JELEBU- 1 OGOS 2016, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jelebu dengan kerjasama KLBMC Dan Majlis Gabungan Belia Daerah Jelebu telah melaksanakan Program Explorasi Alam Daerah Jelebu 2016 pada 29-31 Julai 2016 bertempat di Taman Alam Liar, Kenaboi,Jelebu.
Seramai 35 orang peserta dan 5 orang jurulatih telah mengikuti program yang telah di laksanakan. Objektif utama program ini adalah memberi pengetahuan kepada belia dan peminat rekreasi salah satu cabang ilmu yang perlu ada di dalam aktiviti rekreasi di samping membentuk dan melahirkan peminat-peminat rekreasi yang berkualiti dan berilmu. Sepanjang 3 hari 2 malam program dijalankan, peserta telah didedahkan dengan ilmu pengetahuan dalam pengendalian radio amatur sebagai bantuan kecemasan, pengenalan asas tali, abseiling, navigasi dan penjelajahan lasak.
Perasmian penutup telah di sempurnakan oleh Ybhg Tuan Mohd Aizil bin Md.Derus, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Jelebu merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Jelebu.
SEREMBAN, 31 OGOS – Kira-kira 18,000 membanjiri padang dan hadapan bangunan MPS dalam Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan kali ke-59 yang berlangsung di Seremban, hari ini.
DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan isteri, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan hadir ke majlis sambutan ini diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan isteri, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.
Turut hadir, Undang Luak Sungai Ujong, YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak Dohak; Undang Luak Rembau, YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman; Tunku Besar Tampin dan YM Tunku Isteri, YTM Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; YTM Tunku Besar Seri Menanti, Tengku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz; Dato’ Syahbandar Sungei Ujong, YAM Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Haji Abdul Khalid dan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Ahmad.
Sebanyak 110 pasukan kontinjen terdiri daripada 13,000 peserta telah menyertai perbarisan yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan-badan berkanun, pasukan beruniform, pelajar-pelajar sekolah, parti-parti politik, NGO, veteran tentera, Institut Pengajian Tinggi Awam, pasukan keselamatan dan syarikat-syarikat swasta.
Selain itu, kontinjen daripada Gabungan Belia dan Gen Y Negeri Sembilan yang disertai seramai 1,300 peserta yang lengkap berpakaian seragam menjadi kontinjen terbesar selain daripada kontinjen Angkatan Tentera Malaysia.
Turut ditampilkan adalah Perarakan Aset daripada Kenderaan Konvoi Jalur Gemilang Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
Antara lain, turut dipersembahkan Tarian Perang atau ‘War Dance’ oleh seramai 1,000 anggota yang disertai oleh Gabungan Pasukan Keselamatan Negeri Sembilan iaitu 1 Briged, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Penjara dan Ikatan Relawan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, perhimpunan ini diadakan bagi tujuan menyemai rasa cinta dan kesetiaan kita terhadap negara. Ia bagaikan mengulangi dan memperingati suatu tanggal penting dalam takwim penubuhan negara yang tidak ada tolok bandingnya dengan peristiwa-peristiwa utama yang lain.
Menurut Menteri Besar, semangat yang diperlihatkan ini sekaligus menyimpulkan rasa taat setia, kasih dan cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap negara. Secara tidak langsung menyerlahkan intipati sambutan tahunan ini sepertimana yang dibekalkan melalui tema ‘Sehati Sejiwa’.
Beliau berharap agar semangat patriotisme dan jati diri harus senantiasa subur dan melebar dalam diri rakyat Malaysia ketika berdepan dengan pelbagai ujian getir dan mencabar. Dalam apa jua keadaan, masyarakat harus bersatu hati biarpun kerap kali dibelenggu oleh perbezaan siasah dan ideologi untuk membuktikan kepada dunia bahawasanya Malaysia memiliki cara dan kaedah tersendiri menangani sebarang perbezaan mengikut acuan sendiri. [Sumber N9kini]
TANJUNG AGAS – 28 Jun 2016, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Port Dickson dengan kerjasama Sekretariat Rakan Muda Kolej Uniti telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadhan 1437H Peringkat Daerah Port Dickson 2016 bermulapada jam 5.00 petang hingga 10.30 malam bertempat di Dewan Zaaba, Kolej Uniti. Seramai 120 orang peserta belia terdiri daripada 78 perempuan dan 42 lelaki menyertai program tersebut.
Di antara objektif program ini adalah untuk memperkukuhkan iltizam dikalangan para belia untuk menghayati dan memahami ayat-ayat Al-Quran dan mempertingkatkan penghayatan terhadap bulan Ramadhan dan Ibadah puasa khususnya. Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Tn. Hj. Abdul Rahman Bin Mohd Redza, ADUN Linggi
Turut hadir menjayakan program adalah Tn. Amir Hamzah Bin Md Isa, CEO Uniti Education Group; Tn. Ahmad Turmizi Bin Mohd Khalil, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kolej Uniti; En ZulFadli Bin Ahmad, Pegawai Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dan En. Mohamad Rozaiham Bin Abd Rahman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah PD.
KUALA PILAH – 4 Jun 2016, Telah berlansung Kursus Keusahawanan Sosial Peringkat Negeri Sembilan selama 2 hari iaitu bermula 3 hingga 4 Jun 2016 bertempat di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah. Program ini telah melibatkan peserta seramai 35 orang dari kalangan belia yang terdiri daripada 3 orang peserta perempuan Melayu, 25 orang peserta lelaki Melayu, seorang peserta lelaki Cina dan 6 orang peserta lelaki dari lain-lain bangsa.
Program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pemahaman Keusahawanan Sosial kearah melahirkan usahawan dalam kalangan belia. Selain itu, program ini menjelaskan bahawa keusahawanan sosial turut memperoleh manfaat dari segi kemahiran perniagaan, teknikal dan fungsi , selain menanam nilai social untuk meningkatkan taraf hidup orang lain. Pada masa yang sama menggalakkan golongan belia menerokai bidang keusahawanan sosial dan menjadikan ia satu kerjaya yang boleh mewujudkan impak positif berkekalan kepada masyarakat
Majlis Penutup program ini telah disempurnakan oleh En. Musa b. Salim, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan yang mewakili Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.
REMBAU - 6 Jun 2016, Program Kem Explorasi Peringkat Daerah Rembau menyaksikan kerjasama dan usaha gigih Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan melalui Pejabat Belia dan Sukan Rembau dengan Kerjasama Majlis Belia Derah Rembau dalam menyediakan program-program berbentuk rekreasi kepada belia setempat. Melalui program berbentuk saintai ini pelbagai manfaat dapat di kongsi bersama belia-belia disamping memberi kemahiran asas serta pendedahan kepada dunia rekreasi.
Program yang berlangsung selama 4 hari 3 malam di Solok Sengkuang Cabin D’Village ini berjaya menarik penyertaan seramai lebih dari 50 orang yang terdiri daripada peserta, urusetia dan jurulatih bertauliah. Pelaksanaan program kali ini mengetengahkan sedikit kelainan dalam aktiviti yang dipilih dimana antara aktiviti menarik dan mencabar seperti survival course, high rope, 4 x 4, scuba, rescue and CPR, compass marching disamping aktiviti asas bagi kursus perkhemahan.
Dengan kerjasama yang berkesan dari Majlis Belia Daerah Rembau, Yayasan Elit Disaster Rescue Malaysia dan Mahsuri Diving Academi program ini berjaya dilaksanakan dengan impak positif dan memberangsangkan dari peserta-peserta.
Program ini di rasmikan oleh Yang Berbahagia En. Zazali Ahmad selaku Pegawai Khas kepada YB Khairi Jamaluddin Abu Bakar Ahli Parlimen Rembau turut dihadiri bersama Pengerusi Majlis Belia Daerah Rembau serta pegawai penyelaras program Puan Azroyana Ullmahayu Mohd Rozin .
KUALA PILAH- 4 JUN 2016, Penglibatan seramai 80 peserta perbagai bangsa dan latar belakang, Program Eksplorasi Gunung Angsi Peringkat Daerah Jempol Dan Kuala Pilah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Program yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 30 Mei hingga 1 Jun 2016 memilih lokasi Gunung Angsi Kula Pilah sebagai destinasi bagi memantapkan ketahanan fizikal dan mental peserta serta memupuk semangat serta memberi pendedahan berkaitan pengetahuan bidang rekreasi luar terutamanya dalam pendakian gunung.Beberapa slot aktiviti disajikan kepada peserta dalam program ini seperti pengenalan asas kepada rekreasi serta kembara, aktiviti tali/navigasi, treking dan sebagainya. Disamping itu, para peserta juga diuji dengan beberapa slot penilaian dan analisis bagi memantapkan ilmu yang dipelajari sepanjang program berlangsung. Antara objektif penganjuran program seperti ini adalah untuk Meningkatkan bilangan peminat dan juga penggiat rekreasi yang aktif. Serta memberi pengetahuan kepada belia dan peminat rekreasi salah satu cabang ilmu yang perlu ada di dalam aktiviti rekreasi.
Majlis penutup disempurnakan oleh Encik Mohd Izwandy Bin Ismail, Timbalan Pengarah JBS Negeri Sembilan.Turut hadir pengawai penyelaras daerah , Siti Alifah Hamzah serta Encik Zu Fadzli Yahya.
PORT DICKSON- 30 Mei 2016, Seramai 35 belia di sekitar daerah Port Dickson menyahut cabaran mendaki Gunung Nuang dalam program Eksplorasi Jelajah Gunung Nuang, kelmarin.
Pegawai Belia daerah, Rozaiham Abd Rahman berkata, kesemua peserta berusia antara 18 hingga 31 tahun itu merupakan belia yang baru berjinak-jinak dengan sukan rekreasi mendaki gunung.
Menurutnya, peserta juga terdiri daripada ahli Anugerah Remaja Perdana yang mana penyertaan mereka adalah bagi mendapatkan pingat gangsa dan perak.
“Dalam pada itu, sepanjang eksplorasi ini, kita akan melakukan pemantauan dan penilaian untuk memilih lima peserta terbaik bagi mewakili daerah Port Dickson ke peringkat negeri dalam Kursus Asas Perkhemahan tahap 2 seterusnya ke tahap tiga yang membolehkan mereka memperoleh sijil jurulatih dalam bidang rekreasi.
“Eksplorasi ini juga ,erupakan Kursus Asas Perkhemahan tahap 1 yang mana peserta akan menjalani pelbagai aktiviti antaranya ikhtiar hidup semasa perkhemahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian semasa Majlis Pelepasan Eksplorasi Jelajah Gunung Nuang di pejabat Adun Bagan Pinang semalam.
Hadir sama, pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan merangkap Adun Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar. Sumber : Sinar Harian
KUALA PILAH- 27 MEI 2016, Masyarakat sering kali memberi tanggapan negatif terhadap pusat snuker yang dianggap sebagai punca kegiatan jenayah seperti judi, gangster dan penyalahgunaan dadah.
Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek berkata, sudah tiba masanya orang ramai berfikiran positif terhadap permainan itu kerana mampu melahirkan jaguh di peringkat negara mahupun antarabangsa sekiranya diberi perhatian sewajarnya.
“Tidak dinafikan pengaruh filem sering kali member gambaran negatif terhadap permainan snuker tetapi dari sudut yang lain, ramai bintang bertaraf dunia lahir dari sukan itu.
“Selain itu, snuker satu sukan dipertandingkan di temasya bertaraf Asia mahupun dunia,” katanya ketika merasmikan Bilik Latihan Snuker Kompleks rakan Muda, Kuala Pilah.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Azura salbin. Hasan berkata, penubuhan bilik latihan snuker itu adalah idea belia daerah ini yang inginkan sebuah pusat latihan yang mampu melahirkan bintang snuker.
“Kami tidak memperuntukkan kos tinggi untuk menubuhkan bilik ini manakal dua meja diambil dari Jabatan Belia dan Sukan Paroi yang sekian lama terbiar dan tidak digunakan.
“Justeru, kami mengambil inisiatif membawa meja ke Kuala Pilah untuk dibangunkan berhampiran dengan lokasi beberapa sukan yang lain.
“Bilik latihan ini dibuka setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 10 malam manakala bayaran yang akan dikenakan belum ditetapkan lagi,” katanya.
KUALA PILAH- 23 Mei 2016, Kompleks Sukan Daerah Rembau melihatkan keluasan 8 hektar akan mula dibina pada akhir tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, proses pengambilan tanah sudah selesai dan kini melalui fasa bagi pelantian kontrak melalui tender dalam masa tersebut.
Menurutnya, sekiranya perkembangan positif dalam pelaksanaan pembinaan kompleks itu, ia dijangka siap dibina pada penghujung tahun 2018.
“Saya bersetuju dan sudah melihat reka bentuk kompleks itu. Ia akan memiliki kemudahan seperti balapan, astaka, asrama, dan dewan bagi menganjurkan acara-acara besar.
“Daripada segi kos pembinaan, ianya masih dalam pembinaan. Apa yang diharapkan kelak, dengan terbinanya kompleks ini ia mampu dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia dantidak menjadi tapak projek gajah putih tanpa penghujung,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2016 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah , kelmarin.