SHAH ALAM, 21 Disember 2025 – Pasukan Aerobic Dance Junior Kelantan mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung selama dua hari, 20-21 Disember 2025 bertempat di Dewan Pusat Sukan UiTM Shah Alam.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) ini menyaksikan penyertaan pasukan dari seluruh negara dalam dua kategori utama iaitu junior dan dewasa. Saringan awal telah diadakan pada hari Sabtu, namun hanya pasukan junior Kelantan yang berjaya melangkah ke peringkat akhir bersama tujuh lagi pasukan dari negeri lain. Dalam aksi penuh bertenaga dan memukau, pasukan junior Kelantan berjaya menambat hati para juri dengan persembahan yang mantap dan koreografi yang kreatif. Kejayaan ini membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala serta medal kemenangan.
Lebih manis lagi, pasukan ini turut memenangi Kategori Koreografi Terbaik sekali gus membawa pulang tambahan wang tunai RM500 sebagai pengiktirafan terhadap keunikan dan kehalusan gerak tari yang dipersembahkan.
Ketua kontinjen pasukan Aerobic Dance Kelantan, YBrs. En. Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah (Sukan) JBS Negeri Kelantan turut hadir memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada kedua-dua pasukan junior dan dewasa sebelum pertandingan bermula.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama negeri Kelantan di peringkat kebangsaan, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus bergiat aktif dalam bidang sukan dan seni persembahan. Tahniah diucapkan kepada pasukan Aerobic Dance Junior Kelantan atas pencapaian ini.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI
Taufiq Johari Mordi Bimol JBSNegara Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara KBSMalaysia Rakan Muda
Disediakan Oleh : Urus Setia Media Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
Kuala Lumpur, 20 Disember 2025 — Suasana di Vanity Atrium, Sunway Velocity Mall hari ini meriah dengan semangat dan sorakan apabila pasukan cheerleading Kelantan giat menjalani sesi latihan terakhir mereka menjelang pertandingan peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung esok.
Pasukan yang terdiri daripada 26 orang peserta ini sangat bersemangat dan fokus dalam menyempurnakan rutin persembahan pelbagai aksi akrobatik dan formasi. Latihan intensif ini adalah sebahagian daripada persiapan akhir bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang pertandingan besar esok.
Pertandingan cheerleading peringkat kebangsaan yang akan berlangsung esok menjadi medan untuk menguji kehebatan fizikal dan koordinasi, malah turut menonjolkan semangat berpasukan dan disiplin tinggi dalam kalangan peserta. Kontinjen pasukan cheerleading Negeri Kelantan diketuai oleh En. Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Kelantan.
KOTA BHARU, 20 Disember 2025 – Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) telah menerima kurniaan Sandang Mahkota Cula Pelangi sempena Istiadat Penyampaian Sandang Kehormat Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Negeri Kelantan yang berlangsung dalam suasana penuh adat dan tradisi.
Istiadat tersebut diadakan dengan penuh istiadat mengikut adat persilatan Melayu, sekali gus mencerminkan keunikan warisan seni silat yang menjadi identiti bangsa. Kurniaan sandang kehormat ini merupakan satu pengiktirafan tertinggi terhadap jasa, komitmen serta sokongan berterusan Tuan Pengarah JBSNK dalam memperkasa pembangunan belia dan memartabatkan seni warisan bangsa, khususnya seni silat di Negeri Kelantan.
Majlis diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan dan ahli PSSGM Negeri Kelantan yang mengenakan busana tradisi persilatan, melambangkan keutuhan adat dan nilai jati diri Melayu. Penyampaian sandang kehormat telah dilaksanakan dengan penuh tertib selaras dengan amalan dan tradisi PSSGM.
Penganugerahan ini diharapkan dapat terus mengeratkan hubungan strategik antara Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan pertubuhan seni silat, selain menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi belia yang berdisiplin, berjati diri dan berpegang teguh kepada nilai budaya serta warisan negara.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI
taufiq johari Mordi Bimol Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara KBSMalaysia Rakan Muda
Kota Bharu, 8 Disember 2025 – Koperasi Universiti Malaysia Kelantan Berhad telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) bagi membincangkan potensi kerjasama berkaitan projek pembangunan drag race di Tapak Litar UMK Bachok. Pertemuan tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 1, JBSNK.
Kunjungan ini bertujuan meneroka peluang kerjasama strategik antara pihak koperasi dan JBSNK dalam merancang serta membangunkan fasiliti sukan permotoran yang mampu menjadi platform kepada belia menunjukkan bakat dalam sukan drag race secara lebih tersusun dan selamat. Projek ini juga dijangka dapat merancakkan penglibatan belia dalam aktiviti berfaedah selain berpotensi menjadi daya tarikan baharu di daerah Bachok.
Hadir sama dalam sesi pertemuan tersebut ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, En. Mohd Saipuddin Zakaria, En. Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan JBSNK serta En. Fakhruddin Hasbullah, Pengurus Koperasi UMK Berhad bersama barisan jawatankuasa. Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneliti keperluan teknikal, keselamatan dan perancangan pembangunan litar sebelum memuktamadkan hala tuju projek.
Koperasi Universiti Malaysia Kelantan Berhad bersedia untuk berkolaborasi secara lebih dekat dengan JBSNK khususnya dalam penyediaan fasiliti, pengurusan program serta penganjuran acara sukan permotoran kelak.
Pertemuan ini diakhiri dengan sesi perbincangan lanjut mengenai langkah susulan, termasuk penubuhan jawatankuasa teknikal bersama bagi memastikan perancangan projek berjalan secara sistematik dan memenuhi sasaran pembangunan belia di negeri Kelantan.
Panji, 6 Disember 2025 - Y-Hub Kelantan yang berpusat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan merupakan sebuah pusat belia yang menyediakan kemudahan dan ruangan untuk para belia menjalankan aktiviti yang berfaedah.
Kelas Akademik Y-Hub juga merupakan salah satu komponen aktiviti yang dilaksanakan dibawah program Y-Hub Kelantan. Pada hari ini, dua (2) kelas telah dilaksanakan iaitu Kelas Motivasi Jejak Impian dan Kelas Asas Catur Level 1. Kelas Akademik ini dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Belia Tunjong, juga merupakan sebuah pertubuhan yang dilantik sebagai Pengendali Y-Hub.
Kelas Akademik ini juga mendapat kerjasama baik dari pihak Majlis Gabungan Belia kelantan (MGBK) bagi kelas motivasi dan pihak Akademi Catur Ariez Azman (acaa.my) Kelantan bagi kelas catur yang menyumbangkan khidmat tenaga pengajar.
JELI, 7 Disember 2025 - Program Senaman Warga Emas Aktif Peringkat Daerah Jeli telah diadakan pada 6 Disember 2025, bertempat di Kg Sungai Rual Jeli. Program ini telah mendapat sambutan yang baik dengan jumlah penyertaan seramai 54 orang terdiri dari warga emas setempat.
Program ini diadakan adalah untuk membina jaringan hubungan bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan perpaduan di kalangan warga emas dengan agensi berkaitan serta masyarakat/penggiat kecergasan komuniti, disamping menyokong usaha kerajaan bagi memastikan warga emas mendapat kesaksamaan sosial dari segi penglibatan dalam aktiviti sukan dan kecergasan. Program tersebut telah diadakan dengan kerjasama Komuniti Kg Sg Rual, Jeli sebagai rakan strategik.
Turut hadir ke program berkenaan ialah YBrs En Mohamad bin Daud, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Jeli.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa, dengan harapan objektif dan tujuan program ini tercapai.
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli.
JELI 1 Disember 2025- Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri dengan kerjasama Persatuan Belia Gemilang Kampung Bukit Tok Ali telah melaksanakan Program Canva Editing Rakan Muda (Siri 1) pada 30 November 2025 bertempat Dewan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Objektif program ini adalah untuk mendedahkan peserta kepada asas penggunaan Canva bagi membolehkan mereka memahami fungsi serta alat penting dalam platform tersebut, di samping mengembangkan kreativiti dalam penghasilan kandungan digital melalui rekaan visual yang menarik dan sesuai dengan identiti Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Di samping kursus ini juga berujuan menyokong pembangunan personal branding khususnya dalam penghasilan bahan promosi seperti poster, grafik media sosial dan slaid pembentangan yang lebih berkesan dan professional.
Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Encik Sazli bin Mahmood, Ketua Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSN Kelantan. Turut hadir dalam program ini ialah Encik Supian bin Hassan, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jeli dan Encik Mohd Zaidi bin A Mohidu, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Jeli.
Adalah menjadi harapan semoga program sangat bermanfaat ini dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa.
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli.
Kelantan, 7 Disember 2025 – Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) Peringkat Negeri Kelantan 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Rumah Seri Kenangan (RSK) Taman Kemumin, Pengkalan Chepa hari ini. Program ini menyaksikan penyertaan aktif sukarelawan, artis tempatan, dan komuniti setempat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, yang menekankan kepentingan peranan belia dalam memperkasa budaya kesukarelawanan serta mengukuhkan kesejahteraan sosial melalui aktiviti khidmat masyarakat.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Tuan Haji Mohd Zain bin Mat, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, yang memberi sokongan penuh terhadap usaha kolaboratif antara JBSN dan RSK dalam memupuk semangat kesukarelawanan di kalangan belia.
Kehadiran Puan Nadia binti Mat Isa, Pengasas Yaya Nadia Empire, dan Puan Nur Fatin binti Zulkifli, Penguasa RSK Taman Kemumin, yang mengalu-alukan kehadiran sukarelawan serta menghargai inisiatif membantu warga emas di bawah seliaan RSK.
Program turut menampilkan persembahan menghiburkan oleh artis tempatan Ara Johari dan Afiq Syazwan, yang menghidupkan suasana majlis serta memeriahkan HKBM bersama warga RSK Taman Kemumin.
Selain itu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Yaya Nadia Empire menumpukan kepada penyampaian sumbangan kebajikan, interaksi bersama warga emas, serta aktiviti santai bagi kesejahteraan mental dan emosi penghuni RSK. Langkah ini menonjolkan komitmen berterusan Yaya Nadia Empire dalam menyokong program kemasyarakatan di Kelantan.
Sukarelawan dari pelbagai institusi juga diberi penghargaan, termasuk Maahad Pengajian Islam, Maahad Tarbiah Mardhiah, dan Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok, atas dedikasi dan semangat mereka dalam menjayakan program ini.
Pelbagai aktiviti khidmat masyarakat dan pengisian kesukarelawanan turut dilaksanakan, melibatkan penglibatan aktif belia dan petugas RSK. Program diakhiri dengan penyampaian penghargaan kepada sukarelawan serta sesi bergambar sebagai tanda kenangan dan penghargaan atas dedikasi mereka.