23 Nov - Pej Belia dan Sukan Bhgn Sibu telah menerima lawatan daripada En Bonnie Manau anak Michael Amerikan, Peg Belia dan Sukan Bahagian Mukah dan En Martin Sherman anak Minggu, Peg Belia dan Sukan Bahagian Kapit bagi tujuan pemeriksaan pelupusan aset alih kerajaan di pejabat pada hari ini. Pemeriksaan telah berjalan dengan lancar dan pihak pejabat merakamkan setinggi2 terima kasih atas kerjasama dan komitmen yang telah diberi.
KOTA SAMARAHAN, 17 NOVEMBER 2021 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan telah menganjurkan Kursus Asas Pengacaraan Majlis Peringkat Bahagian Samarahan 2021 bertempat di E’nang Sari, Kota Samarahan dalam suasana sederhana dalam norma baharu memandangkan negara masih dalam tempoh pandemik Covid-19. Kursus yang telah diadakan setengah hari itu telah disertai oleh 21 orang peserta dikalangan para belia dari pelbagai latarbelakang termasuk pelajar universiti, belia berpesatuan, belia dalam pekerjaan dan belia dikampung-kampung. Dalam pada itu, kursus tersebut telah dikendalikan sepenuhnya oleh penceramah yang berpengetahuan luas dalam bidang pengacaraan majlis iaitu En. Hipni Sulaiman yang pernah bertugas sebagai DJ, Juruhebah dan Pengacara Majlis di RTM Sarawak. Dua sesi ceramah telah diadakan iaitu Asas Pengacaraan dan Etika Pengacaraan. Majlis Penutupan telah disempurkan sendiri oleh Puan Fatimah Abd Rahman, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah En. Abu Amir, Pegawai Penyelaras Program, En. Muhammad Naim, Ketua Unit Sukan serta kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan.
MIRI, 8 NOVEMBER 2021 – Dua orang sukarelawan dari Bahagian Miri telah diberi pengiktirafan oleh Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak untuk menerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2021 pada 6 November yang lalu di Hotel Grand Margherita, Kuching.Cik Kamaliah binti Salleh dari Kampung Iran Suai merupakan alumni sukarelawan Mycorps KBS telah mendapat Johan bagi kategori Wanita. Manakala Encik Robson Jok Laeng dari Persatuan Belia Kristian Rhema yang aktif bersukarelawan di Ulu Baram telah mendapat Naib Johan bagi kategori Lelaki. Kedua-dua pemenang membawa pulang sijil, piala dan wang tunai. Majlis disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri mengucapkan tahniah di atas pengiktirafan tersebut dan semoga mereka meneruskan usaha murni mereka membantu komuniti setempat agar menjadi contoh kepada belia lain.
MIRI, 8 NOVEMBER 2021 – Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (Myhumanitarian) telah mengadakan taklimat bersama sukarelawan tempatan di Restoren Muara Miri Waterfront pada 4 November yang lalu. Seramai 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada belia-belia di sekitar daerah Miri telah mendaftar untuk menyertai Program Komuniti Gotong-royong Membina Saluran Air Bersih di Kawasan Pedalaman N77 Telang Usan, Miri Sarawak.Program ini telah bermula pada 30 Oktober 2021 dan dijangka tamat pada 8 Disember 2021. Selain sukarelawan Miri, sukarelawan yang turut disertai oleh belia seluruh Malaysia ini telah dibahagikan mengikut kumpulan berdasarkan lokasi program iaitu di Kg Long Sayan dan Kg Long Latei. Mereka juga akan bergerak ke Kawasan Kampung mengikut jadual yang telah ditetapkan dalam tempoh dua bulan misi ini dijalankan. Setiap sukarelawan telah diberi penerangan berkaitan tugasan dan tanggungjawab serta penekanan yang utama berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan oleh Sekretariat Myhumanitarian, Cik Siti Shazleen Shazali dan Cik Amira.Turut dijemput hadir ke sesi taklimat tersebut ialah Cik Norafizahwati binti Banting dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri.
MIRI, 8 NOVEMBER 2021 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri yang diwakili oleh Encik Rynnille Elsther Peter telah menyampaikan sijil Bengkel Tadbir Urus Pertubuhan Belia Peringkat Negeri Sarawak 2021 kepada beberapa orang ahli Kelab Belia Bestari Bandar Miri pada 27 Oktober yang lalu. Bengkel tersebut dilaksanakan melalui platform zoom webinar oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia Malaysia dengan anjuran Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia Rantau Sarawak pada 18 September 2021. Tujuan bengkel tersebut diadakan untuk memberi pengetahuan kepada pertubuhan belia di negeri Sarawak yang baru mendaftar untuk meningkatkan sistem tadbir urus dan menerangkan pindaan akta belia terkini. Bahagian Miri telah dihadiri oleh Puan Stephanie Wendy anak Stamford dan Puan Magdline Eddie Saga dari Unit Pembangunan Belia, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri beserta beberapa orang ahli kelab belia yang berdaftar di bawah ROY.
MIRI, 8 NOVEMBER 2021 – Persatuan Pickleball Sarawak telah mengadakan Bengkel Sukan Pickleball bersempena Hari Sukan Negara pada 23 Oktober 2021 bertempat di Komplek Tenis Miri. Bengkel Sukan Pickleball merupakan inisiatif Persatuan Pickleball Sarawak yang bertujuan untuk memperkenalkan sukan baru tersebut kepada komuniti setempat. Seramai 30 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dari sekitar daerah Miri telah menyertai bengkel tersebut. Bengkel tersebut dirasmikan oleh Encik Leslie Lau mewakili Yang Berhormat Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Menteri Muda Kementerian Perlancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sarawak merangkap ADUN Piasau. Turut hadir ialah Encik Roley anak Lagir (pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri), Encik Farrell Choo (Presiden Persatuan Pickleball Malaysia) dan Encik Ahmad Rodzli Bin Hashim (Perbadanan Sukan Negeri Sarawak).
MIRI, 8 NOVEMBER 2021 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri yang diwakili oleh Puan Stephanie Wendy Stamford dan Puan Julia Peter Manggu telah membuat lawatan pemantauan petugas Myvac dan pemeriksaan dokumen tuntutan di PPV Beluru dan PPV Long Lama pada 17 Oktober yang lalu.Tujuan lawatan tersebut dibuat adalah untuk memantau sukarelawan Myvac semasa bertugas di kedua-dua PPV tersebut dan juga mendapatkan maklumbalas daripada ketua penyelaras PPV berkenaan perkhidmatan Myvac. Selain itu, pihak pejabat juga turut memeriksa borang tuntutan sukarelawan Myvac agar tidak menjejaskan proses pembayaran elaun mereka.PPV Beluru dan PPV Long Lama adalah antara 7 buah pusat pemberian vaksin awam di Bahagian Miri yang masih meneruskan pemberian suntikan vaksin Covid19.
KOTA SAMARAHAN, 10 NOVEMBER 2021 – Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Encik Lamat Anak Nyalau semalam telah melawat Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Lawatan tersebut bersempena siri lawatan kerja beliau ke pejabat-pejabat belia dan sukan bahagian. Semasa lawatan tersebut, Lamat telah beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan disamping melihat sendiri keadaan pejabat dan mengetahui perkembangan semasa pentadbiran di Bahagian Samarahan disamping mengetahui isu dan masalah pengurusan pejabat dan kedudukan kewangan serta pelaksanaan program-program belia dan sukan di bahagian Samarahan. Beliau juga telah membuat pemeriksaan AP309 ke atas setem pejabat dan memeriksa Myportfolio pegawai dan kakitangan. Disamping itu beliau juga telah menandatangani buku pelawat rasmi serta menerima cenderakenangan dari Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah En. Abu Amir, Ketua Unit Belia, En. Muhammad Naim, Ketua Unit Sukan, Puan Norliati binti Li serta Puan Stella Nakaran, Pembantu Belia dan Sukan.
KUCHING. 06 NOVEMBER 2021 - Majlis Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2021 telah diadakan pada 6 November 2021 bertempat di Hotel Grand Margherita, Kuching, Sarawak. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak yang mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak.Seramai 6 pemenang Anugerah Perdana Belia Negara telah dinobatkan semasa Majlis tersebut iaitu kategori Individu Lelaki, Johan dimenangi oleh Muhammad Zharif bin Azhari dan Naib Johan dimenangi oleh Robson Jok Laeng. Bagi Kategori Individu Wanita, Johan telah dimenangi oleh Kamaliah binti Salleh dan Naib Johan dimenangi oleh Lyona binti Stephen. Manakala kategori Pertubuhan, Johan dimenangi oleh Komuniti Belia Sadong Jaya dan Naib Johan dimenangi oleh Kelab Rakan Muda Bandar Bintulu. Semua pemenang membawa pulang wang tunai, sijil dan piala.Turut hadir ke Majlis tersebut ialah Tuan Lamat anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Puan Nancy binti Jolhi, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak dan Dr. Ong Kong Swee, Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Sarawak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak.