KANGAR, 1 FEBRUARI 2019 - Tema sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-76 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis masih dikekalkan untuk tahun ke-3 dan sememangnya tema ini telah menjadi "trademark" dalam ucapan majlis - majlis rasmi kerajaan negeri Perlis.
Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-76 DYMM Tuanku Raja Perlis Bil 1/2019 telah dipengerusikan oleh Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YB Tuan Nasaruddin Bin Abdul Muttalib dan dihadiri oleh jabatan-jabatan kerajaan yang merupakan rakan strategik dalam menjayakan sambutan tahunan ini pada 17 Julai 2019 yang akan datang.
Dalam ucapan aluan YB Pengerusi meminta semua jabatan memastikan premis - premis mereka berada dalam keadaan yang ceria dan kemas.
Majlis Perbandaran Kangar dan Jabatan Kerja Raya juga dipohon untuk memastikan pencahayaan yang baik terutama bagi bandar Arau yang merupakan Bandar DiRaja dan bandar Kangar.
Bendera-bendera Malaysia dan Negeri Perlis yang telah lusuh juga diminta untuk ditukar dengan yang baru kerana ini adalah mencerminkan imej jabatan itu sendiri.
Antara program-program yang telah dirangka bagi memeriahkan sambutan ini adalah Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis, Wayang Pacak, Malam Kilauan Cahaya, Seronoknya Membaca Tahun 2019, Wacana Kesusasteraan Kanak-kanak dan pelbagai lagi.
Tujuan utama sambutan ini adalah untuk mendekatkan lagi jalinan hubungan diantara Raja dengan rakyat negeri Perlis. Disediakan oleh Puan Nurmasnira Morad. Disunting oleh Alzrie Helery Tisin.
- JBS Perlis
- Hits: 2137
