POST-MORTEM PROGRAM KAPAL LAYAR DIRAJA (KLD) TUNAS SAMUDERA VOYAGE 472/24
IPOH, 1 Julai 2024 - Sesi post-mortem bagi Program Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera Voyage 472/24 telah diadakan pada 1 Julai 2024, bertempat di Bilik Seminar, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak. Program ini telah berjaya melengkapkan pelayaran 10 hari yang melibatkan seramai 23 orang belia dari seluruh negara.
Para peserta yang terdiri daripada golongan belia ini telah memulakan pelayaran mereka dari Lumut ke Langkawi bersama-sama dengan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Mereka telah berjaya menamatkan cabaran tersebut dengan jayanya, menunjukkan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi sepanjang pelayaran tersebut.
Sesi post-mortem ini turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Puan Nor Azah Binti Ahmad Dahalan, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak. Dalam ucapan beliau, Puan Nor Azah telah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta KLD Tunas Samudera atas kejayaan mereka menamatkan cabaran pelayaran selama 10 hari ini.
"Pencapaian ini adalah satu bukti bahawa belia kita mampu menghadapi cabaran dan mempamerkan semangat juang yang tinggi. Saya berharap agar para peserta KLD Tunas Samudera akan terus berbakti kepada pembangunan belia melalui program-program sedia ada ataupun program-program yang dianjurkan oleh para alumni program ini," kata Puan Nor Azah.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak TLDM atas kerjasama erat dalam menjayakan pelaksanaan program ini.
Program KLD Tunas Samudera ini bukan sahaja bertujuan untuk membentuk sahsiah dan kepimpinan dalam kalangan belia, tetapi juga untuk memupuk semangat patriotisme dan cinta akan negara. Dengan kejayaan pelayaran kali ini, diharapkan lebih ramai belia akan turut serta dalam program-program seumpamanya pada masa akan datang.
#KLDTunasSamudera
#JBSNPerak
#YakinBoleh
#MalaysiaMADANI
- JBS Perak
- Hits: 149
