SAMARAHAN, 10 NOVEMBER 2023 – Program MalaysiaAktif @ Komuniti 2023 PPR Tanjung Tuang Bahagian Samarahan merangkumi aktiviti Senamrobik di Kolam Renang Penguin, Kota Samarahan. Aktiviti senamrobik ini dilaksanakan sebanyak 20 siri.
Peserta adalah terdiri dari penduduk PPR Tanjung Tuang dan Kampung Tanjung Tuang telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan kelainan pada kali ini adalah dilaksanakan dalam kolam renang yang memberi pengalaman dan cabaran baru kepada para peserta.
SAMARAHAN, 04 NOVEMBER 2023 – Program 1000 Liga Memanah Tradisional Siri 22023 Peringkat Bahagian Samarahan telah diadakan di Padang Bola Sepak , SK Pendam, Sadong Jaya.
Pertandingan bermula untuk Jarak 30 Meter dan 50 Meter yang dimenangi oleh Encik Nursyarafi Azam Bin Ahmad, Naib Johan ialah Encik Saipul Hizam Bin Abdullah dan tempat ketiga ialah Abdul Afzie Alfie Bin Abdul Azizi.
Majlis Penyampian hadiah di sempurnakan oleh Encik Abu Bin Amir Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Program ini telah dilaksanakan oleh Kelab Memanah Baydha’ Sadong Jaya.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi Bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 30 NOVEMBER 2023 – Satu lawatan kerja telah dibuat pada 28 November 2023 oleh Encik Bonnie Manau Anak Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah bersama pegawai di Jabatan Kerja Raya Bahagian Mukah dan pihak kontraktor ke Kompleks Sukan Komuniti Mukah (KSK). Lawatan kerja tersebut adalah untuk mengenal pasti kedudukan kamera litar tertutup yang akan dipasang di KSK Mukah. Selain itu, lawatan tersebut juga bertujuan untuk pengesahan kerja-kerja yang akan dilakukan antaranya menaik taraf gelanggang, sistem pendawaian elektrik, lampu dalam gelanggang, kemudahan tandas, sistem keselamatan kebakaran, mengecat bangunan dan beberapa keperluan yang lain.
Projek naik taraf Kompleks Sukan Komuniti Mukah akan mengambil masa selama lapan (8) bulan dan dijangka siap pada bulan Julai 2024. Kerja naik taraf dilakukan bertujuan untuk menyediakan fasiliti sukan yang lebih baik kepada para pengguna di Mukah. Turut hadir lawatan tersebut Encik Mohammad Arbi Bin Rosli dan Encik Zume Bin Kaiman dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah.
LIMBANG, 27 NOVEMBER 2023 – Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang (PTTBL) dengan kerjasama SABERKAS Cawangan Bukit Kota dan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Limbang (PBSB) telah menganjurkan Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang 2023 pada 17-19 November 2023 bertempat di Kompleks Sukan Limbang. Kejohanan tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi Bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan, mewakili Yang Amat Berhormat Premier Negeri Sarawak.
Pada kejohanan tahun ini (Edisi Ke-3) telah diwujudkan kategori baru iaitu kategori Wanita dan juga Kategori Remaja. Secara keseluruhan sebanyak 47 pasukan telah mengambil bahagian dengan pecahan sebanyak 35 Pasukan Kategori Terbuka Lelaki, 7 Pasukan Kategori Terbuka Wanita dan 5 Pasukan Kategori Remaja Lelaki. Johan bagi Kategori lelaki adalah Pasukan Chain block Green 7 Dua 0 dari Brunei Darussalam dan membawa pulang wang tunai RM20,000.00, sijil, beserta Piala Pusingan YAB Premier Sarawak. Johan bagi Kategori Wanita pula adalah Pasukan Peruyud Lawas, manakala Johan bagi Kategori Remaja adalah Pasukan Samurai A dari Limbang.
PTTBL bersama rakan strategic giat menjalankan promosi bagi edisi yang akan datang dan diharapkan lebih banyak pasukan akan mengambil bahagian khususnya bagi kategori Wanita dan Remaja.
SIBU, 29 November 2023 - Taklimat Penutupan Akhir Tahun 2023 Bersama Pusat Tanggungjawab Dibawah Seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Cawangan Sibu telah berlangsung selama 1 hari bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Hibiscus 1 & 2, University of Technology Sarawak, Sibu.
Objektif kursus ini adalah untuk mematuhi Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Berkaitan Penutupan Akhir Tahun Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 yang akan dikeluarkan kemudian. Antara taklimat yang disampaikan adalah berkaitan Wang Tidak Dituntut (WTD), Taklimat daripada Perkeso Sibu, sesi perkongsian SPANM Bil 5 Tahun 2023 dan SPANM Bil 5 Tahun 2023. Kursus ini telah dihadiri oleh Encik Larry Anak George Selaku Pembantu Tadbir di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu.
Disediakan oleh : Mohammad Arbi Bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 27 NOVEMBER 2023 – Mesyuarat awal menaik taraf Kompleks Sukan Komuniti Mukah yang dipengerusikan oleh Encik Arni Bin Shahjuan, Pegawai Penguasa, Jabatan Kerja Raya Mukah telah diadakan pada 24 November 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat RCEA Tingkat 8, JKR Bahagian Mukah. Mesyuarat diadakan bertujuan untuk berbincang perkara yang berkaitan dengan pengurusan projek naik taraf Kompleks Sukan Komuniti Mukah yang akan dilaksanakan oleh pihak kontraktor yang terlibat. Selain itu, turut dibincangkan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa projek dilaksanakan.
Turut hadir Encik Bonnie Manau Anak Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah mewakili Tuan Lamat Anak Nyalau, Pengarah Belia dan Sukan Negeri Sarawak dalam sesi mesyuarat tersebut. Pihak pejabat mengharapkan projek yang mengambil masa lapan (8) bulan tersebut akan berjalan dengan lancar dengan memenuhi segala skop kerja yang telah ditandatangani dalam kontrak dan seterusnya siap dalam tempoh yang ditetapkan.
BINTULU, 24 NOVEMBER 2023 – Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Bintulu yang diketuai oleh Encik Kigen Anak Satong, Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Wisma Persekutuan Bintulu bagi tahun 2023-2025 telah menghadiri program ceramah integriti dan ikrar bebas rasuah yang dianjurkan oleh jawatankuasa wisma persekutuan Bintulu bertempat di bilik mesyuarat gunasama, tingkat 3, wisma persekutuan Bintulu blok 2 Kelmarin.
Semoga dengan menghadiri ceramah integriti dan ikrar bebas rasuah ini akan meningkatkan motivasi dan kejujuran dalam diri pegawai dalam menjalankan amanah negara dengan telus dan bebas rasuah.
SIBU, 24 NOVEMBER 2023- Telah berlangsung ceramah Sarawakian Negeri-negeri Tua Melanau yang telah diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 11.00 pagi. Ceramah telah disampaikan oleh Professor Madya Dr. Saini bin Bujang. Seramai 100 orang peserta telah menghadiri ceramah tersebut yang telah dihadiri oleh penjawat awam dari pelbagai agensi di Sibu. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu telah diwakili oleh Puan Morni binti Ibrahim dan juga Muhamad Afif bin Ibrahim
KAPIT, 23 NOVEMBER 2023 - Pada 18 November yang lalu, Sekolah Kebangsaan Sungai Kapit telah menjadi tuan rumah untuk Pertandingan Memanah Siri 1 sempena Program 1000 Liga Peringkat Bahagian Kapit Tahun 2023. Program ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit dengan kerjasama daripada Persatuan Memanah Bahagian Kapit berhasil menarik lebih dari 100 orang peserta, yang terdiri daripada pelajar dan guru dari sekolah tersebut.
Menariknya, program ini bukan hanya menjadi medan bertanding untuk para peserta tetapi juga sebuah platform untuk memupuk semangat persaingan yang sihat dan menggalakkan minat terhadap sukan memanah dalam kalangan generasi muda. Pihak pengelola memberikan penekanan khusus kepada pembinaan bakat di peringkat asas, dengan harapan dapat melahirkan lebih banyak atlet memanah yang berpotensi di bahagian Kapit.
Presiden Persatuan Memanah Bahagian Kapit, Encik Ting Ying King, menyatakan, "Program ini adalah langkah awal untuk menyemarakkan lagi sukan memanah di Kapit. Kami berharap acara seperti ini dapat terus memberi dorongan kepada peserta untuk terlibat dalam sukan memanah dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi." Program yang sama iaitu Siri 2 pula akan diadakan pada 2 Disember ini di SJKC Hock Lam, Kapit.