- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 91
PENYERAHAN SIJIL BADAN OPERASI KEPADA DATO' WASITAH CONSULTANCY SDN BHD
Bukit Kiara, 14 Jun - Dalam usaha untuk mengiktiraf dan memberikan sokongan kepada inisiatif yang berjaya memajukan belia berpotensi, Puan Nor Safinah binti Haya, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JBSWPKL), telah menyampaikan Sijil Badan Operasi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) kepada Dato' Wasitah Consultancy Sdn Bhd. Penyerahan berlangsung di Bilik Kuliah 2, kepada YBhg. Dato’ Wasitah yang juga merupakan sebahagian daripada Juri untuk penilaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat WP Kuala Lumpur 2023.
Program Anugerah Remaja Perdana telah mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 2001. Program ini mengambil sempena Program Duke of Edinburgh’s Award yang telah mula diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 1956. Ianya adalah satu wadah bagi memberi sokongan dan semangat kepada golongan remaja di dalam menanamkan nilai-nilai seperti semangat, bekerjasama dan sebagainya ke arah mencapai personaliti unggul.
Program ini adalah satu-satunya program yang mengiktiraf penglibatan golongan muda berusia 14-25 tahun.Program seumpama ini telah dilaksanakan dan berkembang pesat di beberapa buah negara di seluruh dunia dengan pelbagai nama seperti The President Award di Afrika Selatan, Young Canadian’s Challenge di Kanada, The National Youth Achievement Award di Singapura dan berbagai-bagai lagi nama yang telah diberi mengikut kesesuaian negara masing-masing. Apabila program ini diperkenalkan di Malaysia, ia dikenali sebagai Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dan Kementerian Belia dan Sukan bertindak sebagai Badan Berkuasa Anugerah Peringkat Kebangsaan yang dikoordinasi dan diuruskan oleh Cawangan Gaya Hidup, Bahagian Pembangunan Rakan Muda.
Pada sesi penyerahan Sijil Badan Operasi ARPRM ini, Puan Nor Safinah binti Haya menyatakan bahawa badan operasi ini akan membantu belia berpotensi untuk melengkapkan jam dan memenuhi syarat bagi mendapatkan anugerah Gangsa, Perak, dan Emas dalam Anugerah Perdana Belia Negara. Dengan sokongan dan penglibatan Dato' Wasitah Consultancy Sdn Bhd, diharapkan belia dapat meraih pencapaian yang cemerlang dan berjaya melengkapkan 3 peringkat anugerah yang ditetapkan.
- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 91