KELANTAN, 31 MEI 2022 - Warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan mengambil kesempatan mengucapkan Selamat menyambut Hari Belia Negara! Hari ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada seluruh belia Malaysia!
Belia merupakan nadi, belia juga merupakan penerus legasi masa depan negara! Tidak kira di mana anda berada, ayuh bersama kita raikan Hari Belia Negara! Ini hari anda! Ini masa kita!
Disediakan oleh Urusetia Portal Bahagian Pembangunan Belia
KELANTAN, 31 MEI 2022 - Pengurusan Tertinggi Kelab Belia Kampung Baru Pak Hussin (KBKBPH) mengadakan Kunjung Hormat kepada YABrs Encik Asmadi Mohamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Kunjung hormat ini adalah bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara JBSNK dan KBKBPH.
Turut hadir ialah Encik Hazri Nizam Zakaria, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Disediakan oleh Urusetia Portal Bahagian Pembangunan Belia
JELI, 31 MEI 2022 – Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kelab Aerobik Bukit Jering telah diadakan bertempat di Dewan Kubur Datu, Kuala Balah pada 28 Mei 2022, Sabtu lalu berlangsung meriah dengan kehadiran ahli-ahli kelab dan komuniti setempat.
Majlis yang bermula pukul 3.00 petang dimeriahkan dengan kehadiran seluruh ahli kelab dan menu raya yang disediakan adalah hasil sepakat semua ahli membawa menu potluck masing-masing. Pelbagai sajian dihidangkan dengan menu utama seperti nasi minyak gulai daging, spageti carbonara, mee goreng, lontong, lemang dan ketupat serta aneka kuih-muih dan minuman.
Menurut Pn. Siti Nurhanani binti Husin, Pengerusi Kelab Aerobik Bukit Jering, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mendapat kerjasama semua ahli. Turut diadakan sambutan hari kelahiran ahli-ahli kelab, persembahan nyanyian dan pertandingan busana tercantik. Tiga orang kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli juga turut sama hadir bagi memenuhi jemputan tersebut.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli
KUALA KRAI, 31 MEI 2022 – Telah diadakan Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran bersama Jawatankuasa Bangunan Wisma Persekutuan Kuala Krai pada 18 Mei 2022 di mana Pengerusi Jawatankuasa Bangunan Wisma Persekutuan di Pengerusikan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai iaitu Encik Wan Mohd Erffan Bin Wan Mohd Nasir dengan kerjasama pejabat agensi-agensi kerajaan di sini termasuklah Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai telah berlangsung meriahnya.
Majlis yang bermula pukul 11 pagi dan berakhir tiga jam kemudian dimeriahkan dengan kehadiran YB. Hilmi Abdullah iaitu Adun Guchil dan juga YB. Mohd Fauzi Abdullah Adun Manik Urai.
Pelbagai sajian dihidangkan oleh agensi-agensi kerajaan di bangunan ini dengan menu utama adalah Nasi minyak, gulai kambing, laksa, nasi goreng, ketupat, lemang serta rendang ayam dan kuah lodeh, buah-buahan tempatan, cendol dan aneka minuman kordial.
Terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang sama ada tenaga, masa mahu pun wang ringgit dalam menjayakan majlis ini, Cabutan bertuah juga diadakan dengan hadiah berupa Hamper menjadikan suasana raya makin gempak dan meriah .
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
KUALA KRAI, 31 MEI 2022 - Satu latihan kebakaran telah diadakan melibatkan semua warga Bangunan Wisma Persekutuan Kuala Krai pada 23 Mei 2022 yang lalu . Latihan kebakaran kelolaan Jawatankuasa Bangunan Wisma Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Cawangan Kuala Krai ini adalah acara tahunan Latihan kebakaran di Bangunan Wisma Persekutuan. Tujuan utama diadakan latihan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada warga Bangunan Persekutuan Kuala Krai ini khususnya tentang prosedur menyelamatkan diri jika berlaku sesuatu kecemasan yang melibatkan kebakaran.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
BACHOK, 31 MEI 2022 - Sebanyak 11 pasukan bola jaring telah bertanding bagi merebut johan dan naib johan seterusnya mewakili daerah Bachok ke pertandingan peringkat negeri sempena Malaysia Sports League (MSL) tahun 2022.
Pertandingan dimulai jam 9.00 pagi bertempat di Dewan Serbaguna Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok dengan sorakan oleh pemain-pemain. Semua pasukan mempamerkan kesungguhan dan semangat yang tinggi semasa bertanding.
Pasukan Bachok Star telah muncul sebagai johan. Manakala naib johan dimenangi oleh pasukan Rhino Team, tempat ketiga bersama ialah pasukan Mix Team dan Thunder Birds.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YABrs. Encik Mohd Fauzi bin Ariffin, Pengarah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok yang turut sama-sama menyaksikan perlawanan akhir.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok
BACHOK, 31 MEI 2022 - Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan Majlis Hari Raya Aidilfitri telah diadakan pada 29 Mei 2022 yang lalu bertempat di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Suasana cukup meriah diraikan setelah 2 tahun tidak dapat mengadakan majlis ini akibat pandemik Covid-19.
Turut diadakan kaunter Hari Bertemu Pelanggan dan pertandingan booth bertemakan klasik dan tradisional. Pelbagai juadah disediakan kepada tetamu jemputan dan pengunjung-pengunjung. Antaranya ialah roti jala, sate, nasi hujan panas, ketupat, colek buah, mi kari, laksa, laksam, pelbagai jenis minuman dan menjadi tumpuan ialah kambing bakar.
Sepanjang majlis berlangsung lagu-lagu bertemakan hari raya berkumandang di dalam dewan menambahkan lagi kemeriahan. Acara kemuncak ialah penyampaian hadiah kepada booth terbaik. Tempat ketiga booth terbaik dimenangi oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang, Naib Johan dimenangi oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok dan Johan dimenangi oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas. Hadiah telah disampaikan oleh YABrs.Encik Asmadi bin Mohamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan diiringi oleh Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok
BACHOK, 31 MEI 2022 - Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok telah mengadakan mesyuarat Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Jajahan Bachok pada 12 Mei 2022 yang lalu bertempat di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YABrs. Tuan Haji Azi Rahimee bin Haji Mohamed, Ketua Jajahan Bachok.
Mesyuarat dihadiri oleh Penggawa-penggawa Daerah dan Agensi-agensi Kerajaan di daerah Bachok. Taklimat Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Jajahan Bachok. Pelbagai aktiviti akan diadakan sempena program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang melibatkan pelbagai agensi dan komuniti setempat.
Program tersebut dijadualkan akan berlangsung pada bulan Jun 2022 bertempat di Dataran Pantai Irama, Bachok.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok
TANAH MERAH, 31 MEI 2022 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah dengan kerjasama Pejabat Tanah Jajahan Tanah Merah telah menganjurkan Kejohanan Futsal Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Daerah Tanah Merah pada 13 Mei 2022 (Jumaat) yang lalu. Kejohanan ini telah diadakan di Ku Yo Futsal, Tanah Merah dengan penyertaan sebanyak 36 pasukan futsal lelaki dan 6 pasukan futsal wanita.
Para peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) SMK Alor Pasir turut mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan. Pemimpin ARPRM sekolah tersebut, Puan Hayati binti Ibrahim telah menghantar 4 pasukan futsal wanita untuk memberi saingan kepada pasukan yang lain. Berkat usaha dan komited dengan tanggungjawab dan minat untuk memberi pendedahan kepada para peserta ARPRM dengan aktiviti luar, 2 daripada 4 pasukan yang dihantar bertanding mendapat tempat kedua dan ketiga pada kejohanan itu.
Pihak Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah mengucapkan Syabas dan tahniah kepada para peserta ARPRM dan Puan Hayati binti Ibrahim atas kemenangan yang diperolehi dan semoga terus berjaya untuk peringkat seterusnya.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah