
KOTA KINABALU, 20 September 2020 - Seminar Wanita Dalam Sukan Zon Sabah 2020 telah dilaksanakan hari ini bertempat di Ming Garden Hotel, Kota Kinabalu, Sabah.
Program yang dianjurkan oleh Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-Lead), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, Institut Kemahiran Belia Negara,Kinarut Sabah dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Sabah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para penggiat sukan di Negeri Sabah khususnya.
Objektif seminar ini adalah bagi menarik lebih ramai penglibatan golongan wanita di pelbagai peringkat umur dalam aktiviti sukan peringkat daerah dan negeri. Selain berperanan menyebarluas kesedaran budaya bersukan serta menguar-uarkan pelaksanaan Pelan Tindakan dalam Sukan tahun 2020 hingga 2025, seminar ini juga memberikan pendedahan kepada peserta berhubung kepentingan penglibatan wanita di dalam sukan massa dan sukan prestasi tinggi yang menjurus kepada amalan gaya hidup aktif, sihat dan cergas.
Majlis disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Nizam Bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Kecemerlangan), Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-Lead), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Turut hadir YBrs. Encik Apui Jan, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, YBrs. Puan Zuarini Binti Jumai, Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara, Kinarut Sabah dan YBrs. Puan Sempini Binti Langiton, Pesuruhjaya Sukan Sabah.
Oleh:
Ryandie Angsukup
JBSN Sabah
- JBS Sabah
- Hits: 628






