BACHOK, 2 SEPTEMBER 2020 – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kelantan (Kementerian Perpaduan Negara) melalui Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Bachok telah menganjurkan Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021 – 2025 Peringkat Daerah Bachok bertempat di Sudara Beach Resort pada 30 Ogos 2020 yang lalu.
Seramai tiga (3) orang pegawai dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok turut hadir ke program ini bersama-sama beberapa ahli pertubuhan belia yang turut dijemput hadir bagi menyumbangkan input dan cadangan berkaitan pelan tindakan yang direncana.
Sesi maklum balas yang bertemakan “Berfikir Perpaduan Bersama Rakyat” ini bertujuan untuk memastikan pembangunan pelan tersebut menyeluruh dengan penglibatan rakyat di peringkat akar umbi dan mendapatkan maklumbalas rakyat untuk pengukuhan draf dokumen PTPN 2021-2025 Kementerian Perpaduan Negara.
Majlis Perasmian program ini telah disempurnakan oleh YB Hj Mohd Huzaimy Che Husin, ADUN Pantai Irama dan diiringi oleh YABrs. Tuan Hazmi Abdul Hamid, Ketua Jajahan Bachok. Program ini diakhiri dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang dan lagu Patriotik Tanggal 31 Ogos bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok
- JBS Kelantan
- Hits: 460


