PUTATAN, 25 Mei 2018 - Program Ihya Ramadhan 1439H/2018M diadakan hari ini bertempat di Surau Jabatan Belia Dan Sukan (P) Negeri Sabah.
Program ini merupakan kerjasama antara pihak jabatan dengan Kelab Sukan dan Riadah JBSP Sabah (SURIA) yang bertujuan mengimarahkan bulan suci ini dan memberikan pengajaran dalam penghayatan Ramadhan.
Antara pengisian program ialah tazkirah ramadhan yang disampaikan oleh YBhg Ustaz Mohd Syahir Bin Haji Ismail dari IPG Kampus Gaya, berbuka puasa dan solat tarawih.
KENINGAU, 8 Jun 2018 - Seramai 4 qari daripada Bahagian Pantai Barat iaitu dua (2) dari Daerah Ranau dan dua (2) lagi dari Daerah Kota Kinabalu telah terpilih untuk Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadhan Peringkat Negeri Sabah 1439H/2018M yang berlangsung di Masjid Al-Taqwa, Keningau anjuran Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah pada pada 7.
Majlis yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Keningau, Tuan Haji Yusof bin Haji Osman ini turut dihadiri oleh Pengarah JBS(P)Sabah yang baru iaitu YBhg En. R. Effendi bin Razali.
KINABATANGAN, 11 Jun 2018 – Program Singgah Sahur yang dianjurkan oleh Malaysian Reconstruction Foundation (MyReF), Alumni Fakulti Sains Dan Sumber Alam (FSSA) dan Kelab Belia Tinagayan telah diadakan di Maahad Tahfiz Ar Rahmah pada 8-9 Jun 2018 bersamaan dengan 23-24 Ramadhan 1439H. Program ini adalah bertujuan untuk menyantuni pelajar-pelajar tahfiz seramai 52 orang pelajar yang mana mereka ini sedang menuntut pengajian agama pusat tahfiz ini dan terdiri daripada pelajar asnaf, anak yatim serta berumur dalam lingkungan 8-21 tahun.
Program ini juga adalah kerjasama dengan sukarelawan Pengakap Kelana D (Delta Rovers) Kinabatangan, Pejabat Kementerian Belia Dan Sukan Kinabatangan (N) Sabah serta sukarelawan daripada Persatuan Belia Akar Umbi Kinabatangan. Turut hadir pada program ini adalah Encik Mohd. Masdi Masran, Pegawai Belia dan Sukan Kinabatangan (N) Sabah sekaligus menyampaikan sumbangan sempena bulan ramadan.
Menurut Fazlan Thomas, yang merupakan aktivitis sukarelawan Sabah dan sukarelawan MyReF, "Program ini adalah merupakan kesinambungan daripada program MYCorps, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada bulan April yang lepas dimana pada kali ini saya turun untuk kali kedua di Maahad Tahfiz ini adalah untuk menyampaikan sumbangan bahan mentah sekaligus mengadakan majlis berbuka puasa dan sahur bersama pelajar dan kakitangan di sini. Program ini juga adalah hasil daripada sumbangan orang ramai yang diiklankan melalui kempen di laman sosial facebook dan aplikasi whatsapp selama seminggu.”
Tidak dinafikan, Maahad Tahfiz Ar Rahmah yang dibangunkan sejak tahun 2015 ini masih memerlukan sumbangan daripada orang ramai untuk pembangunan dan keperluan makanan harian pelajar di sana. Sebelum ini, masih belum ramai yang tahu akan kewujudan dan kehadiran sekolah tahfiz ini di Kinabatangan malahan masih kurang mendapat perhatian orang ramai dari segi sumbangan dan bantuan. Semoga dengan usaha ini, pihak pengurusan sekolah tahfiz dan para pelajar akan mendapat manfaat daripada program dan bantuan yang diberikan.
Antara pengisian program yang dijalankan sepanjang dua (2) hari ini adalah gotong-royong memasak bubur lambuk, majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih dan qiamulail, bersahur bersama pelajar tahfiz, gotong-royong membersihkan kawasan sekolah dan hari terakhir adalah penyampaian sumbangan bahan mentah kepada para pelajar. MyReF juga turut menjalankan Kempen "Kotak Harapan" yang mana setiap sumbangan yang diberikan akan mengandungi anak pokok untuk ditanam yang bertujuan untuk membantu menghijaukan bumi sesuai dengan tagline MyReF "Pembinaan Semula untuk Kemanusiaan".
LIKAS, 8 Jun 2018- Satu kunjungan hormat yang diketuai oleh Encik R. Effendi bin Razali Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah kepada Datuk Penyuki Matta, Pengurus Besar Lembaga Sukan Negeri Sabah yang diadakan sebentar tadi.
Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan berkenalan serta kerjasama strategik antara Agensi Kerajaan dan Agensi Kerajaan Negeri dibawah Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah. Hal ini penting untuk memastikan segala perancangan pembangunan yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia selari dengan kehendak dan dapat diserahkan secara terbaik kepada Lembaga Sukan Negeri Sabah.
Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Encik Noorman Ramlan, Penolong Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah.
SANDAKAN, 8 Jun 2018 – Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Negeri Sabah dengan kerjasama Masjid At-Taqwa Taman Merpati Sandakan telah menyemarakkan Sambutan World Hour Quran dengan menganjurkan Sandakan World Quran Hour 1439H/2018M bertempat di Masjid At-Taqwa Taman Merpati, Batu 7 Sandakan pada 7 Jun 2018 (Khamis).
Program yang bermula seawal 8.30 pagi ini dirasmikan oleh Ustaz Hj. Awang Juri Ag. Tahir, Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Sandakan dan telah dihadiri oleh penduduk sekitar iaitu seramai 120 orang. Matlamat utama program ini adalah untuk mengajak dan menggalakkan umat Islam supaya membaca, memahami dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam Al-Quran.
KOTA KINABALU, 8 Jun 2018 - Kunjung hormat Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan (P) Negeri Sabah, YBhg Encik R.Effendi Bin Razali Kepada Menteri Belia Dan Sukan Sabah YB Tuan Poon Ming Fung @ Frankie bertempat di Kementerian Belia Dan Sukan Sabah hari ini.
Kunjung hormat ini diadakan bertujuan sebagai medium suai kenal Tuan Pengarah yang baharu, di samping membincangkan tentang perancangan program bersama, isu-isu belia dan sukan serta cara menanganinya. Diharapkan jalinan kerjasama antara keduanya berterusan demi kemajuan anak bangsa dan belia-belia di Negeri Sabah ini.
KENINGAU, 7 Jun 2018 - Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 2018 telah diadakan hari ini bertempat di Masjid Al-Taqwa, Keningau.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg Tuan Hj Yusop Bin Hj Osman, Pegawai Daerah Keningau yang berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan sebagai salah satu usaha melahirkan golongan pemimpin muda yang mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ummah dengan menghayati Islam sebagai satu cara hidup.
Turut hadir bersama Encik R.Effendi Bin Razali, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan (P) Negeri Sabah.
KENINGAU, 5 Jun 2018 –Mesyuarat Majlis Khatam A-Quran Rakan Muda Ramadhan telah diadakan di Pejabat Daerah Keningau bagi membincangkan persiapan pelaksanaan program tersebut. Program ini adalah anjuran Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Keningau dan Agensi-Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutan Daerah Keningau.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Haji Yusof Bin Haji Osman, Pegawai Daerah Keningau. Turut hadir, Puan Asmah Binti Ajem, Ketua Unit Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, dan Encik Fedrius Bin Jumi, Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Keningau.
SANDAKAN, 5 JUN 2018 – Bertempat di hadapan jalan Masjid Daerah Sandakan bersamaan dengan 18 Ramadhan 1439H (3 Jun 2018) telah berlangsung Program Agihan Bubur Asyura kepada orang ramai oleh Sukarelawan Belia Sandakan. Sukarelawan belia ini dikenali sebagai Borneo Alam Hikers Sandakan yang merancang untuk mendaftar kelab tersebut di bawah Badan Sukan Sabah dalam masa terdekat.
Seramai 18 orang petugas sukarelawan belia yang terdiri daripada belia lelaki dan wanita hadir sama-sama bagi menjayakan program mulia ini sempena Bulan Ramdhan. Sebanyak 750 bekas bubur asyura telah diagihkan kepada orang ramai termasuk 70 bekas diagihkan ke Rumah Warga Tua Sandakan dan sebanyak 50 bekas lagi telah diagihkan ke Masjid BDC Sandakan. Program ini telah diselaraskan oleh Encik Rudy Baharuddin dan dibantu oleh sukarelawan yang lain.
Kompleks Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah
Jalan Taman Pasir Putih, Putatan
Mel Beg 81, 88998 Kota Kinabalu Sabah
Tel : 088-765777 / 088-761777 | Fax : 088-765262