WISMA NEGERI, 06 APRIL 2017 – Kerajaan Negeri Sembilan isytihar cuti pada tarikh 24 April (Isnin) bersempena sambutan Israk dan Mikraj yang telah diwartakan sebagai cuti umum di Negeri Sembilan dan hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.
Berikutan pertindihan cuti pada tarikh tersebut maka keesokan harinya, bertarikh 25 April (Selasa) diisytiharkan cuti umum di Negeri Sembilan.
Perkara ini dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam sidang media yang diadakan di Wisma Negeri, hari ini.
Menurut Menteri Besar, meskipun pengumuman cuti dua hari ini menyukarkan pihak industri dan swasta, namun ia tertakluk kepada Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berharap agar pihak industri dan swasta dapat menyesuaikan cuti ini dengan mengatur pelan pengeluaran demi menghormati hari kelepasan umum sebagaimana yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
sumber: http://n9kini.com
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 448
