LENDU, 5 Mac – Mesyuarat Jawatankuasa Spesifikasi Sebut Harga Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Tanpa Senjata Api Di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah telah pun dilaksanakan di Bilik Mesyuarat, Kompleks Rakan Muda Alor Gajah petang tadi. Mesyuarat ini merupakan satu tindakan awal bagi melancarkan proses pengiklanan sebut harga ini yang akan diiklankan pada masa terdekat bagi menggantikan kontrak sedia ada yang akan tamat pada Bulan Julai 2020. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Penolong Pengarah (Pembangunan Sukan) JBSNM, Encik Yan Mohd Nor Alif Bin Mohamad Noh.
AYER KEROH, 29 Februari 2020 - Persatuan Belia (MAYC) Seri Pengkalan Lambak malam ini menganjurkan Pertandingan Tenpin Bowling Piala Penyelaras DUN Sungai Rambai yang turut mendapat kerjasama daripada JAPERUN Sungai Rambai serta merupakan program pertama yang dianjurkan oleh barisan kepimpinan baru persatuan tersebut.
Pertandingan yang diadakan di Pusat Bowling Antarabangsa Melaka dekat sini disertai oleh lebih 20 pasukan dan dirasmikan oleh Penyelaras DUN Sungai Rambai, Azalina Abdul Rahman yang dalam ucapannya merasa bangga dengan semangat pertubuhan belia khususnya persatuan ini yang aktif melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bermanfaat bukan sahaja kepada golongan belia tetapi juga untuk masyarakat setempat sekaligus mengeratkan lagi hubungan sesama komuniti.
Hadir sama memeriahkan acara, Pengerusi MAYC Kawasan Jasin, Asrul Khan Sher Jang Khan dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali.
MASJID TANAH, 1 Mac – Seramai hampir 50 orang calon telah layak ditemuduga untuk jawatan Penolong Pegawai Belia Dan Sukan Gred S29 (Kontrak) yang bertempat di Kompleks Sukan Masjid Tanah. Sesi temuduga ini telah bermula sejak semalam dengan para calon perlu mengikuti penilaian kecergasan melalui Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK). Perjawatan ini adalah bagi mengisi kekosongan jawatan di Institut Pembangunan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia.
ASAHAN, 27 Februari- Sesi Perbincangan dan Lawatan Tapak Pelan Operasi Latihan (POL) 2020 Peringkat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka telah diadakan di Kompleks MSN Saujana Asahan, Jasin. Program ini dirancang bagi memantapkan lagi sistem pengurusan dan pentadbiran serta memperkukuhkan lagi ukhuwah pegawai dan kakitangan Jabatan ini. Turut hadir Encik Azmee Amar Azwan Bin Mostapa, Pegawai Rakan Muda JBSN Melaka dan Encik Muhammad Nizam Bin Talib, Pengurus Kompleks MSN Saujana Asahan. Semoga program yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Disediakan oleh: Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSN Melaka
AYER KEROH, 25 Februari 2020 – Pasukan Futsal Lelaki, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka telah mengalahkan Pasukan Futsal daripada Sekretariat Rakan Muda (SRM) Universiti Multimedia Melaka (MMU) dengan jaringan 12 berbalas 4 bertempat di Galaxy Futsal, Melaka Mall. Perlawanan persahabatan yang berlangsung selama sejam ini adalah yang pertama kali melibatkan kedua-dua pasukan di mana ianya diadakan bagi mengeratkan hubungan antara JBS Melaka dan SRM MMU. Turut hadir Encik Mohd Hazriq Bin Abu Zarin mewakili Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBS Melaka dan Cik Sakinah Binti Yusof, Presiden SRM MMU. Semoga perlawanan persahabatan ini diteruskan lagi di masa yang akan datang dan melibatkan pelbagai jenis sukan.
Disediakan oleh: Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSN Melaka
JASIN, 27 Februari 2020 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin hari ini meneruskan sesi Roadtour Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Peringkat Daerah Jasin dalam usaha memperluaskan lagi program anugerah tersebut kepada warga belia di daerah ini.
Fasa pertama Roadtour yang bermula pada Januari lalu diadakan dari masa ke semasa dan akan berterusan sehingga Mac 2020 dengan memberi tumpuan kepada gerak kerja pendaftaran peserta disamping mengenal pasti bakat baru di kalangan penyokong program ini untuk diangkat menjadi Pemimpin ARPRM.
Petang tadi sesi roadtour telah bertemu dengan wakil Pengakap Daerah Jasin, Mohd Zaki Md Shah yang juga merupakan penyokong kepada pelaksanaan program ARPRM di Maktab Rendah Sains MARA Tun Ghafar Baba dekat sini.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali yang hadir pada petang ini turut mengambil kesempatan mendengar penerangan ringkas daripada Mohd Zaki dan merakamkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada Pengakap Daerah Jasin atas sokongan padu menjayakan program ARPRM.
JASIN, 26 Februari 2020 - Lawatan kerja Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Sokongan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Amir Hamzah Awang Ghazali ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin hari ini membuktikan kesungguhan Kementerian Belia dan Sukan dalam memberikan khidmat terbaik bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga terhadap pegawai serta kakitangan kementerian ini.
Kehadiran Amir Hamzah adalah dalam rangka kerja untuk melihat dengan lebih dekat persekitaran serta kerosakan-kerosakan pada bangunan pejabat yang memerlukan tindakan penyelenggaraan segera sambil diberi penerangan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali.
Turut sama dalam lawatan tersebut, Penolong Pegawai Belia dan Sukan I, Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Sokongan JBSN, Ahmad Shauki Saad dan Pegawai Pembangunan JBS Melaka, Azmee Amar Azwan Mostapa.
SELANDAR, 23 Februari 2020 - Perhimpunan Pengakap Daerah Jasin Alaf Baru 2020 pada kali ini mendapat sambutan penyertaan diluar jangkaan kerana lebih 250 orang peserta mengambil bahagian sekaligus menjadi program pembuka tahun 2020 paling bermakna.
Perhimpunan yang bermula pada 21 Februari 2020 dan berakhir pada hari ini di SK Batang Melaka dekat sini membuktikan bahawa aktiviti berpengakap ini masih menjadi pilihan para pelajar khususnya golongan belia untuk meneroka potensi diri melalui ilmu dan kemahiran di luar bilik darjah sekaligus membuktikan Pergerakan Pengakap ini kekal relevan walaupun di era pemodenan zaman.
Perhimpunan ini juga turut menyaksikan seramai 50 orang peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di bawah Badan Operasi Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin melaksanakan aktiviti sekaligus melengkapkan komponen penjelajahan lasak.
Majlis perasmian penutup pada pagi ini telah disempurnakan oleh Pengerusi MPKK Batang Melaka, Johari Adam. Hadir sama Pesuruhjaya Pengakap Daerah Jasin, Helmy Mustafa dan Pengetua SK Batang Melaka, Siti Nurshamshatulnahar Anuar.
Kemaskini Terakhir: 21-10-2026, 16:55:38