TRONOH, PERAK, 4 SEPTEMBER 2024 - Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan Pengurusan Tertinggi Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah menyampaikan Sumbangan Kebajikan kepada Pn. Aynes a/p Uda Mat di atas kehilangan Ayahanda tercinta pada 23 Ogos 2024 yang lalu. Beliau merupakan pekerja kebersihan di APBM Batu Gajah. Semoga Pn. Aynes a/p Uda Mat tabah menghadapi kehilangan ini.
TRONOH, PERAK, 28 OGOS 2024 - Cawangan Pengembangan Inovasi Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah menganjurkan Kursus Usahawan Kreatif Ai Tech / Canva & Website For Biz bermula pada 26-28 Ogos 2024 bertempat di APBM Batu Gajah, Perak.
Objektif kursus adalah dapat mempelajari dan memberi kefahaman tentang teknik-teknik yang lebih kreatif dalam menghasilkan foto yang menarik melalui aplikasi canva mengikut trend terkini seterusnya memberi pendedahan kepada usahawan belia mengenai kepentingan pemasaran digital dan keusahawanan kreatif dan berinovasi. Selain itu, dapat menarik minat usahawan belia dan meningkat kemahiran membangunkan website yang menarik bagi menyemarakkan lagi dunia keusahawanan. Tenaga pengajar bagi kursus ini disampaikan oleh Syawal Hafifi bin Abu Hassan, Mohd Zullutfi bin Abd Razak, Mohd Akmal bin Ilham dan Shahila bt Hakim dari EVOING CENTRE.
Majlis perasmian penutup Kursus Usahawan Kreatif Ai Tech / Canva & Website For Biz telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah. Hadir bersama adalah En. Tines Kumar a/l M Lingam Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah. APBM Batu Gajah mengucapkan terima kasih dan semoga berjumpa lagi. Selamat maju jaya.
GERIK, PERAK, 25 OGOS 2024 - Bahagian Pengurusan Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah mengadakan Program Pemantapan Organisasi : X-Plorasi Minda Vs Jiwa 2024 bertempat di Tasik Temenggor, Pulau Banding pada 23-25 Ogos 2024. Semua pegawai dan kakitangan APBM Batu Gajah turut terlibat dalam menjayakan program ini.
Objektif perdana program adalah untuk memantapkan fizikal dan mental serta tenaga kerja bagi memantapkan gerak kerja berpasukan dalam organisasi antara Tuan Pengarah bersama pegawai dan kakitangan di bawah seliaannya. Semua kakitangan yang terlibat dapat mengaplikasikan tingkah laku yang lebih baik untuk meningkatkan prestasi dan hasil kerja yang berkualiti. Mengaplikasikan tugas secara profesional, beretika, berintegriti dalam satu pasukan berlandaskan nilai-nilai murni. Secara tidak langsung dapat mempertingkatkan profesionalisme kerjaya dalam kalangan warga kerja APBMBG. Seterusnya meningkatkan kemahiran berfikir pada aras tinggi dalam menganalis masalah untuk membuat keputusan yang jitu bagi penambahbaikan yang berterusan serta meningkatkan daya ketahanan dan kekuatan individu dari aspek fizikal, mental, emosi, rohani dan sosial.
Dengan adanya program ini, diharapkan semua warga APBM Batu Gajah, Perak dapat membina semangat juang yang tinggi dan sentiasa bersedia menyumbangkan masa dan tenaga sepenuhnya kepada diri, keluarga, masyarakat dan bangsa. Di samping itu, program ini juga dapat membina keyakinan diri untuk menghadapi cabaran semasa. Program ini juga dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan dalam membentuk jati diri warga APBMBG seterusnya membantu merealisasikan misi dan visi jabatan.
Antara pengisian program adalah mengadakan kunjungan beserta sedikit sumbangan berupa makanan dan pakaian ke Kampung Orang Asli Kelewang yang didiami Suku Jahai. Pengarah APBM Batu Gajah telah berkongsi maklumat tentang program-program di bawah Kementerian Belia dan Sukan khususnya APBM Batu Gajah kepada penduduk kampung orang asli serta pelancong dari Kuala Lumpur yang terdiri daripada golongan belia. Selain itu, beberapa aktiviti khas diadakan untuk memperkasa sekali gus memantapkan minda serta jiwa pegawai dan kakitangan APBM Batu Gajah.
Tahniah diucapkan kepada barisan urusetia yang bertungkus lumus untuk menjayakan program ini. Penyertaan serta sokongan pegawai dan kakitangan juga amat memberansangkan. Terima kasih semua. Turut bersama adalah Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan Pengarah APBM Batu Gajah.
TRONOH, PERAK, 22 OGOS 2024 - Cawangan Pembangunan Data Dan Promosi Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Tapah telah menganjurkan Program Biz Talk 2.0 Usahawan Sosial @IPTA bertajuk "Belia Hari Ini...Usahawan Hari Esok" bertempat di Auditorium APBM Batu Gajah.
Antara yang menyertai Program Biz Talk 2.0 Usahawan Sosial @IPTA ini adalah pelajar daripada IKBN Seri Iskandar, Politeknik UNGKU Omar, Politeknik Sultan Azlan Shah, Politeknik Bagan Datok, Kolej Komuniti Chenderoh, Kolej Komuniti Gerik, Kolej Komuniti Sungai Siput, Kolej Komuniti Pasir Salak, Kolej Komuniti Teluk Intan, Kolej Komuniti Taiping, Kolej Komuniti Bagan Serai, Kolej Komuniti Bagan Datuk, Kolej Komuniti Batu Gajah, Kolej Komuniti Kuala Kangsar, Kolej Komuniti Gopeng, Kolej Komuniti Manjung, dan Kolej Komuniti Tapah. Objektif Program Biz Talk ini adalah untuk memberi pendedahan dan motivasi kepada belia di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam memahami konsep asas keusahawanan sosial dan kelebihan menceburi bidang perniagaan pada masa kini.
Slot pertama "Design Thingking For SE Ideation" disampaikan oleh Puan Zamzana binti Mohd Arifin merupakan pengasas bersama PantangPlus.com sejak 2016 dan Pengerusi Persatuan Usahawan Inklusif Malaysia sejak 2022. Manakala slot kedua pula adalah Keusahawanan Sosial Dalam Penjagaan Warga telah disampaikan oleh Puan Sarina binti Mokhtar pula adalah seorang perintis dan pemegang saham Sunshine Qualicare Sdn. Bhd serta menceburkan diri dalam bidang Penjagaan Warga Emas selama 9 tahun.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan Pengarah APBM Batu Gajah. Turut hadir adalah En Tines Kumar a/l M Lingam Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah serta En. Ahmad Nashad bin Zakaria Pengarah Kolej Komuniti Tapah merangkap Pengarah Keusahawanan Zon Perak.
PENGKALAN CHEPA, KELANTAN, 17 OGOS 2024 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Genta Belia Keusahawanan 2024 Peringkat Zon Timur bertempat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Pengkalan Chepa.
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan inisiatif pemerkasaan ekonomi sedia ada kerajaan, agensi, NGO, swasta serta individu yang berjaya dalam bidang tersebut, ia juga mensasarkan penyertaan belia selari dengan inisiatif kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan.
Barisan panel bagi Slot Latihan Pembangunan Kapasiti Dari Idea Ke Realiti adalah Pn Junaidah binti Abdul Aziz Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), YM Engku Mohd Hairulnizam bin Tuan Ahmad Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Pn Fara Sarina binti Zamari (JL FARA) serta Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan Pengarah Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak.
Antara agensi yang menyertai pameran ini adalah Tekun Nasional, Amanah Rakyat (MARA), PERKESO, SME CORP MALAYSIA, YPU Terengganu dan sebagainya. APBM Batu Gajah, Perak turut dijemput untuk mengadakan reruai bagi memberi pendedahan serta menyebarluaskan maklumat berkenaan peranan dan fungsi APBM Batu Gajah dalam pembangunan belia khususnya dalam bidang perniagaan atau keusahawanan.
TRONOH, PERAK, 16 OGOS 2024 – Unit Bina Insan Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah menganjurkan Majlis Bacaan Yassin serta Kuliah Dhuha Siri 4 yang bertajuk Integriti Cerminan Insan telah disampaikan oleh Ustaz Anwar Bin Ahmad Fauzi, Penyelaras Pentadbiran Majlis Daerah Mualim Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Majlis yang berlangsung di Surau At-Taqwa APBM Batu Gajah ini telah dihadiri oleh pegawai dan kakitangan APBM Batu Gajah, pekerja landskap, kebersihan dan keselamatan serta jemputan khas pelajar daripada IKBN Seri Iskandar bersama pegawai pengiring. Jumlah keseluruhan penyertaan adalah 42 orang.
Antara objektif majlis kerohanian ini adalah sebagai asas dalam memupuk dan membudayakan nilai-nilai integriti dan komitmen penjawat awam berkenaan aspek pembudayaan integriti dalam organisasi serta dapat meningkatkan nilai kerja cemerlang dan pengurusan sahsiah kendiri. Selain itu, dapat membentuk pemikiran yang positif, seterusnya merapatkan silaturrahim serta menjalinkan ukhwah antara pegawai dan warga kerja APBM Batu Gajah.
APBM Batu Gajah mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat. Semoga majlis seperti ini menjadi amalan dan diteruskan lagi pada masa akan datang serta secara tidak langsung dapat mengimarahkan lagi Surau At-Taqwa APBM Batu Gajah.
TRONOH, PERAK, 15 OGOS 2024 – Cawangan Penyelarasan dan Strategik, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah menganjurkan program Webinar Keusahawanan @APBMBG 2024 Siri 5 – Pembudayaan Keusahawanan Sosial.
Program ini telah berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom Meeting dan Facebook Live Akademi Pembangunan Belia Malaysia. Sijil penyertaan kepada peserta juga turut disediakan. Perusahaan Sosial adalah entiti yang berdaftar di bawah undang-undang bertulis di Malaysia, didorong oleh matlamat sosial dan mempunyai model perniagaan yang berdaya maju dari segi kewangan bagi menangani cabaran sosial atau alam sekitar, serta bertujuan untuk menghasilkan impak yang positif kepada penerima manfaat dan ekonomi. Sesi Perkongsian ilmu ini telah disampaikan oleh Puan Junaida binti Abdul Aziz daripada Noble Ventures.
APBM Batu Gajah mengucapkan ribuan terima kasih kepada penceramah juga kepada peserta yang telah menjayakan program ini. Semoga dengan perkongsian yang diberikan dapat memberi manfaat kepada peserta dan masyarakat di luar sana.
TRONOH, PERAK, 7 OGOS 2024 – Biro Kerohanian Kelab Keluarga dan Rekreasi Akademi Pembangunan Belia Malaysia Batu Gajah (Kelab Keluarga APBM) telah mengadakan Program Jom Kacau Bubur Asyura bertempat di perkarangan garaj kenderaan APBM Batu Gajah.
Program bermula seawal jam 8.30 pagi ini dengan aktiviti ‘rewang’ melibatkan penyertaan kakitangan APBM Batu Gajah serta pekerja pembersihan dan landskap. Kemudian aktiviti mengacau bubur asyura diteruskan dan disusuli dengan pengagihan bubur asyura untuk warga kerja APBM Batu Gajah.
Program seperti ini dapat mengeratkan lagi silaturahim dan memupuk kerjasama yang erat serta semangat bermuafakat di kalangan warga kerja APBM Batu Gajah. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan Program Jom Kacau Bubur Asyura.
Please Like & Share Follow kami untuk mendapatkan maklumat terkini:
TRONOH, PERAK, 6 OGOS 2024 – Kolej Komuniti Tapah telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa dan Lawatan Tapak Program Bizz Startup PolyCC 2024 Bil 2/2024 bersama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan pihak Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman APBM Batu Gajah.
Mesyuarat dipengerusikan oleh En. Ahmad Nashad bin Zakaria, Pengarah Kolej Komuniti Tapah merangkap Pengarah Keusahawanan Zon Perak. Hadir bersama adalah En. Wan Muhammad bin Wan Mohd Isa, Penolong Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP). Intipati mesyuarat adalah membincangkan jalinan kerjasama yang boleh dibentuk dalam melaksanakan Program Keusahawanan Bizz Startup PolyCC Zon Perak. Program ini dilaksanakan selaras dengan hasrat pencapaian KPI keusahawanan bagi tahun 2024 dalam membantu para pelajar menjalankan perniagaan dengan lebih berkesan. Lawatan dan mesyuarat ini juga turut disertai oleh Ketua Unit Keusahawanan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Perak selaku jawatankuasa pengelola program.
Turut serta dalam Mesyuarat Jawatankuasa dan Lawatan Tapak Program Bizz Startup PolyCC 2024 Bil 2/2024 adalah Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan Pengarah APBM Batu Gajah.