai kaum akan membentuk 1 pasukan. Inisiatif ini adalah bagi meraikan muhibah Malaysia sebagai Negara yang unik dan perpaduan kaum yang erat antara warganegara Malaysia.
SESI TAKLIMAT MAJLIS PERUNDINGAN BELIA NEGARA PERINGKAT DAERAH NEGERI PERAK TAHUN 2024
5 April 2024, IPOH – Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah melaksanakan Sesi Taklimat Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Negeri Perak Tahun 2024 secara virtual yang melibatkan kehadiran hampir 40 orang Pegawai Belia dan Sukan Daerah dan Pegawai Unit Belia Daerah Negeri Perak.
Taklimat ini dilaksanakan untuk memberi penerangan berkaitan konsep program terutamanya berkaitan tatacara kewangan, punca kuasa, ahli jawatankuasa MPBN, penyertaan MPBN, kaedah pelaksanaan dan kerjasama rakan strategik di peringkat daerah. MPBN Peringkat Daerah Negeri Perak akan diadakan di setiap Daerah sebelum berakhirnya bulan Jun 2024 kerana MPBN Negeri Perak akan dilaksanakan pada Julai 2024.
Antara objektif pelaksanaan MPBN Peringkat Daerah ialah membincangkan isu-isu yang dihadapi dalam proses pembangunan belia di pering kat daerah, meneroka dimensi baru dalam agenda pembangunan belia selaras dengan scenario perubahan semasa, menzahirkan pelan tindakan bagi menangani sebarang isu pembangunan belia dan memperkukuhkan hubungan jaringan kerjasama antara pemimpin pertubuhan belia bersama-sama agensi kerajaan dalam usaha melahirkan belia Malaysia yang dinamik serta berdaya saing.
Perutusan kata-kata aluan telah dijayakan oleh Encik Munir bin Aliyasak, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak. Pembentangan taklimat telah dilaksanakan oleh Pn. Hjh. Wan Ruhimah binti Abd Ghani, Penolong Pegawai Pembangunan Sosial.
SESI PERBINCANGAN ‘POCKET PROGRAMMES’ SEMPENA SAMBUTAN KARNIVAL SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA (HBN) DAN KEMBARA JUMPA ORANG MUDA (JOM) NEGERI PERAK 2024
5 April 2024, IPOH – Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak (JBSNPK) telah mengadakan perbincangan ‘pocket programmes’ iaitu aktiviti sampingan bersama-sama pemimpin belia Negeri Perak sempena Karnival Sambutan HBN dan Kembara JOM Negeri Perak 2024 yang bakal dilaksanakan pada 18 hingga 19 Mei 2024 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak.
Antara pertubuhan belia yang terlibat pada sesi perbincangan ialah wakil Majlis Belia Daerah Kinta, Majlis Belia Felda Wilayah Trolak, Junior Chamber International (JCI) Kinta dan Encik Ganeswaran a/l Karpusmy selaku Alumni FELO Perdana.
Perpaduan dan intergrasi antara kaum adalah antara cadangan dan idea yang ditekankan dalam pemilihan pelaksanaan aktiviti yang bakal dilaksanakan demi memastikan setiap belia di negeri Perak mendapat manfaat dan peluang yang sama seiring dan bertepatan dengan rukun Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan .
MESYUARAT MAJLIS BERSAMA JABATAN BIL. 1 / 2024 JABATAN BELIA DAN SUKAN NEGERI PERAK
IPOH, 4 April 2024 - Majlis bersama jabatan (MBJ) ialah sebuah medium dua hala, di mana pihak pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan pihak pengurusan dalam menyuarakan pendapat, pandangan dan serta menyumbangkan idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi.
Beberapa dapatan untuk pembangunan skim dan organisasi telah diperolehi melalui mesyuarat tersebut. Dapatan-dapatan ini akan disalurkan kepada pihak pengurusan JBSN untuk penilaian dan tindakan sewajarnya.
SESI TEMU MESRA SECARA VIRTUAL PENGARAH JABATAN BELIA DAN SUKAN NEGERI PERAK BERSAMA-SAMA PEMIIMPIN BELIA NEGERI PERAK
2 April 2024, IPOH – YBrs. Puan Nor Azah bin Ahmad Dahalan, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah bertemu mesra secara virtual besama-sama pemimpin belia Negeri daripada Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Perak sesi 2023-2024, Alumni Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Perak sesi 2023-2024, Alumni Perserta Kapal Layar Di-Raja Tunas Samudera dari Negeri Perak dan Alumni Felo Perdana / Felo Korporat sesi 2021-2023 dari Negeri Perak.
Inisiatif ini diadakan untuk mengumpul semula pemimpin belia yang telah menyertai program-program anjuran Kementerian Belia dan Sukan dan melibatkan diri secara aktif dalam program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak untuk masa hadapan. Selain itu, pemimpin belia yang hadir turut memberi idea dan pandangan yang bernas kepada pentadbiran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak dalam sama-sama melaksanakan program-program pembangunan belia setempat mengikut kesesuaian dan minat.
Pemimpin belia yang hadir secara virtual ini juga turut dijemput untuk terlibat secara langsung sempena Karnival Sambutan Hari Belia Negara (HBN) dan Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) Negeri Perak yang bakal diadakan pada 18 dan 19 Mei 2024 (Sabtu dan Ahad) bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak dengan hadir sebagai peserta, urusetia, petugas atau penganjur bagi memeriahkan temasya yang diadakan bagi meraikan golongan belia sebagai pemimpin masa hadapan.