KUDAT, 18 Julai 2018 - Mesyuarat Penyelarasan Program Festival Kudat 2018 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kudat.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Tuan Sapdin Ibrahim, Pegawai Daerah Kudat ini adalah bertujuan untuk menyelaras program-program yang akan dijalankan pada 26-29 Julai 2018, bertempat di Esplaned Sidek Kudat.
Antara program yang dilaksanakan ialah senamrobik yang akan diselaras oleh Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Kudat. Program ini akan dirasmikan oleh YAB Dato Seri Panglima Mohd Shafie Hj Afdal, Ketua Menteri Sabah.
SANDAKAN, 18 Julai 2018 – Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Sandakan telah melakukan lawatan tapak pelupusan ke Gelanggang Futsal 1 Malaysia (GF1M).
Encik Idi Ladinda, Penolong Pegawai Belia dan Sukan dibantu oleh pelajar praktikum Cik Nor Saupikah binti Salamat telah melakukan lawatan di kawasan PARLIMEN P.185 Batu Sapi bagi DUN N.43 Sekong dan DUN N.44 Karamunting.
Lawatan ini telah diadakan pada 17 Julai 2018 (Selasa) dan antara GF1M yang dilawati adalah GF1M Taman Mawar Fasa 1 dan 2, Taman Hap Seng, Perkarangan Pasar Bandar Ramai-Ramai, Kg. Tanah Merah, Kg. Bambangan dan Taman Hsing Garden. Tujuan utama lawatan ini dibuat adalah bagi mendapatkan data berkaitan laporan pemohonan pelupusan GF1M sekaligus memantau keadaan Gelanggang Futsal 1 Malaysia.
RANAU, 17 Julai 2018 – Lawatan Kajian dan Pelupusan Gelanggang Futsal 1 Malaysia telah diadakan hari ini oleh Pembantu Belia dan Sukan (Persekutuan) Daerah Ranau iaitu Encik Erzan Abdullah selaku Pegawai yang menjaga Daerah Ranau
Lawatan ini meliputi 10 kawasan gelanggang yang terdapat di Daerah Ranau dan ianya bertujuan untuk pelupusan gelanggang ini dengan cara atau kaedah menghadiahkan kepada pihak-pihak yang berkenaan bagi meneruskan fungsi gelanggang futsal yang sedia ada. Selain itu ianya juga untuk mengenalpasti gelanggang yang masih boleh digunakan bagi memenuhi keperluan riadah belia sekitarnya bagi melahirkan masyarakat yang berbudaya sukan.
PUTATAN, 17 Julai 2018 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah melantik 17 enumerator bagi melaksanakan Kajian Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 di Negeri Sabah bermula 16 Julai 2018 yang lalu.
Satu sesi taklimat telah diberikan oleh pihak (IYRES) kepada enumerator yang dilantik bertempat di Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah. Kajian tersebut akan dijalankan selama 2 minggu bermula dari 16 Julai hingga 30 Julai 2018 bagi mengukur tahap bersukan rakyat Malaysia di negeri Sabah yang melibatkan responden dari pelbagai peringkat umur, latarbelakang dan terdiri dari responden luar dan dalam bandar.
PUTATAN, 17 Julai 2018 - Sesi penyerahan nota serah tugas daripada Encik Andy Suhardy Bin Sarbini, yang bertukar ke Bahagian Pembangunan Sukan kepada Puan Fredah Sulin dari Bahagian Pembangunan Belia telah diadakan pagi ini disaksikan oleh Puan Hasmah Ajem, Ketua Bahagian Pembangunan Rakan Muda.
Puan Freda Sulin akan mengambil alih tugas sebagai Pegawai Rakan Muda Unit Pembangunan Gaya Hidup dan akan bertanggungjawab bagi urusan yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti gaya hidup Rakan Muda serta aktiviti-aktiviti Sekretariat Rakan Muda (SRM) IPT Negeri Sabah iaitu Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi Mara Kampus Sabah dan Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut.
PAPAR, 16 Julai 2018 – Lawatan Kajian dan Pelupusan Gelanggang Futsal 1 Malaysia telah diadakan hari ini oleh Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Pantai Barat iaitu Encik Ibi Mongai selaku Pegawai Pembangunan Sukan.
Lawatan ini meliputi kawasan gelanggang yang terdapat di Daerah Papar dan ianya bertujuan untuk pelupusan gelanggang ini dengan cara atau kaedah menghadiahkan kepada pihak-pihak yang berkenaan bagi meneruskan fungsi gelanggang futsal yang sedia ada. Selain itu ianya juga untuk mengenalpasti gelanggang yang masih boleh digunakan bagi memenuhi keperluan riadah belia sekitarnya bagi melahirkan masyarakat yang berbudaya sukan.
Turut hadir dalam lawatan ini Encik Joslam Syarifuddin selaku Pegawai yang ditugaskan untuk menjaga Daerah Papar dan Putatan.
SANDAKAN,16 Julai 2018- Kelab Polis IPD Kunak telah menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw Terbuka Borneo Piala Ketua Polis Daerah Kunak 2018 bersempena Peringatan Hari Polis ke 211.
Kelab Polis IPD Kunak telah menjemput Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Sandakan untuk menyertai pertandingan tersebut bersama beberapa kelab-kelab di Borneo. Pertandingan ini telah diadakan pada 14 hingga 15 Julai 2018 bertempat di Dewan SRJK(C) Pai Sheng. Pertandingan ini bertujuan untuk memperingati Hari Polis yang ke 211 disamping memupuk perpaduan antara peserta-peserta yang terlibat. Kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini telah mendapat penyertaan 36 pasukan daripada pelbagai kelab di Borneo. Bahagian Sandakan telah menghantar empat pasukan iaitu Kelab Boustead Estet, Kelab Warisan Sandakan A, Kelab Warisan Sandakan B dan RTC Sandakan.
Pertandingan tersebut menawarkan hadiah yang lumayan kepada setiap pemenang yang berjaya. Johan dalam pertandingan ini telah disandang oleh pasukan Wira yang telah mengalahkan pasukan Kelab Warisan Sandakan A dengan pungutan mata sebanyak 2-1 dan telah memenangi hadiah berupa wang tunai sebanyak RM2,000.00 manakala naib johan telah dimenangi oleh pasukan Kelab Warisan Sandakan A dengan hadiah sebanyak RM1,500.00. Bagi tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh kumpulan RTC Tawau dan IPD Kota Marudu dengan masing-masing memenangi wang tunai sebanyak RM1,000.00.
Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Superintendan Baharin Md Tahir, Ketua Polis Daerah Kunak.
KOTA BELUD, 16 Julai 2018 – Seramai 30 orang telah menyertai Program XPDC Cabaran Nungkok 2018 dengan ketinggian 1,652m yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN Sabah bertempat di Kg. Tombatoan Kota Belud pada 13 hingga 15 Julai 2018 yang lalu.
Objektif program ini untuk meningkatkan bilangan peminat-peminat rekreasi yang aktif, berkualiti, berilmu serta menanam perasaan cintakan alam sekitar kepada peserta.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Encik Noorman bin Ramlan, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan.
PUTATAN, 16 JULAI 2018 – Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah telah mengadakan sesi Table Talk Rakan Muda yang di pengerusikan oleh Puan Hasmah Ajem selaku Ketua Bahagian Pembangunan Rakan Muda.
Sesi tersebut diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan pelaksanaan program di bawah tiga (3) unit iaitu Unit Pembangunan Gaya Hidup, Unit Pembangunan Potensi dan Unit Perhubungan Komuniti. Selain itu, sesi tersebut juga membincangkan perkara berkaitan tugasan yang perlu di ambil tindakan oleh pegawai –pegawai di bawah unit masing-masing.
Antara tugasan yang dibincangkan adalah berkaitan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM Tahap Emas), Program Sekretariat Rakan Muda (SRM UMS dan SRM UiTM) dan perancangan Kursus Asas Kesukarelaan Rakan Muda di bawah Unit Perhubungan Komuniti.
Turut hadir sama dalam sesi ini adalah Puan Fredah Sulin, Pegawai yang baru ditempatkan di Unit Gaya Hidup menggantikan Encik Andy Suhardy bin Sarbini yang telah bertukar ke Bahagian Pembangunan Sukan.
Kompleks Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah
Jalan Taman Pasir Putih, Putatan
Mel Beg 81, 88998 Kota Kinabalu Sabah
Tel : 088-765777 / 088-761777 | Fax : 088-765262