PONTIAN, 24 Ogos 2020 - Mesyuarat Penyelarasan Program Belia XTIF Johor Daerah Pontian oleh MBD Pontian dan Sukarelawan Pontian. Mesyuarat dipengerusikan oleh En Iskandar Selamat, YDP MBD Pontian bermula jam 9.30 malam hingga 12.00 tengah malam. Segala tugasan telah diagihkan dan perancangan persiapan telah dihalusi. Program Belia XTIF ini dijangka pada 31 Ogos, di Dataran Pontian, bermula jam 7.00 pagi hingga 11.00 pagi.
Di antara aktiviti yang telah dirancang ialah Poco2 Santai, Konvoi Motosikal dan juga basikal, gotong royong membersihkan pantai di Dataran Pontian hingga ke Dataran Laman DiRaja, serta Cabutan Nombor Bertuah.Pelepasan konvoi dijangka akan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pontian dan diringi Ketua-ketua Jabatan serta Agensi yang hadir sama.
Johor Bahru, 24 Ogos 2020 - Kunjungan Hormat oleh Encik Suffian bin Mohd Fabilah, Pengarah Kolej Komuniti Tanjung Piai, Pontian dan Tuan Haji Jasni bin Omar, Pegawai Pendidikan Daerah Pontian ke atas En. Shamsuhaime Bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Tujuan perjumpaan ini adalah bagi membincangkan hala tuju Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda khasnya melibatkan pejlajar-pelajar di Kolej Komuniti Tanjung Piai dan Sekolah-Sekolah diseluruh Daerah Pontian.
Tangkak, 23 Ogos 2020 – Kejuaraan Petronas Cubprix Pusingan Kedua telah berlangsung dengan jayanya mengikut SOP dan norma baharu dan telah dirasmikan oleh Tuan Haji Shafiei bin Ahamad, Pegawai Daerah Tangkak di Tangkak Racing Track. Turut hadir bersama adalah Ketua Polis Daerah Tangkak Mohd Fadhil bin Minhat dan Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Johor Encik Shamsuhaime bin Basir. 7 kategori perlumbaan dipertandingkan iaitu Wira KBS, CP125, CP150, Aeon Credit Service Challenge, Yamaha NVX Challenge, Honda Dash 125 Challenge dan PETRONAS Sprinta Pro-Am.
Batu Pahat, 20 Ogos 2020 - Telah diadakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Jrobik Negeri Johor di Wisma Sejarah, Batu Pahat.
Majlis ini dirasmikan oleh Puan Nur Amalina binti Holidi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Batu Pahat dan turut dihadiri Encik Remiezan Effendie Ibrahim, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Batu Pahat.
Jrobik merupakan salah satu gabungan kecergasan dan warisan negeri Johor yang memberikan manfaat daripada segi perpaduan dan amalan gaya hidup sihat.
Mesyuarat ini disertai ahli jawatankuasa tertinggi daripada semua daerah seluruh negeri Johor termasuk Batu Pahat, Johor Bahru, Kulai dan juga Segamat.
Program gabungan kecergasan dan kesenian ini diterapkan dalam semua lapisan umur dan kaum bagi menyemarakkan lagi tradisi warisan negeri Johor yang diselitkan dalam Jrobik seperti Zapin, Silat Sendeng, Taichi dan Silambam.
PONTIAN, 19 Ogos 2020 - Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Pontian bagi tahun 1442H/ 2020M telah diadakan di Masjid Jamek Pulai Sebatang, Pontian. Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini bertemakan “Ummah Rabani Negara Harmoni”.
Perutusan Maal Hijrah telah disampaikan oleh Y.Bhg Tuan Haji Zulkifli Haji Mohd Tahir, Pegawai Daerah Pontian. Tazkirah Maal Hijrah telah disampaikan oleh Y.Bhg Assyeikh Tuan Haji Mohd Nasri Rahman, Kadi Daerah Pontian. Turut hadir sama, Y.Bhg Tuan Mohd Fahmy Yahya, Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Y.Bhg Tuan Nur Syazlan Abd Razak, YDP Majlis Daerah Pontian dan ketua-ketua Jabatan Daerah Pontian.
PONTIAN, 19 Ogos 2020 - Menerima kunjungan wakil Persatuan Mahasiswa Anak Pontian yang terdiri daripada Saudara Muhammad Zairie Daniel Bin Mad Zainizen, Saudara Muhammad Syafiq Bin Roslan dan Saudari Iszanazura Binti Jumaat.
Tujuannya bagi mendapatkan nasihat dan pandangan pelaksanaan program yang bakal dilaksanakan oleh pihak Persatuan iaitu dengan tema "Sayangi Pontian". Ianya dirancang akan dilaksanakan pada 5 September 2020 di Tambak Pontian.
Wakil Persatuan tersebut telah berjumpa dengan En. Sidek Md Said, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pontian. Harapan En. Sidek agar program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kluang, 19 Ogos 2020 - Telah diadakan satu lawatan tapak dari Unit Audit Dalam KBS ke Kompleks Mini Stadium Kluang untuk meninjau kerja-kerja yang telah dilaksanakan selepas daripada teguran audit tempoh hari.
Turut hadir pada lawatan tapak ini, Puan Hidayah binti A.Aziz dari Bahagian Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Puan Azura binti Shawal Penolong. Jurutera Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan pihak konsultan untuk projek ini.
JOHOR BAHRU, 16 OGOS 2020 – Iskandar Investment Berhad telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kementerian Belia danSukan yang diketuai oleh YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan.Delegasi tersebu tturut disertai YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Encik Ahmad Faedzal bin Md Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Encik Mohd Azhari bin Mohammad, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara dan Encik Khairul Adri bin Dato’ Rosli, Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Sesi lawatan tersebut telah dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Khairil Anwar Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad dan Encik Wan Ahmad Saifuddin bin Wan Ahmad Radzi, Pengarah Urusan Educity Iskandar Malaysia Sdn. Bhd. yang telah memberi penerangan terperinci berkaitan pembangunan prasarana sukan dan inisiatif kecemerlangan sukan dan belia dimana Iskandar Investment Berhad dalam usaha menjadikan Iskandar Malaysia sebagai destinasi sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sepanjang tempoh lawatan tersebut, YB Menteri Belia dan Sukan dibawa melawat ke Studio Iskandar Malaysia dan sekitar Kompleks Sukan Educity yang merangkumi stadium, arena akuatik dan indoor stadium.
JOHOR BAHRU, 15 Ogos 2020 - Majlis penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2020 telah diadakan di Exhibition Hall 101 Persada Johor Bahru, Johor.
Majlis yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor. Turut hadir Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Encik Jufitri bin Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia, Haji Md Salleheen bin Mohamad, Presiden Majlis Belia Negeri Johor dan Encik Mohd Syahbuddin bin Hashim, Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia.
Persatuan Belia Sekawan telah dinobatkan sebagai Johan Kategori Pertubuhan Belia, manakala Gerakan Belia 4B Malaysia Cawangan Era Jaya Senggarang dinobatkan sebagai Naib Johan.
Bagi Kategori Individu Lelaki Encik Mohd Firdaus bin Zainal Abidin dinobatkan sebagai Johan, manakala Muhammad Mustaqim bin Hassan dinobatkan sebagai Naib Johan.
Bagi Kategori Individu Wanita pula, Cik Norhidayu binti Md Toha telah dinobatkan sebagai Johan, manakala Suria binti Sipon dinobatkan sebagai Naib Johan.
Majlis penganugerahan ini dianjurkan bertujuan mengiktiraf sumbangan individu dan pertubuhan belia dalam pembangunan belia di Negeri Johor.
Dalam majlis tersebut turut diadakan Anugerah Jasa Bakti Majlis Belia Negeri Johor kepada mantan-mantan jawatankuasa Majlis Belia Negeri Johor yang telah menabur jasa dan bakti kepada belia-belia Negeri Johor khususnya.
Jabatan ini merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua calon dan penerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2020.