PASIR MAS, 25 SEPTEMBER 2023 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Pasir Mas telah menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Liga Sukan Komuniti (LSK) pada 9 September 2023 (Sabtu) bertempat di Dewan Tertutup Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kiambang, Pasir Mas.
Kejohanan ini telah melibatkan 8 pasukan terdiri daripada komuniti dan masyarakat di Daerah Pasir Mas khususnya. Persaingan sengit antara pasukan yang bertanding telah mempamerkan pelbagai gaya dan aksi sepanjang kejohanan ini berlangsung.
Persembahan mantap yang dipamerkan oleh pasukan Black Wing telah menumpaskan Pasukan GSPD disaat akhir perlawanan, sekaligus mengangkat pasukan ini untuk dinobatkan sebagai Juara Kejohanan Bola Jaring LSK Peringkat Daerah Pasir Mas dengan keputusan mata 12-8.
Kejohanan Bola Jaring LSK Peringkat Daerah Pasir Mas telah berakhir dengan keputusan rasmi, Pasukan Black Wing sebagai Johan telah membawa pulang hadiah wang tunai RM 500.00, medal serta sijil pencapaian manakala Naib Johan Pasukan DSPD, menerima wang tunai RM 300.00, medal dan sijil pencapaian. Tempat ketiga telah dimenangi oleh Pasukan Power Girl telah membawa pulang RM 200.00, medal dan sijil pencapaian. Johan dan Naib Johan akan mewakili Daerah Pasir Mas ke Peringkat Negeri yang akan diadakan pada 23 September 2023 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh YBrs. Encik Aris bin Awang, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas. Semua kakitangan PBSD Pasir Mas turut hadir sepanjang kejohanan ini berlangsung. Pihak PBSD Pasir Mas mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Kejohanan Bola Jaring (LSK) Peringkat Daerah Pasir Mas.
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas
- JBS Kelantan
- Hits: 183
