MERLIMAU, 5 Julai 2020 - Gerak kerja dalam pembangunan belia merupakan suatu gerak kerja berterusan yang tiada penghujung seiring dengan perubahan serta kemodenan pembangunan negara dan ia juga tidak mengenal erti penat dan lelah kepada semua pihak yang berkecimpung dalam bidang tersebut.
Gerakan Belia 4B Malaysia Cawangan Solok Kilang Berapi malam ini mengadakan pertemuan bersama ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad dalam suatu suasana 'sembang santai' di kediaman Hasnan Kamis yang juga ahli 4B Solok Kilang Berapi dekat sini dengan dihadiri seramai 30 orang ahli.
Antara perkara yang dibincangkan pada malam ini adalah isu-isu semasa mengenai belia, cadangan program untuk belia di peringkat cawangan dan DUN, penubuhan sekretariat belia DUN Merlimau dan skuad bencana belia Merlimau, peluang pekerjaan dan perniagaan pasca Covid 19, cadangan membangunkan pusat usahawan belia Merlimau, cadangan naik taraf Rumah Belia Solok Kilang Berapi dan agro muda untuk golongan belia.
Menurut pengerusinya, Zaini Muhamad, program pada malam ini bukan sahaja sekadar pertemuan untuk berkongsi idea dan pandangan tetapi juga untuk merapatkan dan mendekatkan lagi hubungan para belia dengan Datuk Roslan yang disifatkan sebagai pemimpin yang mesra masyarakat serta bekerja keras untuk membangunkan Merlimau.
- JBS Melaka
- Hits: 622
