TELOK MAS, 30 Januari 2019 - Sempena dengan Lawatan Yang Berhormat Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan Malaysia ke Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka yang dijangkakan awal bulan Mac ini telah diadakan satu Mesyuarat Penyelarasan dan Lawatan Tapak antara pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Pejabat YB Menteri KBS, Jabatan Penjara Malaysia, Majlis Sukan Negara, Majlis Belia Malaysia, Persekutuan Tinju Malaysia dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia bertempat di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka. Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan pengisian program sepanjang lawatan kerja YB Menteri KBS ke Sekolah ini dan jika program ini berjaya dilaksanakan ianya lawatan kerja atau kunjungan kali pertama beliau ke Negeri Melaka ini sejak memegang jawatan sebagai Menteri KBS. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datuk Abdul Aziz Bin Mohamed, Pengarah Jabatan Penjara Negeri Melaka. Semoga perancangan dan pelaksanaan program lawatan kerja ini dipermudahkan dan berjaya mencapai matlamatnya.
Disediakan oleh : Mohd Hazriq Bin Abu Zarin (Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSNM)
JASIN, Melaka 27 Januari 2019 - Perkhemahan Pengakap dan Pemadam Daerah Jasin telah berlangsung dengan jayanya selama 3 hari 2 malam dari 25 hingga 27 Januari 2019 di SMK Simpang Bekoh. Seramai 239 peserta dari sekolah rendah dan menengah sekitar Jasin turut serta dalam program berkenaan. Pelbagai aktiviti diadakan dalam bentuk pertandingan bagi memberikan sijil pencapaian kepada semua peserta. Antara aktiviti yang dipertandingkan ialah kem kraf, ikatan dan simpulan, masakan rimba, model gejet, kawad kaki dan malam Pengakap. Objektif utama program adalah bertujuan menghimpunkan semua ahli Pengakap pelbagai unit dari kawasan Jasin selain mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari di sekolah. Pelbagai agensi turut membantu dalam menjayakan perkhemahan ini antaranya Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Jabatan Kerjaya Raya Daerah Jasin (JKR), Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin. Huat Lai juga terlibat dalam sumbangan dalam program berkenaan. Majlis Penutup Perkhemahan Pengakap dan Pemadam Daerah Jasin yang disempurnakan oleh Encik Mohd Isa Othman, Ketua Penolong Pegawai Daerah Jasin. Turut serta Encik Md Amin Sadi, Wakil Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka, Puan Yati Ali, GPK Kokurikulum SMK Simpang Bekoh dan Zamni Ani, Wakil Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin. Disediakan oleh : Mohd Afiq Bin Mazly, PBSD Jasin
ALOR GAJAH, Melaka 27 Januari 2019 - Bertempat di Kawasan Latihan Am Persatuan Kanu Negeri Melaka, Tasik Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka, telah berlangsung Mesyuarat Agong Persatuan Kanu Negeri Melaka bagi sesi tahun 2019/2020. Mesyuarat telah disertai seramai 20 orang ahli persatuan ini telah membincangkan pelbagai agenda dalam pembentukan jawatankuasa baharu kepimpinan tertinggi persatuan, perancangan program dan aktiviti persatuan serta laporan kewangan dan akaun semasa persatuan. Berikut adalah senarai jawatankuasa terkini Persatuan Kanu Negeri Melaka yang telah dilantik: Presiden : En. Sani bin Ahmad Timb presiden En. Saiful Naib Presiden 1: En.Shahrul Naib Presiden 2 : Pn. Siti Mar Setiausaha : Cik Fariyanti Timbalan Setiausaha : En Aizat Bendahari : En Noor Azmi Timbalan Bendahari : En Aminuddin Ahli-Ahli Jawatankuasa 1. En Yazid 2. En Razak 3.En Rashid 4. En Alif 5. En Khairul 6. Pn. Jira Syabas dan tahniah serta selamat maju jaya diucapkan kepada Persatuan Kanu Negeri Melaka dalam mempamerkan satu inisiatif dan kesepaduan jitu dalam memperkasa Sukan Kanu khususnya dalam Negeri Melaka. Adalah wajar platform makluman dan infomasi sebegini diteruskan bagi sebaran am dan penyampaian berkesan kepada kumpulan sasar khususnya dan masyarakat amnya.
ALOR GAJAH, Melaka 21 Januari 2019 - Persatuan Kanu Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Melaka, dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka telah menganjurkan Kursus Kayak Bintang 1 Siri 1/2019 bertempat di kawasan latihan am Persatuan Kanu Negeri Melaka, Tasik Durian Daun, Masjid Tanah. Kursus ini telah berlangsung selama 3 hari mulai 19 hingga 21 Januari 2019 bertujuan sebagai pendedahan asas kepada sejarah dan anatomi kayak, serta teknik, taktik dan prosedur pengendalian kayak, langkah-langkah keselamatan semasa aktiviti perairan seterusnya aplikasi pelaksanaan dan latihan amali sebenar. Seramai 18 orang peserta pelbagai latar belakang terdiri daripada 17 orang lelaki dan seorang wanita dengan pecahan berikut telah menyertai kursus ini: 2 x atlet Majlis Sukan Pulau Pinang 4 x pekerja Syarikat Aquaputra 3 x pelajar UiTM Seremban 2 x pelajar UiTM Shah Alam 1 x anggota Tentera Darat 6 x anggota Pengakap Laut Negeri Melaka. Kursus ini telah di kendalikan dengan selamat oleh jurulatih berpengalaman Encik Sani dan dibantu 2 x pembantu jurulatih, Encik Hasan dan Encik Yazid. Diharapkan kesinambungan kursus-kursus rekreasi luar seperti ini akan melahirkan lebih ramai penggerak dan tenaga pakar rekreasi yang sebagai satu aktiviti yang semakin mendapat tempat dan minat dalam kalangan masyarakat.
SUNGAI REMBAU, 13 Januari - Expedisi ke Taman Lokan Solok Paya Lebar sangat mengujakan peserta ARP Emas Sekolah Henry Gurney Telok Mas kerana inilah kali pertama merasai pengalaman hebat menaiki bot menyusuri Sungai Paya Lebar ke Sungai Rembau yang dikelilingi flora dan fauna yang sangat menarik serta dapat merasai keenakan lokan yang dibakar segar. Sejak ditempatkan di SHG tidak terlintas untuk merasai pengalaman sebegini rupa tetapi apabila menyertai Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda "The Duke of Edinburgh's International Award" segalanya berubah kerana beliau boleh merasai pelbagai aktiviti menarik yang meninggalkan seribu satu kenangan. Taman Lokan ini sebenarnya sangat berpotensi untuk dipromosikan sebagai salah satu daya tarikan melawat Melaka kerana selain lokan tempat ini kaya dengan udang galah, buah nipah dan pelbagai jenis ikan. Semoga suatu hari nanti tempat ini dapat dimajukan sepenuhnya dan dilawati ramai pelancong dalam dan luar negara. Disediakan oleh: Mohd Hazriq Bin Abu Zarin (Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSNM)
MASJID TANAH, 13 Januari - Kehadiran peserta Anugerah Remaja Perdana Tahap Emas Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas ke Kampung Solok Limau Nipis dan Kampung Paya Lebar amat dialu-alukan oleh penduduk kampung di sini. Rata-rata mereka merasa teruja apabila dapat beramah mesra dengan peserta SHG ini kerana inilah kali pertama pihak SHG datang ke kampung mereka. Program jelajah dari rumah ke rumah ini mendapat kerjasama daripada pihak KOSPEN iaitu memberi khidmat nasihat tentang penyimpanan ubat yang betul dan juga pihak MPKK mengambil maklum setiap permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung serta menyampaikan hamper sumbangan daripada Pejabat Parlimen Masjid Tanah. Setelah selesai program jelajah ini peserta SHG telah mengadakan kelas khas latihan menjahit untuk warga wanita Kampung Paya Lebar di perkarangan balairaya. Beliau berkongsi kemahiran menjahit yang telah dipelajarinya di SHG. Secara keseluruhannya, program ini amatlah baik dan perlu diteruskan lagi di masa yang akan datang. Disediakan oleh: Mohd Hazriq Bin Abu Zarin (Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSNM)
PAYA LEBAR, MASJID TANAH, 11 Januari - Kampung Paya Lebar mencipta sejarah tersendiri apabila menerima peserta anak angkat daripada Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, Melaka bermula 10 - 14 Januari 2019. Satu permulaan yang baik untuk mendekatkan masyarakat dengan warga SHG kerana ada segelintir persepsi negatif terhadap penghuni sekolah ini tetapi sebenarnya mereka ini telah dididik sepenuhnya menjadi insan yang berguna dan memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik. Peserta anak angkat ini sedang dalam proses melengkapkan projek penempatan iaitu salah satu komponen bagi mendapat Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas selama 5 hari 4 malam. Program ini telah mendapat kerjasama baik daripada Gerakan Belia 4B Cawangan Kampung Paya Lebar dan penduduk kampung ini sendiri. Walaupun pada mulanya pihak penganjur menghadapi masalah untuk mencari keluarga angkat yang boleh menerima seadanya namun akhirnya apabila diberi penerangan dan jaminan ada keluarga yang sudi menerima peserta ini. Antara aktiviti yang dijalankan di sini adalah lawatan sambil belajar ke IKS Kuih Bakar Tradisional, Madu Kelulut, Khidmat Jahitan Komuniti, Expedisi ke Taman Lokan, aktiviti keagamaan dan Gotong-royong di masjid, menanam pokok, kempen bebas rokok dan sebagainya. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang membantu khususnya Keluarga Pak Basar kerana sudi menerima kehadiran kami dan menyediakan kemudahan tempat tinggal yang selesa serta masakan kampung yang sangat menyelerakan. Diharapkan program ini berjalan dengan lancar seterusnya dapat merealisasikan impian SHG serta Jabatan Penjara Malaysia untuk menghasilkan peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas yang pertama di negara ini. Disediakan oleh : Mohd Hazriq Bin Abu Zarin (Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSNM)
AYER KEROH, 16 Januari - Satu sesi perbincangan dan lawatan tapak Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana (ARP) Rakan Muda Peringkat Negeri Melaka 2018 telah diadakan di Kolej Yayasan Saad (KYS) Melaka. Pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka telah diwakili oleh Encik Mohd Hazriq Bin Abu Zarin dan Puan Faizah Firdaus Binti Fauzi daripada Bahagian Pembangunan Rakan Muda manakala KYS diwakili oleh Encik Azmi Bin Mohamad, Pemimpin Badan Operasi ARP KYS. Melalui perbincangan ini ianya menghasilkan keputusan yang positif dan pihak KYS sudi bekerjsama menyediakan venue rasmi untuk menjayakan majlis ini. Seramai lebih kurang 900 orang peserta remaja daripada sekitar negeri Melaka akan ditauliahkan pada tahun ini setelah berjaya melengkapkan semua komponen ARP Tahap Perak dan Gangsa selama 6 hingga 9 bulan pada tahun lepas. Semoga majlis yang dirancang ini berjalan dengan lancar dan dapat mengiktiraf semua peserta atas usaha dan kesungguhan mereka untuk mencapai anugerah yang diidamkan ini. Disediakan oleh: Mohd Hazriq Bin Abu Zarin (Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSNM)
MELAKA, 9 JANUARI 2019 – Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah telah mengadakan Mesyuarat Penuh Jawatankuasa Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengaha Bil.1/2019 Penggal 2018/2020 bertempat di Bilik Mesyuarat Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka, Ayer Keroh. Mesyuarat telah pun dipengerusikan oleh Sdr. Mohd Ismanizam Bin Datuk Hj. Ismail, Pengerusi MGBD Melaka Tengah yang mana tujuan mesyuarat tersebut adalah bagi membincang dan merangka program-program pembangunan belia dalam daerah Melaka Tengah yang akan dilaksanakan bagi tahun 2019. Mesyuarat juga telah dihadiri oleh barisan jawatankuasa MGBD Melaka Tengah dan turut hadir sama Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah, En. Yan Mohd Nor Alif Bin Mohamad Noh. Disediakan oleh : Mohd Azizul Bin Hanafi, Bahagian Belia PBSD Melaka Tengah.