SIK, 23 APRIL 2022 - Telah berlangsungnya Majlis Khatam Al Quran Rakan Muda Peringkat Negeri Kedah 2022/1443H di Masjid Al Hidayah Merbau Kudong, Sik, Kedah.
Program ini merupakan anjuran Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Kedah dengan kerjasama ABIM Negeri Kedah. Tujuan Perlaksanaan program ini adalah untuk mengimarahkan masjid sempena kedatangan Ramadan disamping mendekatkan golongan muda dengan institusi masjid.
Program ini telah berjaya mengumpulkan penyertaan seramai 300 golongan Belia seluruh daerah dan 300 penyertaan dari ABIM Negeri Kedah/penduduk sekitar daerah Sik. Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penganjuran program.
KUAH LANGKAWI, 19 APRIL 2022 - Bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi telah diadakan sesi Mesyuarat FOCUS Group Daerah Langkawi bilangan kedua bagi tahun 2022. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Yg. Bhg. Dato’ Abdul Ghafar B. Yahya, Pegawai Daerah Langkawi.
Mesyuarat yang diadakan selama lebih kurang 3 jam itu telah membincangkan beberapa isu dan permasalahan serta program-program kemasyarakatan dan kemanusiaan yang melibatkan penduduk sekitar daerah Langkawi. Antara isu yang dibincangkan adalah berkaitan permohonan Ketua Isi Rumah (KIR) dalam Program E-Kasih serta bantuan zakat dan kebajikan.
Turut membuat pembentangan dalam mesyuarat tersebut adalah dari KWSP yang menerangkan progress Program i-Suri dan laporan pelaksanaan program tersebut.
Mesyuarat tersebut telah ditangguhkan pada jam 05.00 petang.
DISEDIAKAN OLEH: MOHD FERDAUS OSMAN / PBSD LANGKAWI
KUAH LANGKAWI, 21 APRIL 2022 - Bertempat di Bilik Gerakan Pejabat Pembangunan Langkawi (LADA) telah diadakan sesi Mesyuarat penyelarasan pertama Karnival Geopark Langkawi Tahun 2022. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA. Mesyuarat telah dihadiri oleh agensi tempatan yang berkaitan sahaja.
Pembentangan mesyuarat telah dilakukan oleh pihak urusetia. Antara isi kandungan pembentangan adalah pengenalan carnival Geopark Langkawi, kalendar perancangan program dan peranan serta tugasan agensi yang terlibat. Karnival Geopark Langkawi 2022 akan dilaksanakan mulai 01 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2022.
Pelbagai aktiviti dan program telah dirangka untuk dilaksanakan sempena carnival tersebut. Antaranya adalah Kenduri Rakyat, Majlis Bacaan Yassin, Pesta Bendang, Geosport dan banyak lagi aktiviti berkaitan dengan Geopark di Langkawi akan dilaksanakan.
DISEDIAKAN OLEH: MOHD FERDAUS OSMAN / PBSD LANGKAWI
KUAH, LANGKAWI. 20 April 2022 (Rabu) – Sepanjang minggu ini pejabat Belia dan Sukan Daerah Langkawi dalam proses penyelenggaraan pejabat yang melibatkan kerja-kerja selenggara dan baik pulih kemudahan dan keperluan di pejabat.
Antara kerja-kerja penyelenggaran yang dilakukan adalah membaik pulih alat penghawa dingin, puntu utama pejabat, mengecat ruang kerja umum dan lain-lain kerja baik pulih. Proses kerja-kerja selenggara ini dijangka akan siap dalam temph 4 hari lagi.
Jabatan Belia dan Sukan Negara telah memperuntukkan perbelanjaan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baikpulih pejabat untuk suku tahun pertama pada tahun ini dibawah program dan projek pembangunan.
DISEDIAKAN OLEH: MOHD FERDAUS OSMAN / PBSD LANGKAWI
LANGKAWI KEDAH, 18 April 2022 (Isnin) – Bertempat di Hotel Adya Kuah telah diadakan satu bengkel menjurus kepada projek pembangunan untuk daerah Langkawi. Pihak LADA yang menjadi urusetia Bengkel Pembangunan Langkawi 2025-2030 telah mengadakan satu inisiatif yang amat baik dan bertepatan dalam usaha mengenalpasti dan menyelaras program pembangunan daerah Langkawi khususnya dalam sektor ekonomi, pelancongan dan pelaburan.
Setelah era Pandemik Covid-19 berakhir pada akhir bulan Mac yang lalu, LADA yang mewakili kerajaan Persekutuan telah mengambil satu langkah yang amat baik dan diterima semua agensi dalam membangunkan semula serta menambahbaik pelaksanaan projek pembangunan yang sedia ada dan yang baharu. Dianggarkan sebanyak 25 agensi tempatan yang telah hadir dalam bengkel tersebut dan ini termasuklah dari BPEN SUK Negeri Kedah, Telekom Malaysia Berhad dan NCAR yang turut bersama membahaskan serta memberi pandangan idea terhadap pembangunan daerah Langkawi.
Bengkel yang diadakan selama satu hari itu yang bermula pada jam 08.30 pagi telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA dan berakhir pada sekitar jam 05.30 petang. Antara pengisian bengkel adalah pembentangan cadangan projek pembangunan daripada pihak LADA, BPEN dan Majlis Perbandaran Langkawi. Pada sebelah petang diadakan sesi perbincangan dalam kumpulan yang menjurus kepada mengenal pasti penambahbaikan pembangunan sektor pelancongan, pelaburan, pendidikan dan modal insan, keselamatan, komunikasi dan multimedia serta infrastrukur dan kemudahan awam dalam memastikan daerah Langkawi mencapai matlamat ke arah Smart City dan Pulau Pelancongan Nombor Satu Dunia.
DISEDIAKAN OLEH: MOHD FERDAUS OSMAN / PBSD LANGKAWI
KUAH LANGKAWI, 13 April 2022 (Rabu) – Bertempat di Dewan Surau Al-Hikmah, Perumahan Kastam Penarak telah diadakan satu sesi perbincangan pelaksanaan Program Rakan Muda Day Out “Kasih Ramadhan RMDO Langkawi 2022”.
Perbincangan tersebut telah dihadiri oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah bersama agensi dan NGO’s yang akan terlibat dalam program yang bakal dilaksanakan pada 24 April 2022 nanti. Antara perkara yang dibincangkan secara bersama selepas menunaikan solat terawih pada malam itu adalah berkenaan penubuhan dan penugasan jawatankuasa serta aturcara program.
Turut dibincangkan adalah berkenaan pengisian program yang lebih bercirikan program kemasyarakatan dan kesukarelaan bersama komuniti. Antara pengisian program yang dicadangkan adalah program masak bubur lambuk dan majlis berbuka puasa. Jabatan Kastam Daerah Langkawi telah bersetuju untuk menjadi rakan penganjur bersama program itu nanti. Turut hadir dalam sesi perbincangan pada malam itu adalah Ketua Kastam Daerah Langkawi, wakil Majlis Belia Daerah Langkawi serta Kelab Rakan Muda Pekan Kuah.
DISEDIAKAN OLEH: MUHAMMAD AFIF HAFIFI HASIM / PBSD LANGKAWI
BANDAR BAHARU, 18 April 2022 – Satu lawatan tapak bagi meninjau tapak pelaksanaan Kursus Rekreasi Luar Tahap Satu Peringkat Negeri Kedah yang dijangka akan dilaksanakan pada 13-16 Mei 2022 nanti telah diadakan hari ini bertempat di Taman Rekreasi Batu Hampar, Serdang, Kedah.
Lawatan diketuai oleh Pegawai Pembangunan Sukan Rekreasi, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah (JBSNK), Zharif Ikbar Azizan dan disertai oleh pegawai-pegawai Bahagian Sukan JBSNK serta Jurulatih-jurulatih Rekreasi yang akan terlibat di dalam kursus tersebut nanti.
Turut hadir di dalam lawatan tersebut, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bandar Baharu, Shamsul Qamar Shamsuddin.
DISEDIAKAN OLEH :FARIZA BT. GHAZALLI (PBSD BANDAR BAHARU)
BANDAR BAHARU – 18 April 2022 – Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pertandingan Bola Jaring Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Daerah Bandar Baharu 2022 telah diadakan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bandar Baharu semalam.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bandar Baharu, Shamsul Qamar Shamsuddin, dihadiri barisan pengadil dan jawatankuasa teknikal daripada pengiat dan penggerak sukan Bola Jaring di Daerah Bandar Baharu.
Mesyuarat yang juga melibatkan wakil dari Persatuan Bola Jaring Daerah Bandar Baharu (Penaja) ini telah membincangkan beberapa perkara antaranya cadangan penambahan bilangan penyertaan, syarat-syarat pertandingan dan keperluan-keperluan yang diperlukan semasa pertandingan berjalan.
Pertandingan Bola Jaring MSL 2022 dijadualkan berlangsung pada 14 Mei 2022 bertempat di Kompleks Sukan Komuniti Daerah Bandar Baharu.
DISEDIAKAN OLEH :FARIZA BT. GHAZALLI (PBSD BANDAR BAHARU)
KEDAH, 20 APRIL 2022 - Telah berlangsung Program Komuniti Mikro Dan Skim Mikro Semarak Niaga Bersama Bank Simpanan Nasional oleh wakil Bank Simpanan Nasional secara atas talian menerusi platform Google Meet. Taklimat ini telah dihadiri oleh Pengarah Cawangan Pembangunan Ekonomi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia bersama wakil Pegawai Ekonomi daripada semua JBSN Negeri.
Objektif pelaksanaannya adalah lebih kepada kerjasama antara BSN dan KBS dalam membantu belia dalam konteks keusahawanan dan penerangan berkaitan inisiatif *SemarakNiaga* yang ditawarkan oleh BSN khusus untuk usahawan belia yang melepasi syarat² yg ditetapkan.