Mukah, 17 Februari 2022 – Perbincangan Youth Development Programme 2022 bersama wakil Sarawak Energy Berhad dengan Encik Mohammad Arbi Bin Rosli, Penolong Pegawai Belia dan Sukan dan Encik Zume Kaiman telah diadakan di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah. Program kerjasama antara Sarawak Energy Berhad dan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah ini akan dilaksanakan pada 5 Mac 2022 hari Sabtu bertempat di Kingwood Resort Mukah, Sarawak. Program ini menyasarkan penglibatan 60 orang belia di sekitar kawasan Bukut, Balingian dan kawasan Mukah yang bertemakan seminar keusahawanan belia menerokai peluang menjana pendapatan melalui platform digital, pembangunan belia celik kewangan dan belia yang bebas daripada najis dadah.
KAPIT, 16 FEBRUARI 2022 - Sukan elektronik atau e-sukan merupakan sebuah sukan yang semakin berkembang maju di negara kita. Penyertaan dalam e-sukan ini melibatkan pelbagai peringkat atau lapisan masyarakat. Kini, e-sukan telah memasuki era profesionalism atau menjadi satu kerjaya yang bukan lagi sebagai aktiviti untuk memenuhi masa lapang. Persatuan Sukan Elektronik Bahagian Kapit atau Kapit Esports Associaton (KESA) merupakan satu-satunya sebuah persatuan e-sukan di bahagian Kapit yang telah berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Encik Douglas Jefferson, Presiden KESA (dari kanan gambar) telah mengadakan perjumpaan bersama pihak pejabat bagi membentangkan program yang akan dilaksanakan di Bahagian Kapit pada tahun ini.
Persatuan telah merancang untuk mengadakan pertandingan e-sukan seperti PUBG Mobile, Mobile Legend Offline Mode dan FIFA yang dijangka akan berlangsung pada 14 Mei 2022 kelak bertempat di Town Square Kapit. Beliau juga menyatakan bahawa persatuan berhasrat untuk mencari atlet pelapis bagi daerah Kapit dalam esukan dalam program ini. Beliau berharap para pemain terutamanya belia-belia di Kapit tidak melepaskan peluang sebegini untuk mempamerkan kehebatan masing-masing.
Sehubungan dengan itu, Encik Juwing Andol (kiri gambar) , Presiden Kelab Belia Gagasan Rajang (Upper Rajang Youth Club, URYC) juga akan bekerjasama dengan KESA untuk menganjurkan Bengkel Esports semasa program itu nanti. Di akhir perjumpaan, pihak persatuan telah menyerahkan kertas kerja program kepada Encik Martin Sherman (tengah), Pegawai Unit Pembangunan Rakan Muda. Pihak pejabat amat mengalu-alukan kerjasama dan inisiatif sebegini daripada persatuan sukan dan kelab belia untuk bersama-sama dengan kementerian dalam melestari serta memperkasakan pembangunan belia dan sukan di peringkat akar umbi.
KUCHING, 16 FEBRUARI 2022 – Selamat datang diucapkan kepada Puan Fatimah Abd Rahman yang telah memulakan tugasnya sebagai Penolong Pengarah Cawangan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak mulai 14 Februari 2022 yang lalu.
Fatimah, telah menerima Nota Serah Tugas di hadapan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, En. Lamat Anak Nyalau dipejabat beliau pada hari tersebut.
Dalam pada itu, Fatimah juga telah mengadakan satu perjumpaan bersama pegawai-pegawai di Cawangan Sukan bagi memulakan tugas pertama beliau di cawangan tersebut.
Terdahulu, Fatimah sebelum ini bertugas di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan sejak 07 Disember 2017 sehingga dipindahkan ke Ibu Pejabat, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
LIMBANG, 16 FEBRUARI 2022 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Limbang telah menerima kunjungan hormat daripada Encik Hj. Musapir Bin Abdullah, Pengurus Tabung Haji Cawangan Limbang. Kunjungannya disambut baik oleh pegawai dan kakitangan Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Limbang.
Kunjungan Encik Musapir adalah bertujuan untuk mengukuhkan jaringan kerjasama dan hubungan erat di antara kedua-dua pihak untuk perkembangan dan pembangunan belia setempat. Di samping itu, Encik Musapir turut berkongsi maklumat dan produk baru yang ditawarkan oleh Tabung Haji untuk kakitangan pejabat.
Mukah, 16 Februari 2022 – Encik Bonnie Manau Anak Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah bersama Encik Mohammad Arbi Bin Rosli dan Encik Zume Kaiman telah mengadakan lawatan ke Kompleks Sukan Komuniti Mukah. Lawatan tersebut bertujuan untuk memeriksa keadaan terkini kompleks di samping untuk memastikan kompleks tersebut dibuka semula kepada para belia di Mukah. Laporan daripada hasil lawatan tersebut akan dihantar ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak seterusnya dipanjangkan ke Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Lawatan pada 15 Februari 2022 diharapkan akan ada tindakan lanjut daripada pihak kementerian untuk menambah baik dan mengaktifkan semula Kompleks Sukan Komuniti Mukah.
KUCHING, 16 FEBRUARI 2022 – Pegawai Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya, Cawangan Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, En. Awangku Adi bin Awangku Bolhassan telah menyertai Bengkel Perancangan Program Pelapis Negeri dan Bakat Para 2022 pada 8-10 Februari yang lalu bertempat MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur
Bengkel anjuran Majlis Sukan Negara yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pegawai baharu dan penggerak yang dilantik oleh Majlis Sukan Negara berkenaan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU). Ia juga turut menekankan supaya setiap penggerak serta pegawai negeri dapat mempergiatkan usaha pencarian bakat baharu dan pelapis negeri masing-masing.
Sehubungan dengan itu, penyelarasan program-program yang dirancang akan diselaraskan bersama Majlis Paralimpik Malaysia, Persatuan Orang Kurang Upaya Negeri serta Jabatan Belia Dan Sukan Negara diharap dapat memperbanyakkan lagi atlet-atlet negeri melalui sukan PARASUKMA dan lebih banyak juara-juara yang dapat lahir di kalangan orang kurang upaya.
KOTA SAMARAHAN, 14 FEBRUARI 2022 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan telah mengadakan Perjumpaan bersama Pegawai dan Kakitangan yang dipimpin oleh Encik Abu Zaid Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Perjumpaan tersebut dilakukan untuk sesi suai kenal dan membincangkan masalah dan perkara - perkara yang ada dalam unit Belia, Sukan, Rakan Muda, Pentadbiran dan Kewangan. Perjumpaan dimulakan dengan perutusan pengerusi. Seterusnya, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan memaklumkan dan memperingatkan pelbagai perkara yang perlu diambil perhatian seperti kad perakam waktu, tuntutan perjalanan dan sebagainya. Di samping itu, program-program yang akan datang juga dibincangkan agar Pejabat akan lebih bersedia dan dapat melaksanakan program dengan lebih baik. Semoga Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya di Bahagian Samarahan. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Encik Abu Bin Amir, Ketua unit Belia dan Rakan Muda, Encik Muhammad Naim Bin Abdul Nasir, Ketua Unit Sukan, Puan Norliati Binti Li, Unit Belia dan Rakan Muda, Encik Mark Leroy Anak Anthony, unit Sukan, dan Puan Sabarina Binti Bohan, Pembantu tadbir.
KOTA SAMARAHAN, 14 FEBRUARI 2022 - Patah tumbuh, hilang berganti. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan mengalu-alukan kehadiran Encik Abu Zaid Bin Abu Bakar dan Encik Mark Leroy Anak Anthony yang akan memulakan tugas secara rasmi di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan pada 14 Februari 2022. Sebelum ini Encik Abu Zaid merupakan Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di Ibu Pejabat dan akan mengambil alih jawatan sebagai Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan yang baharu di sini manakala Encik Mark Leroy sebelum ini bertugas di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman akan mengambil alih jawatan Pembantu Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Kedua - dua pegawai ini mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam Pembangunan Belia dan Sukan ini. Semoga Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan akan menjadi lebih baik dan cemerlang dalam pembangunan Belia dan Sukan serta dapat berganding bahu bersama dalam menjayakan apa jua program yang bakal dilaksanakan kelak.
Mukah, 15 Februari 2022 – Pada 14 Februari 2022, Encik Mohammad Arbi Bin Rosli telah melapor diri di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah. Beliau menggantikan Encik Roger Danny, Penolong Pegawai Belia dan Sukan yang telah berpindah ke Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri. Sebelum ini, beliau telah berkhidmat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei dan diharapkan kehadiran beliau akan meningkatkan lagi kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan swasta dalam melaksanakan program-program untuk masyarakat Mukah terutamanya golongan belia.