KUANTAN, 6 Januari - Seramai 40 orang peserta lelaki dan perempuan telah berjaya menamatkan Program Kemahiran Latihan Asas (KLAS): Renang Kanak-Kanak B40 Fasa 3/2025 Negeri Pahang (Siri 3) yang berlangsung di RNJ Swimming Academy, Jalan Haji Ahmad, Kuantan selama 2 hari bermula 3-4 Januari 2026.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kemahiran asas renang serta meningkatkan keselamatan dan keyakinan di air kepada kanak-kanak daripada golongan B40 dengan penyertaan kali ini bukan hanya dari Daerah Kuantan, malahan juga dari Daerah Pekan dan Maran.
KUANTAN, 4 Januari – Program Gunting Rambut Percuma sempena persediaan sesi persekolahan 2026 yang digerakkan oleh Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dengan kerjasama Kelab Belia Telok Baru telah berlangsung dengan jayanya serta menerima sambutan amat menggalakkan daripada komuniti setempat.
Bertempat di Balairaya Tanjung Lumpur, program ini berjaya menarik kehadiran lebih 100 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Tanjung Lumpur dan sekitarnya yang hadir seawal jam 8.00 pagi bagi mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma, sekali gus membantu meringankan beban ibu bapa menjelang pembukaan sesi persekolahan.
Kehadiran Haji Fadzilah Mohamed Tahir wakil Penyelaras DUN Tanjung Lumpur turut menyerlahkan sokongan berterusan Kerajaan Negeri Pahang terhadap inisiatif kebajikan rakyat yang dilaksanakan secara turun padang bersama komuniti akar umbi.
Program ini turut memperlihatkan penglibatan aktif golongan dan persatuan belia sebagai sukarelawan, sekali gus mencerminkan semangat kesukarelawanan, keprihatinan sosial serta komitmen belia dalam menyantuni masyarakat setempat. Maklum balas daripada ibu bapa dan peserta adalah amat positif, dengan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang.
Secara keseluruhannya, penganjuran program ini membuktikan bahawa kolaborasi kukuh antara JBS Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, pertubuhan belia dan komuniti setempat mampu memberi impak langsung yang bermakna kepada kesejahteraan rakyat.
BENTONG, 31 Disember - Program Rakan Prihatin : Mobilisasi SATRIA Peringkat Daerah Bentong anjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bentong, Persatuan Belia (MBFM) Felda Chemomoi dan Kelab Belia Chegar Medang menjadi program terakhir sebagai penutup tahun 2025.
Program Mobilisasi SATRIA Siri 1 memberi penekanan kepada aktiviti membaik pulih gelanggang sepak takraw dan plogging pada 27 Disember lalu di Kampung Chegar Medang.
Program Mobilisasi SATRIA Siri 2 pula memberi penekanan kepada aktiviti gotong-royong pada 31 Disember di Balai Raya Felda Chemomoi dan Pusat Literasi Felda Chemomoi.
Program ini berjaya direalisasikan dengan jaya yang memberi impak positif ke arah pembangunan belia yang cemerlang. Semoga pelaksanaannya memberikan nilai-nilai positif dalam diri peserta melalui pemupukan gaya hidup sihat dan elemen kesukarelawanan.
JERANTUT, 31 Disember – Bengkel Pemantapan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) Daerah Jerantut, 2025 telah berjaya dilaksanakan pada 30 Disember yang lalu di Dewan Rest House Jerantut dengan matlamat memperkukuhkan pengurusan data dan tadbir urus persatuan belia di daerah ini.
Bengkel ini memberi penekanan kepada MYKD, iaitu pengurusan data dan maklumat organisasi belia yang diwajibkan bagi memastikan rekod persatuan sentiasa dikemaskini, sah dan telus selaras dengan keperluan pendaftaran pertubuhan belia.
Bengkel anjuran Majlis Belia Daerah Jerantut ini dilaksanakan dengan rakan strategik iaitu Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jerantut, Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Jerantut, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Jerantut, Young Malaysia Movement (YMM) Cawangan Jerantut dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Jerantut.
Pengisian bengkel telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Puan Hasliza Mohd Zin, Pegawai Pendaftar Kanan, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Timur yang berkongsi panduan praktikal serta penjelasan terperinci berkaitan pengurusan dan pengemaskinian MYKD. Majlis Perasmian telah dirasmikan oleh Encik Mohd Hafizul Hamid, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jerantut yang menyentuh tentang kepentingan persatuan belia mematuhi keperluan MYKD sebagai asas kepada tadbir urus yang baik dan berintegriti.
MARAN, 31 Disember – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Maran telah menganjurkan Majlis Jasamu Dikenang bagi menghargai Encik Saiful Nizam Mohd Ali pada 26 Disember yang lalu. Beliau akan memulakan tugas baru di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Selangor bermula 29 Disember ini. Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan penghargaan ini diadakan sebagai tanda terima kasih atas komitmen, khidmat bakti serta sumbangan beliau sepanjang berkhidmat di PBSD Maran.
Encik Imran Isnin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Maran merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Encik Saiful Nizam atas tenaga, perkongsian idea serta kerjasama yang telah diberikan, selain mendoakan kejayaan dan kecemerlangan beliau di tempat baharu . Seluruh warga kerja PBSD Maran turut merasa kehilangan seorang kawan sekerja yang baik dan berdedikasi.
Semoga pengalaman dan ilmu yang dimiliki terus memberi manfaat serta menyumbang kepada pembangunan belia dan sukan negara.
JERANTUT, 30 Disember – Program Senaman Warga Emas Aktif Siri 10 Peringkat Daerah Jerantut telah berlangsung dengan jayanya pada 29 Disember yang lalu, di Kompleks Sukan Jerantut bermula jam 8.00 pagi, sekaligus menjadi siri terakhir bagi tahun 2025.
Program ini yang merupakan anjuran bersama Dieva Aerodance Club, berjaya menarik penyertaan seramai 95 orang warga emas dari pelbagai agensi dan komuniti setempat. Antara agensi yang terlibat ialah Klinik Kesihatan Bandar Jerantut, Pusat Aktiviti Warga Emas Daerah Jerantut, Puspanita Daerah Jerantut serta Pesara Angkatan Tentera Malaysia. Selain aktiviti senaman berkumpulan yang bertenaga dan menyeronokkan, program ini turut memberi penekanan kepada aspek kesihatan, kecergasan fizikal serta kesejahteraan warga emas, selaras dengan usaha menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan golongan berusia.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasakan warga emas agar kekal aktif, sihat dan berdaya saing dalam komuniti, dan menutup tirai aktiviti kecergasan tahun 2025 dengan penuh bermakna.
Raub, Pahang – 6 Disember 2025 – Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKMB) peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Felda Lembah Klau, Raub memasuki hari kedua dengan pelbagai aktiviti menarik dan penyertaan aktif daripada belia tempatan.
Hari kedua bertemakan “Rakan Prihatin: Semarak Siswa Pahang”, menekankan penglibatan belia dalam aktiviti sosial dan kesukarelawanan di kawasan sekolah, institusi pendidikan khas, serta komuniti setempat.
Antara lokasi dan aktiviti utama pada hari ini termasuk:
- SK Felda Lembah Klau – Aktiviti gotong-royong dan khidmat masyarakat bersama pelajar. - PPDK (Pusat Pendidikan Dalam Komuniti) – Program interaktif dan aktiviti sokongan untuk pelajar berkeperluan khas. - Gelanggang Futsal – Pertandingan futsal santai yang memupuk semangat kerjasama dan kesukanan dalam kalangan belia. - TBK Kemas – Bengkel kemahiran dan pendedahan mengenai kepentingan pendidikan luar bilik darjah. - Pejabat Literasi – Aktiviti literasi dan kesedaran membaca bagi kanak-kanak dan belia.
Kesemua aktiviti disertai dengan semangat tinggi oleh para sukarelawan dan pegawai belia, di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, yang terus menekankan kepentingan penglibatan belia dalam pembangunan sosial negeri.
Peserta mempamerkan komitmen tinggi dalam menjayakan misi kesukarelawanan sambil mengukuhkan jaringan persahabatan dan kerjasama antara komuniti. Semangat “JBS Pahang, Number One” jelas terserlah sepanjang program.
Hari kedua HKMB 2025 turut menjadi platform untuk belia menunjukkan bakat, kreativiti, dan tanggungjawab sosial mereka, sejajar dengan visi Negeri Pahang untuk melahirkan generasi muda yang prihatin dan berdedikasi.
RAUB, 6 Disember - Majlis Perasmian Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Negeri Pahang 2025 telah berlangsung dengan penuh semangat dan dihadiri oleh sukarelawan seluruh daerah dalam sambutan pagi tadi.
YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang telah merasmikan majlis tersebut di Dewan Orang Ramai Felda Lembah Klau. Turut hadir Encik Nor Azli Mohamad Daud, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang dan Saudara Shaharuddin Ahmad, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang.
- Penyerahan Vest Sukarelawan Belia Pahang 1st - Penyerahan Sijil Penyertaan Rakan Strategik - Penyerahan Peralatan Sukan SK Felda Lembah Klau - Penyerahan Peralatan Sukan Persatuan Belia Felda Lembah Klau - Pelepasan Bantuan Pasca Bencana Sukarelawan Belia Pahang 1st “JBS PAHANG, Number One”
RAUB, PAHANG – Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) 2025 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Felda Lembah Klau, Raub diteruskan pada hari kedua dengan aktiviti berteraskan kesihatan, kecergasan dan semangat kebersamaan dalam kalangan belia dan sukarelawan.
Antara pengisian utama ialah Mega Chair Aerobics yang berjaya menarik penyertaan ramai peserta dalam suasana penuh ceria dan bertenaga. Aktiviti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat selari dengan aspirasi pembangunan belia holistik.
Program diteruskan dengan Briskwalk sejauh 5 kilometer sekitar kawasan program yang menjadi simbol kesatuan, disiplin serta komitmen belia terhadap amalan hidup sihat dan aktif. Penyertaan menyeluruh daripada pelbagai lapisan belia jelas mencerminkan sokongan padu terhadap agenda kesukarelawanan dan kesejahteraan komuniti.
Keseluruhan pengisian hari kedua memperlihatkan kejayaan penganjuran yang terancang dan berimpak tinggi hasil komitmen berterusan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (JBS Pahang) dalam memperkasa belia negeri ini.